KEMUNCULAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan mungkin merupakan sesuatu yang tidak pernah difikirkan oleh banyak pihak selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Bintang beliau mula terserlah setelah diangkat sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen apabila UMNO/BN mendapat peranan baharu sebagai pembangkang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sebagai Ketua Pembangkang mewakili parti utama yang telah biasa menerajui kerajaan lebih enam dekad, tugas Ismail Sabri tidaklah mudah. Walaupun UMNO dan BN mempunyai ketuanya, iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, tetapi tugas besar tersebut diserahkan kepada Ismail Sabri untuk menggalasnya.
Maka bermulalah era UMNO/BN menjadi pembangkang di Parlimen dengan Ismail Sabri sebagai ketuanya. Beliau menggalas tugas sukar ini ketika kerajaan baharu di bawah PH mula membongkar satu demi satu ‘kesalahan dan kesilapan’ kerajaan BN di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dengan sejumlah pemimpin-pemimpin UMNO yang sebahagiannya adalah ahli Parlimen mula didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan dikaitkan dengan salah guna kuasa dan rasuah, ditambah sejumlah lain melompat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sedang memimpin kerajaan, kedudukan UMNO/BN yang baru kalah PRU kelihatannya seperti berada dalam situasi amat parah, seolah-olah telur di hujung tanduk dan nyawa di hujung pedang.
BN juga menghadapi cabaran hebat apabila terdapat parti-parti komponen utama meninggalkan gabungan tersebut, membiarkan hanya MCA dan MIC masih setia dan terkial-kial mencari haluan baharu bersama UMNO.
Tanpa pemimpin-pemimpin utama parti yang sedang bergelut dengan kes mahkamah dan sebahagian lain mula menjauhkan diri serta terdapat juga sedang berkira-kira mahu melompat menyertai kerajaan PH atas pelbagai sebab dan alasan, Ismail Sabri terus setia dan istiqamah memimpin UMNO/BN di dalam Parlimen. Beliau menghadapi pelbagai kecaman, penghinaan dan maruah yang tercalar teruk ketika itu.
Di ketika inilah karisma dan kepemimpinan Ismail Sabri mula terserlah dengan pendekatan tenang, sabar dan berhemah menghadapi tohmahan ahli-ahli Parlimen PH yang ketika itu ibarat kaduk naik junjung dan seperti gadis julung bersubang, bujang julung berkeris.
Mungkin sebahagian kita telah lupa betapa keupayaan Ismail Sabri menyanggah hujah dan berdepan dengan menteri-menteri baharu dari PH termasuk ahli-ahli Parlimennya saban masa hanya menyalahkan dan mencari jalan memperlekehkan UMNO/BN yang masih bergelut mencari hala tuju dan masa depan amat sukar di sepanjang sejarahnya sejak merdeka. Beliau menggembleng tenaga dan sisa-sisa kekuatan yang masih tinggal dalam kalangan ahli-ahli Parlimen UMNO/BN bagi menghadapi serangan bertubi-tubi daripada PH di dalam dan luar Parlimen. Tidak terkecuali di media sosial yang jauh lebih keras dan tanpa selindung atas kebebasan baharu yang diperolehi apabila kuasa pemerintahan bertukar tangan.
GAGAH
Justeru, keupayaan beliau memimpin UMNO/BN di Parlimen dan kedudukan sebagai Ketua Pembangkang jelas sudah teruji selama 22 bulan di bawah pemerintahan kerajaan PH. Di ketika lain-lain pemimpin kanan UMNO tidak bersedia memikul tugas berat ini, Ismail Sabri tampil dengan penuh rendah hati dan tabah mengambil tanggungjawab memegang panji-panji UMNO/BN di Parlimen dengan tenang tetapi gagah demi maruah partinya.
Beliau terus dihormati kawan dan lawan dalam melaksanakan tugas baharunya ini di Parlimen menghadapi Dr. Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan lainnya. Tidak terkecuali Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer yang setiap masa bangkit mengherdik dan memperlekehkan UMNO/BN dan para pemimpinnya atas segala sesuatu yang buruk berlaku dalam negara sebelum ini.
Kredit sewajarnya diberikan kepada Ismail Sabri atas kepemimpinan cemerlangnya sebagai Ketua Pembangkang UMNO yang pertama di Parlimen selepas mengalami kekalahan teruk dalam PRU14. Tidak mudah melaksanakan tugas ini ketika UMNO/BN hanya tinggal nyawa-nyawa ikan. Apatah lagi berdepan dengan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri buat kali kedua yang nyata berazam mahu melihat UMNO hilang dari persada politik negara. Dr. Mahathir mahu Bersatu mengambil alih peranan yang pernah dimainkan oleh UMNO sebelum ini dalam arena politik dan pemerintahan negara.
Tidaklah keterlaluan jika dikatakan Ismail Sabri berjaya memimpin ahli-ahli Parlimen UMNO/BN di Parlimen ketika mereka berada dalam keadaan morale (semangat) yang rendah dan serba inferior (rendah kedudukan) dalam menghadapi PH dan Dr. Mahathir. Ismail Sabri tampil dengan tenang memikul tanggungjawab memimpin UMNO dan BN menghadapi kerajaan PH dan para penyokongnya di Parlimen.
Apakah Ismail Sabri lulus cemerlang dalam peranannya sebagai Ketua Pembangkang UMNO/BN yang pertama di era pemerintahan PH? Saya kira ramai yang boleh bersetuju jika dikatakan beliau lulus dengan kepujian dalam ujian pertama tersebut.
Tidak hairanlah dengan rekod cemerlang ini, ditambah rekod seterusnya sebagai Menteri Kanan, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri, beliau diberi tanggungjawab mengemudi UMNO dan BN sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU15 pada 19 November ini.
Ismail Sabri ternyata berjaya membuktikan ketokohan memimpin di saat UMNO dan BN, malah rakyat seluruhnya memerlukan kepimpinan dan atas rekod cemerlang beliau ini disertai bantuan pemimpin Top 5 UMNO lainnya, adalah diyakini UMNO dan BN akan berjaya dalam PRU15. – UTUSAN
DATUK Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak ialah Profesor Emeritus dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara. Beliau juga bekas Naib Canselor UUM (2010-2018) dan bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (2020-2021).










