Mengikut satu takrifan tentang sebuah institusi bergelar ‘universiti’, ia merupakan sebuah institusi yang tidak bergelumang dengan politik dan perdagangan. Malah merupakan suatu badan yang menyediakan ruang serta peluang untuk berbincang dan berdialog secara bersopan dan beradab. Merentasi ukuran intelek, budaya serta ekonomi dalam satu perkongsian baik di dalam negara mahupun seluruh dunia.
Kerangka ini diterima pakai melalui satu resolusi persidangan antarabangsa di Bangkok pada 2006 yang dihadiri lebih 1,500 peserta mewakili 85 negara termasuk hampir 300 ketua institusi seperti presiden, rektor, naib canselor dan seumpamanya.
Ia merupakan satu-satu takrifan terkehadapan bagi sebuah institusi yang beperanan sebagai pemikir, perintis, perubah dan pembina bebas serta berkecuali tanpa apa-apa pautan politik berparti, begitu juga perniagaan jual-beli dan pengkomersialan. Ini bermakna ruang lingkup sebuah universiti itu amat luas daripada apa yang dijangkakan.
Dalam kerangka ini, tiga aspek utama dikenal pasti bukan sahaja tertumpu kepada aspek intelek untuk kemakmuran ekonomi dan kebendaan belaka, tetapi juga aspek lain seperti pembudayaan. Yakni satu cara hidup serta berfikir yang lebih menyeluruh lagi sempurna sebagai seorang insan sejahtera sepertimana tercatat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) 1996.
Dan cara sedemikian kegunaan merata sebagai asas pendidikan yang ‘tulen’ sesuai dengan asuhan fitrah manusia sejak lahirnya. Sebab itulah agaknya negara jiran meletakkan pendidikan bersama kebudayaan di bawah satu bumbung kerana kaitan ilmu dan amal cukup mirip sebagai satu kemenjadian pelajar itu sendiri. Yakni mereka berilmu sekali gus berbudaya, hatta beradab.
Kebudayaan bukan semata-mata merupakan daya tarikan pelancong dan pengunjung bagi melariskan ekonomi. Tetapi untuk memupuk amanah serta maruah sekali gus. Negara Bhutan misalnya menakrifkannya dengan baik dan menguntungkan bukan sahaja dari aspek ekonomi, serentak budaya serta akhlak sekali.
Malaysia dalam hal ini gemar mengasingkan budaya daripada pendidikan, bahkan pendidikan juga dipisah-pisahkan. Jika dibandingkan dengan negara Jepun pula, pendidikan digabungkan dengan empat lagi aspek di bawah satu kementerian bergelar MEXT – pendidikan, budaya, sukan, sains dan teknologi. Dalam pada itu MEXT masih mampu melangsaikan aktiviti gergasi umpamanya Sukan Olimpik Tokyo 2020, tahun lalu sewaktu diambang serangan Covid-19.
Apatah lagi dari segi sains dan teknologi yang turut mengagumi dalam melicinkan lagi acara sukan tersebut melalui teknologi robotik tercanggih ulung-ulung kalinya. Kagumnya, aspek budaya serta nilai berkaitan tidak dicicirkan. Malah banyak di antaranya dijadikan sempadan dalam menangani rebakan Covid-19 khususnya daripada penjagaan kebersihan sewaktu pandemik terus meruncing.
Tidak syak lagi kerana pembudayaan kebersihan menjadikan Jepun antara negara yang berjaya mengawal pandemik berbanding dunia Barat contohnya. Sedihnya, soal pembudayaan mendalam seperti ini masih jauh daripada amalan kita seharian di Malaysia.
Maka tidak hairan jika baru-baru ini sebuah universiti tempatan mendapat teguran merata oleh warga internet akan kod pakaian yang diuar-uarkan menjelang majlis konvokesyen terdekat.
Ramai merasakan cadangan berkenaan tidak mengambil kira kepelbagaian budaya yang mewarnainya sebagai sebuah universiti bersifat ‘kebangsaan.’
Ada pula yang mendakwa ketidakpekaan silang-budaya tempatan walaupun universiti itu melonjak ke ruang antarabangsa serta mengguna bahasa lain, bahasa Melayu untuk mengajar serta berurusan. Semua pertembungan dasar dengan amal menampakkan lagi kelompangan kecerdasan budaya CQ) yang dibayangkan.
Ada juga pihak yang mengecap universiti tempatan keseluruhan kurang berfikir dengan bernas sebelum mencadangkan itu dan ini. Terantuk baru tengadah. Nasi sering menjadi bubur.
Apa pun penulis sebuah makalah media menanyakan, “Di mana silapnya universiti kita?” dengan menyorot semula kepada soal asal akan kefahaman asas sesebuah universiti itu sepertimana dibicara di atas.
Dan dikaitkan pula bagaimana universiti kini dipolitikkan sehingga makna akan sebuah universiti itu terus terhakis masa demi masa. Ditambah pula dengan adanya amalan berbagai yang mengongkong kebebasan bersuara dan terhalang bertindak sebagai sebuah institusi berwibawa.
Kepelbagaian turut menjadi sempit kepada mana-mana satu pemikiran budaya sahaja. Semua ini hujahkan pelbagai satu ‘kelemahan’ berfikir terkesan daripada pelbagai tekanan berpunca daripada akta seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selepas empat dekad lamanya. Walaupun pelbagai usaha dikatakan sedang diambil untuk mengembalikan semula maruah universiti sepertimana pra-AUKU, namun perjalanannya tidak serancak yang diberitakan.
Natijahnya universiti masih dibelenggu pelbagai peristiwa yang sewajarnya boleh dielakkan, seolah pemikiran juga turut terbelenggu. Yang lebih memusykilkan adalah universiti itu mungkin tersenarai sebagai bertaraf dunia – antara terbaik mengikut senarai anjuran QS umpamanya.
Adakah ukuran yang digunakan QS mengambil kira faktor CQ serta nilai silang-budaya dalam mentafsir kriteria pendidikannya? Atau ia satu ketelanjuran kerana CQ dan silang-budaya tidak wujud dalam memakna maksud pendidikan sebenarnya? Jelas di sinilah silapnya universiti kita hari ini. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










