EKONOMI digital dan Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 saling bergantungan antara satu sama lain. Ekonomi digital didefinisi sebagai aktiviti ekonomi dan sosial melibatkan pengeluaran dan penggunaan teknologi digital oleh individu, perniagaan dan kerajaan. IR 4.0 melibatkan kepesatan pendigitalan merentas domain digital, fizikal dan biologi. IR 4.0 akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi digital apabila pendigitalan berlaku dengan pesat yang membolehkan penghasilan aplikasi teknologi yang lebih canggih dan inovasi serta kemunculan model perniagaan baharu dalam semua sektor. Oleh itu, pembangunan ekonomi digital merupakan hasil kepada IR 4.0 apabila teknologi digital diterima guna secara meluas.
Pendigitalan berupaya membolehkan aplikasi teknologi yang lebih canggih, inovasi dan kemunculan model perniagaan baharu dalam semua sektor. Penerima gunaan teknologi IR 4.0 yang meluas akan mempercepat pertumbuhan ekonomi digital. Ekonomi digital dan IR 4.0 dilihat berupaya dimanfaatkan dalam potensi ekonomi antara dua negara, iaitu Malaysia dan China. Ini kerana kedua-dua bidang tersebut antara potensi yang belum diterokai sepenuhnya walaupun pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara semakin berkembang sejak 2009.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa menyampaikan ucapannya dalam pembukaan Pameran Import dan Eksport China (Canton Fair) ke-130 secara maya berkata, dua bidang tersebut menjadi dasar perdagangan dan pelaburan China sejak dahulu dan termaktub dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan ia dilihat sebagai inisiatif strategik dan berpandangan ke hadapan. Menurutnya, China terus menjadi rakan perdagangan terbesar negara merangkumi 18.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pada tahun lalu. Bagi memacu transformasi digital, Malaysia pada awal tahun ini melancarkan inisiatif MyDigital yang menjadi sebahagian perancangan kerajaan meningkatkan kemajuan negara dalam ekonomi teknologi berdaya tinggi menjelang 2030.
Di bawah IR 4.0, teknologi digital memangkin ekonomi digital serta bidang ekonomi lain termasuk ekonomi hijau dan ekonomi kitaran. Seiring perkembangan teknologi digital yang semakin meluas, domain digital akhirnya akan bergabung dengan domain fizikal dan domain biologi.
Selain menjadi sumber import terbesar negara, eksport Malaysia ke China pada tahun lalu berkembang sebanyak 11.1 peratus merangkumi RM156.9 bilion. Malah, China menjadi pelabur tertinggi di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM18.32 bilion pada tahun lalu dan kedudukan itu kekal sejak 2016.
Pada 2020, 22 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah daripada ekonomi digital dan sektor ini dijangka mewujudkan sebanyak 500,000 peluang pekerjaan menjelang 2025. Sektor ini turut dirancakkan dengan momentum pendapatan e-dagang yang meningkat kepada AS$190 bilion, peningkatan sebanyak 23 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama, tahun lalu.
ROBOT
Pada 2019, Malaysia menyaksikan penyelesaian pembayaran digital negara berkembang ketara dengan mencatat peningkatan sebanyak 664 peratus dalam pendaftaran peniaga. Pencapaian ini membuktikan pendigitalan menjadi suatu yang kritikal dalam mengukuhkan daya tahan ekonomi. Buktinya, biarpun banyak perniagaan fizikal mengalami jualan terhad semasa tempoh awal sekatan pergerakan ketika berdepan pandemik Covid-19, namun teknologi telah membolehkan aktiviti dilakukan menerusi dalam talian seperti dilihat dalam pelbagai industri pembelian barangan runcit dan penghantaran makanan yang melonjak begitu agresif.
Pelan tindakan ekonomi digital yang dilancarkan bertujuan memperkasakan rakyat, satu inisiatif kerajaan untuk kekal komited bagi meneruskan pendigitalan ekonomi. Inisiatif ini berobjektif untuk melahirkan masyarakat celik digital, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pendidikan teknologi kewangan, penjagaan kesihatan dan banyak lagi. Dalam konteks perundangan teknologi dan infrastruktur digital, Malaysia dilihat masih berkembang dalam ruang itu kerana keadaannya sangat dinamik dan lancar.
Dalam konteks ini, prinsip utama yang mesti ditangani terutama dalam keselamatan dan infrastruktur digital ialah negara mesti berkembang untuk berdaya tahan, harus memastikan keterangkuman, menggalakkan kebolehsuaian dan akhirnya wajib mempunyai tadbir urus yang baik.
Keadaan ini dapat menarik pelancong yang lebih ramai untuk bercuti di negara kita, sekali gus akan menyebabkan berlaku pengaliran mata wang asing.
Bagaimanapun, terdapat juga kesan negatif seperti segelintir pelanggan membuat aduan tempat percutian yang telah ditempah melalui iklan dalam internet tidak memuaskan. Keadaan ini boleh menjejaskan ekonomi negara kerana pengaliran wang tidak akan berlaku sekiranya pelancong tidak lagi berminat untuk bercuti ke Malaysia sekali gus menyebabkan imej buruk negara kerana tidak menjalankan urus niaga dengan jujur. Kehadiran IR 4.0 pasti berlaku dan kesannya akan dirasai oleh seluruh dunia termasuk Malaysia.
Dalam menghadapi IR 4.0, kerajaan perlu bekerjasama dengan semua pihak supaya masyarakat bersedia dalam menghadapi cabaran peralihan bagi memastikan mereka berpengetahuan dan berkemahiran tinggi supaya setanding dengan negara-negara maju lain. Sesuatu kerja atau proses pekerjaan akan menjadi lebih cepat dan cekap dengan penggunaan robot dan mesin, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi negara kerana setiap hasil kerja dan produk dapat dikeluarkan dengan berkualiti dan sistematik mengikut waktu ditetapkan. – UTUSAN
DR. Hainnuraqma Rahim ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Kampus Alor Gajah.










