SEBAIK kaki melangkah di pekarangan sekolah alternatif, Pusat Pembangunan Minda Insan Kampung Tagupi Laut di Lahad Datu, Sabah, terlihat sekumpulan anak kecil sedang mengais pasir bersama dua ekor kambing peliharaan. Bila terlihat rombongan kami tiba, tidak semena-mena mereka menerpa dan menghulurkan tangan untuk bersalam sambil berteriak, “Kami suka cikgu datang!”
Raut wajah ceria, berkulit sawo matang, berbaju Melayu oren dan berambut keriting ialah susuk biasa di Kampung Tagupi Laut, mirip dengan mana-mana diri kita yang berketurunan Melayu. Cuma bezanya, mereka tidak memiliki sekeping kad berwarna biru yang menyatakan status warganegara.
Pandangan kami seterusnya terhenti di beberapa deretan kelas setentang dengan dewan utama tempat para pelajar berhimpun. Tiada langsir menghias, tiada papan putih, kerusi dan meja juga sangat sedikit bilangannya yang masih utuh tetapi dipenuhi pula binatang ternakan milik penduduk sekeliling. Kambing dan anjing ialah penghuni utama kelas-kelas tersebut pada waktu malam dan hari minggu ketika semua guru dan pelajar pulang ke rumah masing-masing.
Selama lima hari delegasi berada di sana, dua hari penuh digunakan khusus untuk para guru menajamkan kembali ilmu kemahiran sedia ada. Di sini, latihan pedagogi berkaitan amalan pengajaran masing-masing cuba diberikan penambahbaikan.
Pedagogi bermaksud seni mengajar atau menyampaikan sesuatu ilmu dengan kaedah paling berkesan. Pada kelazimannya, pedagogi ini dibicarakan oleh setiap pendidik yang ingin menambah mutu pengajaran mereka di sekolah biasa. Sekolah biasa bererti kesemua prasarananya lengkap serba-serbi – meja, kerusi, papan putih, komputer riba, projektor, makmal dan segala keperluan yang berkait dengan sebuah sekolah.
Tetapi pada kali ini, kita melihat bagaimana pedagogi ini cuba digarap bagi manfaat sekumpulan guru yang berada di luar daripada kebiasaan dengan menggunakan pendekatan reflektif.
Mengapa reflektif? Kerana ia adalah satu-satunya alat yang ampuh bagi seorang guru untuk mengisi kelompangan prasarana, teknologi serta dapat menampung semua kekurangan yang ada. Dengan adanya kebolehan membuat refleksi, guru dapat menajamkan semula penyampaian dan menggembleng semua sumber yang ada untuk disalurkan kepada penambahbaikan sesuatu pengajaran.
NAJIS
Ketika ditanya masalah yang biasa mereka hadapi ketika rutin di dalam kelas, jawab salah seorang guru, “Membersihkan najis binatang.” Aneh tetapi benar. Kelas perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum sesi pembelajaran dimulakan. Ini memakan masa hampir separuh hari digunakan oleh guru dan pelajar untuk menyediakan persekitaran yang selesa untuk belajar. Maka hasil daripada kaedah refleksi Gibbs, guru menyatakan perlu duduk bersama memikirkan cara menghalang kelas daripada dicerobohi bagi mengelak masa terbuang untuk sesi pembelajaran pada setiap hari awal minggu.
Sesi diteruskan dengan permasalahan mengenai tumpuan pelajar di dalam kelas subjek Matematik dan Sains. Sekali lagi kemahiran reflektif melihat masalah dari pelbagai sudut digunakan. Setelah berbincang berdasarkan pengamatan guru, punca utama disebabkan kedudukan papan hitam yang setentang dengan cahaya matahari waktu pagi menyebabkan mata pelajar silau dan tidak nampak tulisan di atasnya.
Tambahan pula saiz papan hitam amat kecil dan hanya muat sedepa saiz tangan seorang lelaki dewasa. Ini mengakibatkan murid pening, hilang tumpuan dan gagal memahami apa yang diajar. Hasil daripada refleksi guru ialah susunan meja dan kedudukan papan hitam perlu diubah bagi mengelakkan silau cahaya matahari dan menambah lagi papan keping sebagai tambahan papan hitam sedia ada.
BANGKAI
Pada masa sama, seorang guru mencelah dan menanyakan perihal stail dan kaedah paling sesuai perlu digunakan bagi mencuri perhatian dan menarik minat pelajar. Apabila kemahiran refleksi digunakan, guru yang lain menyatakan bahawa perlunya setiap pendidik itu mengenal kekuatan dan kelemahan diri sendiri sebelum membuat satu pendekatan efektif. Ini bermaksud refleksi juga membantu guru menghasilkan stail tersendiri yang sesuai dengan pelajarnya serta meraikan setiap kelebihan yang ada pada diri sendiri. Nah, sekali lagi masalah dapat diselesaikan menggunakan refleksi.
Namun, kaedah refleksi tidak membawa maksud para guru ini harus dibiarkan begitu sahaja tanpa apa-apa bantuan infrastruktur ataupun bentuk kemudahan lain. Ia tidak membolehkan kita terlepas tangan dengan membiarkan mereka terkapai-kapai menyelesaikan masalah sendiri. Sesuai dengan peribahasa, kalau bangkai galikan kuburnya, kalau hidup sediakan buaiannya. Pada saat ini, dengan kemahiran refleksi membolehkan mereka mengubah apa yang dalam kawalan di samping menunggu tangan-tangan yang sudi membantu demi masa depan lebih cerah.
Dalam pada politikus negara sibuk dengan kempen mereka di musim pilihan raya umum ini, haruslah dihulurkan tangan agar pendidikan masyarakat rentan juga dapat menerima imbuhan pembangunan negara.
Jangan nanti yang disogok hanya mereka yang mengundi di bandar-bandar besar sedangkan golongan rentan terus terpinggir daripada pembangunan negara. – UTUSAN
DR. Ahmad Zulfadhli Khairuddin ialah pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan aktivis #TagupiMembaca.










