Lambakan graduan pendidikan makin kritikal - Utusan Malaysia

Lambakan graduan pendidikan makin kritikal

Nasib pelajar perubatan di Mesir terumbang-ambing ekoran ketetapan baharu dikeluarkan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) berhubung kelayakan kelulusan mereka. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dianggarkan hampir 10,000 graduan pendidikan universiti awam (UA) menganggur kerana belum menerima penempatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 dalam tempoh beberapa tahun sehingga sekarang.

Bilangan tersebut berdasarkan kutipan data terakhir oleh Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) pada Januari 2020 yang menyaksikan sekurang-kurangnya 4,390 graduan mendakwa mereka masih menunggu surat tawaran penempatan di mana-mana pusat pendidikan tetapi hampa.

Statistik Pengajian Tinggi 2016 oleh Kementerian Pengajian Tinggi pula merekodkan seramai 8,825 kemasukan untuk pelajar bidang pendidikan pada 2016 untuk semua peringkat pengajian ditawarkan di universiti awam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dengan anggaran 60 peratus daripadanya ialah pengambilan Ijazah Sarjana Muda, dianggarkan terdapat 5,300 graduan pendidikan bergraduasi tahun lalu, menambah jumlah graduan pendidikan yang menganggur ke tahap yang kritikal.

Semakan di laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) mendapati tiada temu duga untuk graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Universiti Awam sepanjang 2020.

Bagaimanapun, temu duga bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) untuk graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dilaksanakan pada tahun tersebut.

Wakil GGPUA, Tengku Izwan Fareed Tengku Ismail, 29, berkata, perkembangan tersebut menimbulkan kerisauan berlaku lambakan graduan ISMP Universiti Awam kerana institusi itu terus melahirkan graduan pendidikan dengan graduan sedia ada belum dilantik untuk jawatan PPP Gred DG41 sudah mencecah ribuan orang.

“GGPUA memahami situasi negara akibat pandemik Covid-19 namun jika tiada tindakan diambil Kementerian Pendidikan, situasi sedia ada dikhuatiri semakin parah.

“Bayangkan, ketika temu duga dijalankan setiap tahun pun kita sudah ada masalah tentang penempatan graduan pendidikan, bagaimana pula sekarang?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Utusan Malaysia cuba menghubungi Bahagian Pengambilan SPP bagi mendapatkan jumlah permohonan untuk jawatan PPP DG41 namun panggilan tidak berjawab.

Tengku Izwan Fareed berkata, pihaknya berharap Kementerian Pendidikan dan SPP dapat mengambil langkah segera sebelum ia semakin tenat.

Katanya, pasti ada kekosongan guru di sekolah sepanjang tahun lalu dan ia perlu diisi bagi menghadapi sesi persekolahan yang dijangka kembali seperti biasa selepas vaksin Covid-19 diedarkan.

Akhbar ini pernah melaporkan isu sama pada 2018 apabila kira-kira 6,500 graduan pendidikan mendakwa belum ditempatkan.

Beberapa temu duga dan pengambilan dijalankan selepas itu namun masalah lambakan graduan belum dapat diselesaikan kerana kekosongan yang ada di sekolah-sekolah tidak dapat menampung kebanjiran graduan.

Menurut Tengku Izwan Fareed lagi, masih banyak isu asas berkenaan perkara tersebut belum diselesaikan termasuk layanan industri terhadap graduan pendidikan yang menyebabkan golongan tersebut sukar mendapat pekerjaan setara dengan tahap pendidikan di luar bidang serta pengambilan siswazah baharu tanpa kawalan oleh universiti-universiti awam.

“Terdapat begitu banyak kes melibatkan graduan pendidikan yang ditolak permohonan pekerjaan di luar bidang pendidikan disebabkan status sebagai graduan pendidikan. Ini menyebabkan mereka terpaksa terus bergantung harapan untuk menjadi guru bagi mendapatkan pekerjaan setimpal.

“Graduan pendidikan juga bertambah setiap tahun. Adakah universiti menawarkan tempat untuk pelajar mengikut unjuran kekosongan di sekolah? Ini perlu dijawab oleh semua universiti yang menawarkan ISMP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×