MUNCUL dengan album terbaharu berjudul Marhaba, ketika ini Hafiz Hamidun mengakui bukan sesuatu yang mustahil untuknya memberi noktah kepada usaha untuk mengeluarkan album lagi.
Tidak menolak album keenam ini mungkin yang terakhir, bagaimanapun bukanlah bermakna dia akan meninggalkan terus dunia seni.
Mengambil masa sehingga 20 tahun untuk melalui semua ini, jelasnya, dengan pengalaman yang ada dia akan menggunakannya dengan sebaik mungkin.
“Saya pun tak ada jawapan yang tepat, tapi bila orang tanya, saya selalu kata pada diri sendiri ini mungkin album terakhir saya, jadi saya akan buat sehabis baik. Tetapi, ke arah itu memang ada. Saya pun dah hampir 20 tahun dalam industri muzik, sejak 2002.
“Walaupun saya kata ini mungkin album terakhir saya, tapi saya akan tetap aktif menerbitkan lagu dan masih akan terus membuat persembahan. Ramai yang mungkin tak tahu, mahu hasilkan album bukan perkara mudah.
“Tambahan pula jika semua dari diri sendiri, terutamanya dari segi kewangan. Namun saya masih bersyukur menerima sokongan padu dari kawan-kawan dan pihak pengedar Universal Music yang tetap memberikan galakan untuk album ini,” jelasnya.
Ketika penstriman digital mengambil alih dunia muzik kini, ternyata Hafiz masih yakin untuk terus mengeluarkan album berbentuk fizikal.
Memilih platform aplikasi membeli-belah terkenal untuk memasarkan albumnya kali ini, jelasnya ada sebab yang membuatkan dia terus yakin menerbitkan album fizikal.
“Di awal kemunculan saya dengan UNIC dulu pada tahun 2002, kita masih keluarkan kaset. Kemudian beralih kepada cakera padat.
Sampailah album fizikal sudah tidak mendapat sambutan kerana ramai pendengar lebih cenderung kepada strim digital.
“Tetapi, saya tetap merasakan album fizikal ada kekuatan tersendiri terutamanya dari segi sentimental, dan merupakan kepuasan kepada seseorang penyanyi. Dalam masa yang sama saya tidak lupakan aspek album digital kerana majoriti royalti artis kini bergantung kepada strim digital,” katanya.
Berkongsi pengalaman menerbitkan album ini, kata Hafiz dia bukan sahaja mengambil masa sehingga lima tahun untuk menyempurnakan Marhaba tetapi juga turut berulang-alik ke empat negara.
Bangga untuk berkongsi projek ini sebagai projek muzik terbesar yang disiapkan dirinya, ketika ini Hafiz berharap agar ia kekal menjadi karya terbaik.
“Sejak 2015, saya menghabiskan lebih lima tahun berulang-alik dari Malaysia ke Turki, Mesir dan Indonesia untuk menyempurnakan produksi album ini.
“Walaupun sebenarnya saya boleh jimatkan kos dengan tidak perlu terbang ke studio di luar negara dan menunggu sahaja proses rakaman dihantar secara maya, tetapi saya perlu ambil peluang ke sana bagi meluaskan pengalaman dan belajar selok-belok penerbitan dengan penerbitan luar negara.
“Bukan saya tidak percaya bakat tempatan, saya tetap menggunakan khidmat penerbit dan penyusun muzik tempatan untuk beberapa lagu.
“Namun sejujurnya, apabila saya berpeluang bekerja dengan penerbitan di luar negara, terlalu banyak perkara yang saya belajar dan boleh saya kongsikan apabila kembali di Malaysia,” katanya.
Tidak melepaskan peluang menyingkap pengalaman dan cabaran dalam menyiapkan album ini, kata Hafiz dia turut melalui waktu sukar ditipu ejen ketika di Mesir.
“Cabaran paling susah adalah dari segi bahasa pertuturan dan nak sesuaikan dari segi masa, makanan dan cuaca di luar negara. Tetapi alhamdulillah, saya dapat banyak sokongan pihak penerbitan, dengan menyediakan khidmat juru bahasa.
“Di Istanbul, saya juga sudah mempunyai keluarga angkat, yang sudah saya kenali hampir 15 tahun. Jadi, semua urusan di sana dipermudahkan.
“Selain itu, ketika di Mesir untuk sesi rakaman, saya pernah ditipu ejen yang menguruskan perjalanan dan proses rakaman. Tetapi syukur, semuanya selamat dan saya tetap jadikan amalan berwaspada setiap kali berurusan,” katanya.
Marhaba merupakan Selawat Islam moden yang juga susulan dari siri album Zikir Terapi. Sudah berada di pasaran sejak awal tahun lalu, Marhaba mengandungi 13 trek seperti Ya Imam Ar-Rusli, Ahmad Ya Habibi, Khairal Bariyyah dan banyak lagi.










