Dari ‘cukup-cukup makan’, Irujin mampu raih pendapatan 6 angka - Utusan Malaysia

Dari ‘cukup-cukup makan’, Irujin mampu raih pendapatan 6 angka

Irunji Parija memegang ikan kerapu yang diternak di Irunji Agrotourism.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Enam tahun lalu, Irunji Parija, 52, berdepan ujian berat apabila ternakan ikan sangkar yang diusahakan di Pulau Sakar, Lahad Datu, Sabah, mati dalam sekelip mata.

Situasi itu menyebabkan bapa kepada dua anak ini hampir menutup kolam ternakannya gara-gara menanggung kerugian bernilai ratusan ribu ringgit.

Walaupun semangat makin luntur, namun dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan, anak jati Pulau Sakar ini tetap meneruskan perniagaan sambilannya itu hingga mampu berkembang sebagai destinasi agropelancongan popular di Lahad Datu dikenali sebagai Irunji Agrotourism.

Irunji berkata, pusat yang dibuka pada 2019 itu berbeza berbanding lokasi lain kerana pengunjung bukan sekadar dapat memancing, bersantai dan berkayak, malah berpeluang mandi bersama ikan-ikan di kolam yang disediakan.

Katanya, keunikan yang ditawarkan itu sekali gus berjaya menarik kemasukan lebih 200 pengunjung ke lokasi berkenaan dalam sebulan.

Menceritakan lebih lanjut, penyelia kilang itu berkata, minat dalam bidang penternakan ikan tercetus selepas menyertai kursus anjuran Jabatan Perikanan pada 1999.

“Pada masa itu, saya cuma menternak 80 ekor ikan dan selepas 23 tahun, kini jumlahnya meningkat mencecah 20,000 ekor yang terdiri daripada ikan putih, maming di samping hibrid kerapu harimau dan kertang.

“Daripada cuma RM400 sebulan, kini pendapatan yang diraih hasil kerjaya sampingan ini mampu mencecah RM20,000, jauh lebih tinggi berbanding gaji bulanan saya yang kira-kira RM3,000 sebagai penyelia kilang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Naik taraf pekerjaan tradisi keluarga
Irunji berkata, hidupan laut terutama ikan sudah sebati dengan dirinya kerana mula bergelar nelayan sambilan sejak berusia 16 tahun lagi.

Malah, katanya, kerjaya itu juga merupakan warisan turun-temurun keluarga termasuk bapa, datuk dan moyangnya.

“Walaupun sudah tidak ke laut, tetapi saya tetap bergelumang dengan ikan dan berjaya menambah baik kerjaya tradisi ini menerusi penternakan ikan bagi tujuan eksport.

“Secara purata pengeluaran ikan di Irunji Agrotourism mencecah satu tan setiap bulan bagi dipasarkan ke Hong Kong dan Taiwan,” katanya.

Pusat seluas 4.04 hektar itu memiliki lapan kolam besar manakala 40 lagi bersaiz kecil.

Sambutan luar jangkaan pengunjung
Keunikan konsep agropelancongan diperkenalkan di Irunji Agrotourism itu merupakan yang pertama di Lahad Datu sekali gus membolehkannya terpilih sebagai antara lima pengusaha untuk diketengahkan oleh Tourism Malaysia Sabah.

Ibarat bulan jatuh ke riba, beliau menyifatkan ia sebagai hadiah paling bermakna dalam berkongsi keunikan Pulau Sakar dan Lahad Datu kepada pengunjung.

“Saya terkejut dengan sambutan yang diterima kerana rata-rata yang datang termasuk orang dewasa dan kanak-kanak teruja dapat berenang bersama ikan-ikan selain memancing.

“Pengunjung turut berpeluang melihat monyet merah yang terdapat di hutan berdekatan pusat ini,” katanya.

Bagi menambah keselesaan kepada pengunjung, pihaknya turut menyediakan kemudahan penginapan yang akan beroperasi tidak lama lagi.

Buat masa ini hanya seunit bilik yang disediakan dan merancang untuk menambah tiga lagi di masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×