Isu doktor kontrak antara manisfesto KJ di Sungai Buloh

Isu doktor kontrak antara manifesto KJ di Sungai Buloh

KHAIRY Jamaluddin (tengah baju biru) bergambar bersama penerima peranti siswa dan warga UiTM Sungai Buloh, di sini, hari ini. -UTUSAN / MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Isu doktor kontrak dijangka menjadi salah satu manifesto  Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal bermula selepas penamaan calon esok.

Meskipun Khairy belum mengumumkan manifesto beliau, Menteri Kesihatan itu memberi bayangan bahawa perkara berkenaan mungkin termasuk dalam manifestonya memandangkan terdapat Fakulti Perubatan dan Pergigian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sungai Buloh.

Khairy dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di UiTM berkenaan hari ini memaklumkan, beliau akan terus memperjuangkan isu doktor kontrak sekiranya dilantik semula sebagai Menteri Kesihatan selepas PRU15.

Menurut penyandang kerusi Parlimen Rembau itu, doktor kontrak merupakan isu besar yang beliau hadapi selepas memegang portfolio kementerian berkenaan.

“Doktor kontrak ini diperkenalkan pada 2016 dan dilaksanakan pada 2017, bayangkan selama lima tahun tiada satu pelantikan tetap tambahan dibuat, hanya bila ada kekosongan yang bersara baharu diganti.

“Saya kata tidak boleh, kita kena buat sesuatu untuk pegawai-pegawai perubatan ini kerana pada 2030 kita akan kekurangan 7,000 doktor pakar dan kalau kita tidak perjuangkan ini mereka (doktor kontrak) akan meninggalkan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Hasil perbincangan beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri kerajaan bersetuju untuk melantik 4,000 doktor kontrak, pegawai pergigian dan farmasi ke jawatan tetap tahun ini.

“Tetapi, saya tidak puas hati kerana yang memohon 8,000 orang tetapi yang dapat separuh jadi saya meminta jaminan daripada Kementerian Kewangan supaya ada lantikan tetap sekurang-kurangnya 1,500 jawatan pegawai perubatan dan 500 pakar selepas ini,” katanya.

Ketika ditanya pemberita apakah UiTM Sungai Buloh bakal dimasukan dalam salah satu manifesto beliau di parlimen berkenaan, Khairy menjawab sudah tentu.

Jelasnya ia melibatkan soal graduan UiTM yang mana terdapat fakulti perubatan dan pergigian yang berkaitan dengan portfolio beliau sebagai Menteri Kesihatan.

“Sudah pasti dalam manifesto yang akan saya lancarkan nanti soal graduan UiTM akan diambil kira sebab di UiTM Sungai Buloh ada fakulti perubatan dan fakulti pergigian.

“Ini juga terkait secara langsung dengan jawatan saya sebagai Menteri Kesihatan, jadi mestilah ada sesuatu yang akan saya cadangkan untuk mereka dalam manifesto yang akan diumumkan minggu hadapan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×