Astana lunas impian Luqman Hafidz - Utusan Malaysia

Astana lunas impian Luqman Hafidz

LUQMAN (tengah) banyak memerhatikan cara kerja pengarah berpengalaman dalam menggarap siri mini Astana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IMPIAN pelakon, Luqman Hafidz untuk bergelar pengarah tercapai apabila diberi kepercayaan untuk mengarahkan siri mini, Astana untuk tayangan di platform YouTube, Astana Motion Studio.

Kata pemilik nama Muhd. Luqman Hafidz Mohd Fauzi ini, keputusan untuk duduk di kerusi pengarah tidak dibuat sehari dua, malah mengambil masa agar dia betul-betul bersedia menggalas peranan tersebut.

“Minat untuk jadi pengarah sudah lama saya simpan. Bagaimanapun, lakonan masih kerjaya utama. Cuma, saya rasa lebih puas bila dapat garap sendiri satu-satu cerita.

“Peluang mengarah bukan senang untuk dapat sebab kena ada cerita dan motivasi yang betul. Jadi, bila Allah sudah tentukan masanya, teruskan sahaja,” katanya.

Pelakon yang popular menerusi filem Ola Bola ini mengakui, tanggungjawab pengarah terlalu besar dalam menentukan kejayaan sesebuah filem atau drama.

Katanya, Astana menjadi permulaan yang banyak mengajar tentang selok-belok seni pengarahan.

“Saya buat rujukan sendiri sebelum meneroka bidang lebih mencabar.

“Sebenarnya, menduduki kerusi pengarah bukan tugas mudah. Lebih-lebih lagi apabila mengarahkan Astana kerana skripnya bersifat spontan dan bersahaja.

“Untuk pengetahun penonton, saya gunakan lima kamera untuk siri mini ini bagi memudahkan penggambaran dan mengelakkan proses itu berulang,” katanya.

Kongsi Luqman lagi, sepanjang bergelar pelakon, dia turut belajar selok- belok pengarahan daripada sutradara berpengalaman.

Katanya, ilmu yang dicedok dengan memerhatikan cara kerja pengarah yang pernah bekerjasama dengannya dimanfaatkan ketika mengarahkan siri mini berkenaan.

“Berlakon memang seronok, pengarahan pula umpama menjadi orang ketiga yang kena teliti semua perkara dalam proses sesuatu produksi. Bila dapat buat kedua-duanya, saya rasa lebih puas.

“Saya masih belajar, sentiasa buat rujukan dan banyak bertanya kepada mentor.

“Saya sering perhatikan cara kerja pengarah berpengalaman seperti Razaisyam Rashid, Datuk Yusry Abdul Halim dan Puan Sri Tiara Jacquelina. Ilmu mereka sangat hebat,” jelasnya.

Luqman juga memaklumkan, telah menerima beberapa tawaran untuk mengarah daripada beberapa penerbit tempatan.

Bagaimanapun ujarnya, dia masih meneliti tawaran tersebut dan belum membuat apa-apa keputusan.

“Saya masih fikirkan lagi, tengok kapasiti dan kemampuan saya terlebih dahulu. Kalau tidak mampu, saya tidak akan ambil. Saya tidak boleh ‘henjut’ semua sebab khuatir kualiti kerja menurun.

“Tentulah, matlamat akhir setiap pengarah adalah filem. Jadi, saya harap peluang itu akan tiba satu hari nanti,” sambungnya.

Hormati pandangan orang

Bercerita soal kontroversi rumah tangga, Luqman berharap semua pihak tidak berat sebelah, dan hanya memberi fokus kepada cerita peribadi serta sensasi berbanding pencapaian seseorang artis.

Kata Luqman, sebagai anak seni, dia faham kehendak peminat yang sebilangan besar mengikuti perkembangan rumah tangganya selama ini.

Meskipun begitu, Luqman berharap kehendak dan permintaannya untuk menyimpan soal peribadi dihormati semua pihak.

“Sedari dulu, saya memang jarang berkongsi hal rumah tangga. Mereka yang ikuti media sosial saya sedar perkara itu.

“Saya tidak berniat membiarkan orang berteka-teki dan berspekulasi tentang status rumah tangga saya.

“Kita jangan jadi seperti zombie. Ada perkara hangat, kita kerumun. Bagi yang membuat andaian tentang hal peribadi, terutama soal rumah tangga saya, terpulang kepada mereka.

“Saya akan tetap dengan cara sama kerana ada banyak hati yang perlu saya jaga,” ujarnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×