50 mangsa masih berada di Laos dan Kemboja

50 mangsa masih berada di Laos dan Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejumlah 20 mangsa dilaporkan masih terperangkap dengan agensi sindiket pekerjaan haram dan 30 lagi sudah diselamatkan tetapi belum dibawa pulang ke Malaysia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya sedang berusaha menyelamatkan 20 mangsa yang melaporkan terperangkap oleh sindiket di Laos dan Cambodia.

“Sementara itu, 30 lagi mangsa yang diselamatkan akan dibawa pulang secepat mungkin selepas dokumentasi dan saman mereka diselesaikan.

“Walaupun mangsa berjaya diselamatkan, bukan mudah untuk membawa mereka pulang kerana ada individu yang tidak mempunyai dokumen sah dan sesetengahnya sudah tamat tempoh jadi terpaksa membayar saman dahulu.

“Di Kemboja, penempatan sementara mangsa sebelum dibawa pulang adalah mahal dengan kos penginapan dan makanan. Mangsa kebanyakannya dari golongan yang kurang berkemampuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu media melaporkan, seorang mangsa berkata, dia ditawarkan bekerja di Kemboja sebagai pekerja pembersihan di sebuah kasino dengan bayaran gaji AS$1,000 sebulan dan menerima tawaran itu bagi mengumpul duit untuk perkahwinannya.

Dia dan tunangnya menerima tawaran pekerjaan itu, namun terperanjat apabila dimaklumkan akan melakukan kerja yang tidak berkaitan dengan tawaran asal. Mereka dipaksa menjadi scammer untuk pelaburan wang digital.

Hishamuddin berkata, dua perkara yang sedang dilaksanakan sekarang adalah mengumpul maklumat semua mangsa dan menghantar wakil MHO untuk membawa pulang mereka.

“Fasa pertama membawa keluar mangsa adalah mereka harus berusaha melarikan diri daripada tempat pengurungan, ada mangsa yang berjaya keluar sendiri dan sesetengahnya diselamatkan oleh polis tempatan.

“Selepas itu, baru MHO dapat bantu selesaikan masalah dokumentasi dan berusaha membayar saman atau apa-apa tunggakan sebelum dibenarkan untuk dibawa pulang,” katanya.

Hishamuddin berkata, sudah lama MHO memberi kesedaran dan mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dengan iklan yang menawarkan gaji yang terlalu lumayan.

“Pada masa yang sama, jangan percaya dan mengikut ajakan rakan-rakan tanpa soal selidik kerana ramai yang terperangkap dalam sindiket ini kerana ikutan orang lain.

“Kerajaan juga harus mengetatkan kawalan dengan memeriksa pasport rakyat Malaysia yang keluar dengan tujuan kerja buat pertama kali terutamanya remaja yang berusia 18 tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×