GEORGE TOWN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tekad mahu mencipta kejutan dengan melakar kemenangan di kerusi masing-masing.
Calon bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor berkata, beliau yakin kemenangan akan berpihak kepada BN terutama di kerusi Parlimen yang akan ditandinginya.
Muhamad Yusoff yang berpengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua berkata, ini kerana calon-calon daripada parti lawan seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan Tanah Air (GTA) merupakan calon luar yang tidak dikenali penduduk tempatan.
”Kita yakin dapat merampas semula kerusi Parlimen Tasek Gelugor kerana sebelum ini kerusi itu memang milik kita.
”Kita juga telah buat kerja lama di sini, orang tempatan pun telah kenal kita di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada PRU-14, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi calon UMNO, Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti tipis sebanyak 81 undi sebelum Shabudin mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai Bersatu pada 2019.
Muhamad Yusoff dijangka bertembung calon nama besar daripada PN iaitu Datuk Wan Saiful Wan Jan selain beberapa nama lain yang turut mengesahkan bertanding kerusi itu antaranya Razak Ridzuan (PH); Mohd. Akmal Azhar (Warisan) dan Abdul Halim Sherjung (GTA).
Menurut Muhamad Yusoff, BN sebelum ini berjaya mendapatkan kira-kira 30,000 hingga 40,000 undi daripada penyokong setia BN dan UMNO.
”Jadi pada pilihan raya kali ini, kita perlu bekerja keras lagi dan memfokuskan kepada pengundi muda serta pengundi yang baharu pertama kali mengundi yang merupakan kumpulan pengundi sangat penting,” katanya.
Dalam pada itu, calon muka baharu BN di kerusi Parlimen Tanjong, Tan Kim Nee daripada MCA berkata, beliau juga mahu memastikan kemenangan BN di kerusi Parlimen Tanjong yang sebelum ini didominasi DAP.
”Saya telah melakukan gerak kerja di kawasan Parlimen Tanjong sejak 2018, jadi saya yakin pengundi telah mengenali saya serta parti,” katanya. – UTUSAN










