DATUK Mahfuz Omar mula menjadi Ahli Parlimen Pokok Sena pada 1999 sebelum kalah kepada Barisan Nasional (BN) pada 2004, namun memenangi semula kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) dan PRU13 atas tiket Pas.
Pada 2018, walaupun tidak lagi bertanding atas tiket Pas setelah menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz terus ‘kebal’ mempertahankan kerusi Pokok Sena buat kali keempat setelah meraih 28,959 undi.

Ketika itu, beliau menewaskan calon Pas, Radhi Mat Din yang juga bekas pemain bola sepak Kedah dan negara yang mendapat 23,401 undi serta calon BN, Datuk Said Ali Syed Rastan yang menerima 18,390 undi.
Dalam PRU15 kali ini, nama Naib Presiden Amanah itu disebut-sebut sekali lagi sebagai calon yang sesuai untuk diberi kepercayaan parti bagi mengekalkan kerusi tersebut.
TERUJI
Dijangkakan kekuatan Mahfuz akan benar-benar teruji dalam pilihan raya kali ini selepas beliau dianggap berada pada tempat dan masa yang tepat pada PRU14 lalu ketika aura kebangkitan pembangkang menewaskan BN yang akhirnya membentuk Kerajaan Persekutuan.
Mahfuz mungkin bakal berdepan saingan sengit daripada calon Pas kelak. Malah selain BN, Warisan Kedah juga sudah menyatakan minat untuk memasuki kerusi Parlimen itu sebagai antara lima kawasan dalam penyertaan sulung di negeri ini.
Pas sudah tentu akan melakukan sehabis mungkin bersama Perikatan Nasional (PN) bagi merampas semula kubu kuat mereka itu sebelum ini yang turut menyaksikan dua daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ masih dikuasai mereka.
Namun, sebagai antara pemimpin tertinggi dalam hierarki partinya, Mahfuz sudah tentu berpengalaman dalam selok-belok politik di Pokok Sena, apatah lagi berkesempatan menjadi Timbalan Menteri Sumber Manusia pada 2018 hingga 2020.
Mahfuz juga tidak dilingkari isu besar sepanjang karier politiknya kecuali dikaitkan dengan isu ijazah palsu yang kononnya dimiliki beliau daripada sebuah universiti di luar negara.
Bagaimanapun, perkara itu telah dinafi dan dijelaskan oleh beliau sebelum ini yang menyifatkan ia fitnah pihak tertentu selain menegaskan tidak pernah berbohong mengenai kelayakan akademik dimilikinya. – UTUSAN










