Dia sat sokong itu, sat sokong ini - Dr. Mahathir ulas kritikan Rafizi

Dia sat sokong itu, sat sokong ini – Dr. Mahathir ulas kritikan Rafizi terhadapnya

mahathir
DR. Mahathir Mohamad (dua kanan) mendengar pandangan penduduk ketika menghadiri program bersama penduduk Ulu Melaka dan Bayas di Restoran Siti Fatimah, Jalan Kampung Tok Senik, Kampung Mata Air, Langkawi. -UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Tun Dr. Mahathir Mohamad menganggap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengkritik beliau semasa menjadi Perdana Menteri ketujuh bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya bertujuan memburukkan imejnya di ambang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, tindakan Rafizi adalah perkara biasa yang akan dibuat dalam dunia politik kerana mereka bukan lagi dalam gabungan yang sama.

Penyandang kerusi Parlimen Langkawi itu berkata, beliau juga menerima pelbagai kritikan semasa berkhidmat sebagai Perdana Menteri keempat dan mempersoalkan tindakan PH yang memilihnya sebagai Perdana Menteri pada PRU14.

“Apabila dia lawan dengan kita dia nanti burukkan imej kitalah, dia cerita macam-macam. Tapi terpulang kepada rakyat sama ada nak percaya mereka atau pun tolak orang macam Rafizi ini.

“Dia sat sokong itu, sat sokong ini. Dia nampak saya bertanding, kena hentamlah. Saya kena hentam ok (sahaja), daripada dulu saya jadi Perdana Menteri yang keempat pun saya kena belasah teruk kononnya saya diktator, saya ada kroni.

“Lepas itu bila saya masuk parti lawan, (mereka) pilih saya jadi Perdana Menteri. Kalau dia percaya saya begitu buruk kenapa dia nak pilih saya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program bersama penduduk Ulu Melaka dan Bayas di Restoran Siti Fatimah, hari ini.

Rafizi sebelum ini menyatakan tiada kerjasama yang akan dibuat antara PH dan Dr. Mahathir kerana bekas Perdana Menteri itu didakwa tidak membantu untuk menarik sokongan daripada orang Melayu semasa PRU14.

Sebelum ini, pada 22 Oktober lalu, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka bersedia untuk bertanding pada PRU15 tanpa Pejuang dan Pengerusinya.

Walaupun Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak untuk bertemu beliau, Saifuddin memberikan gambaran tiada kerjasama yang akan dibuat bersama Dr. Mahathir dalam PRU15 nanti.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×