ASA 2022: Komitmen, keikhlasan kunci kejayaan Pencipta Pegang Waktu - Utusan Malaysia

ASA 2022: Komitmen, keikhlasan kunci kejayaan Pencipta Pegang Waktu

FAUZIAH Nawi bersama barisan pemenang Anugerah Seri Angkasa 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENAM tahun Anugerah Seri Angkasa (ASA) menyepi, tahun ini penganugerahan berprestij itu kembali. Memberi pengiktirafan kepada pencipta, pengkarya dan penggiat seni yang lama dahagakan penghargaan.

Malam kemuncak ASA 2022 menyaksikan naskhah Pencipta Pegang Waktu merangkul dua trofi daripada tujuh pencalonan. Kejayaan yang mengukir senyuman kepada seluruh team produksi nashkah hebat itu.

Tidak hanya memegang trofi Drama TV Terbaik, kemenangan itu turut melayakkan penerbit, Nor Shahila Harun Shah membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM200,000.

Pengarahnya pula, Zainorhisyam Samudi turut pulang dengan senyuman apabila menewaskan pencabar hebat lain antaranya Sabri Yunus dan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin untuk merangkul trofi Pengarah TV Terbaik.

Nor Shahila ketika ditemui berkata, kemenangan mengejutkan itu sebenarnya tercipta menerusi kerjasama dan komitmen seluruh kru produksi yang sama-sama memerah idea untuk menghasilkan sebuah naskhah terbaik.

“Memang berdebar dan terkejut. Ketika diumumkan menang, dalam kepada saya hanya memikirkan nama yang turut ada dalam penghasilan drama ini. Ia kemenangan semua, pelakon, pengarah dan kru.

“Kami bersaing dengan calon-calon yang hebat. Semestinya ini adalah pengiktirafan dan pembakar semangat untuk kami menerbitkan naskhah yang mampu menjadi penanda aras karya tempatan.

“Trofi ini adalah hasil titik peluh, kejayaan setiap kita. ASA perlu diteruskan penganjurannya setiap tahun demi memastikan hasil kerja anak tempatan diiktiraf dan dihargai di peringkat nasional,” katanya.

Ditanya bagaimana DKD bernilai RM200,000 akan digunakan bagi menghasilkan karya lebih hebat, Nor Shahila berkata, perbincangan lebih teliti berhubung idea dan konsep naskhah seterusnya perlu diadakan.

“Kami mahu bekerjasama dengan team yang sama. Ini adalah pasukan impian saya. Baik pelakon, pengarah, penulis skrip, semuanya menyumbang kepada penghasilan karya yang bagus.

“Apa yang saya boleh katakan, tidak mustahil untuk kami semua kembali bekerjasama. Que Haidar sebagai contoh, dia mempunyai banyak idea. Malah pelakon lain seperti Khir Rahman, Fauziah Ahmad Daud dan Puteri Balqis juga tidak kurang hebatnya,” katanya.

Menganggap jalan cerita yang mengangkat tema kemanusiaan membolehkan Pencipta Pegang Waktu merangkul dua trofi ASA 2022, pengarahnya, Zainorhisyam berkata, keikhlasan dalam bekerja juga membuka pintu rezeki kemenangan.

“Kalau tanya saya kekuatan Pencipta Pegang Waktu adalah kerjasama daripada seluruh kru produksi. Ini bukan kerja seorang. Sehebat mana pun pengarah, jika tiada komitmen daripada kru dan pelakon, usaha itu tidak akan berhasil.

“Akar naskhah ini adalah skrip, jalan cerita dan hala tujunya. Keikhlasan dalam bekerja juga adalah kunci. Kita tidak boleh menipu rasa, walaupun dalam kaca. Tema kemanusiaan itu cukup kuat,” ujarnya.

Ganjaran DKD bernilai RM150,000 pula dianugerahkan kepada penerbit dokumentari Social Playlist, Herbert Pua Kuo Jie selepas naskhah garapannya diangkat Dokumentari Terbaik.

ARWAH ABAH MESTI BANGGA – FAUZIAH NAWI

Malam kemuncak ASA 2022 juga menyaksikan seniwati tanah air, Fauziah Nawi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa yang mengiktiraf pengorbanan serta jasa seninya selama lima dekad.

Menerima trofi dan wang tunai RM10,000, pelakon hebat itu tidak menyangka, bakti yang ditabur selama lima dekad dalam industri menobatkannya dengan anugerah yang cukup berprestij.

“Tidak pernah terfikir untuk menerima anugerah ini. Seni menghidupkan saya dan keluarga. Anugerah ini memberi penghormatan kepada semua anak seni yang telah menabur bakti dalam membangunkan industri.

“Untuk pengetahuan semua, RTM adalah universiti pertama saya. Malam ini, kalau arwah bapa masih ada, mesti dia gembira. Dia tidak suka saya jadi anak seni kerana buka ruang fitnah. Tetapi dia pesan, kalau sudah masuk, jangan keluar.

“Untuk anak seni lain, jalan terus. Jangan pernah berhenti untuk membuktikan cinta kita terhadap seni. Rezeki akan datang pada bila-bila masa. Buat kerana cinta, bukan kerana anugerah,” katanya.

Usai membuat ucapan, seniwati hebat itu diberi kejutan apabila penaja utama, DRB-Hicom menghadiahkan sebuah kereta Mitsubishi XPander sebagai ganjaran kemenangan.

“Allah sangat baik. Kereta saya terbakar, empat tahun lalu. Saya tidak ada kereta. Saya hadiri majlis hiburan, minggu lalu dan mahu menang cabutan bertuah sebuah kereta. Saya pergi beli barangan sebagai syarat untuk masuk.

“Tetapi, Allah makbulkan doa saya hari ini. Saya tidak mampu beli kereta, untuk buat pinjaman juga sudah tua. Allah itu sangat penyayang,” katanya.

Hadiah disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Selain DRB-Hicom sebagai penaja utama, ASA 2022 turut mendapat sokongan rakan penaja siaran, Telekom Malaysia, selain penaja bersama The Danna Hotel and Resort, Yayasan Al Bukhary Foundation, Mutiara Taman Negara, Rebak Island Resort & Marina, Pelangi Beach Resort & Spa, Glenmarie Golf & Country Club, Habib Jewels, Gardenia, CSR, Jasmine dan Fera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×