Siapa pun kerajaan nanti, teruskan Bajet 2023

Siapa pun kerajaan nanti, teruskan Bajet 2023

KESEJAHTERAAN rakyat menjadi fokus utama Bajet 2023 bukan sahaja untuk golongan B40 bahkan M40, wanita, belia dan orang kurang upaya (OKU). – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM pun reda lagi soal pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu, rakyat dikejutkan pula dengan pembubaran Parlimen ke-14 selang beberapa hari sahaja. Berikutan pengisytiharan pembubaran tersebut, Bajet 2023 yang disifatkan sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah negara terpaksa digantung sehinggalah sebuah kerajaan baharu dibentuk dengan mandat rakyat.

Sama ada Bajet 2023 dengan kos RM372.3 bilion tersebut akan diteruskan ataupun tidak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), masih menjadi tanda tanya dalam pemikiran setiap rakyat hingga kini.

Kegantungan belanjawan negara kali ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam senario politik kita. Pada 29 Oktober 1999, Bajet 2000 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa ditangguhkan apabila Parlimen dibubarkan pada 11 November 1999. Belanjawan baharu dibentangkan oleh Menteri Kewangan pertama, Tun Daim Zainuddin pada 25 Februari 2000. Dalam pembentangan kedua, jumlah peruntukan bertambah sebanyak 19.9 peratus iaitu RM78.03 bilion (RM53.35 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM24.67 bilion untuk perbelanjaan pembangunan).

Pertambahan ini dikaitkan dengan usaha kerajaan untuk meneruskan pemulihan dan mencergaskan pertumbuhan ekonomi serta memperkukuhkan daya tahan negara terhadap risiko luaran, di samping melaksanakan program sosial dan kesejahteraan rakyat walaupun defisit sebanyak RM12.97 bilion atau 4.4 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK) dijangkakan daripada keseluruhan anggaran hasil kerajaan yang berjumlah RM59.9 bilion.

Sudah menjadi lumrah di negara kita, setiap langkah atau usaha yang dibuat oleh kerajaan, pasti ada yang memberikan respons atau komen pedas dan kurang membina. Hal yang sama berlaku selepas pembentangan Bajet 2023. Ada pihak yang mengaitkannya dengan unsur kepolitikan, tanpa melihat kepada kefungsian dan kelebihan yang terdapat pada belanjawan kali ini.

Merangka satu belanjawan bukanlah sesuatu yang mudah, boleh dibuat dalam sekelip mata. Pihak-pihak berwajib yang terlibat dalam perancangan ini khususnya Kementerian Kewangan membuat kajian terperinci dalam menghasilkan satu belanjawan yang memenuhi aspirasi dan hasrat kerajaan semasa.

Penyediaan rangka monetari negara ini sahaja mengambil tempoh hampir enam bulan lamanya. Antara perkara yang dititikberatkan dalam penyediaan belanjawan ini adalah isu ketidaktentuan geopolitik seperti yang berlaku di Eropah Timur dan juga kedudukan situasi kewangan global, terutama pertumbuhan ekonomi China yang sederhana.

Kedua-dua isu memberi dampak ke atas pertumbuhan ekonomi Malaysia. Kajian terperinci terhadap isu-isu ini ternyata memberikan kelebihan kepada menentukan satu belanjawan yang mantap. Bahkan masalah menyelubungi negara sejak 2021 seperti banjir dan Covid-19 yang mengurangkan perbendaharaan negara berbilion ringgit turut diambil kira.
RMK12

Dengan mengambil kira kesemua aspek ini, Bajet 2023 dirangka untuk mengukuhkan semula ekonomi negara dengan memfokuskan kepada proses pemulihan serta membina daya tahan ekonomi negara.

Segala dasar yang dirancang bagi belanjawan ini turut dijajarkan dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) supaya negara terus berada dalam landasan betul.

Dalam keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu, kerajaan tetap memperuntukkan jumlah yang begitu besar. Sebanyak RM372.3 bilion diperuntukkan dengan pertambahan nilai sebanyak RM40.2 bilion berbanding peruntukan daripada belanjawan tahun sebelumnya.

KELUARGA MALAYSIA

Apa yang menarik dalam Bajet 2023 ialah kesejahteraan rakyat menjadi fokus utama. Lebih daripada 100 strategi, insentif, subsidi dan bantuan disasarkan, bukan sahaja untuk rakyat daripada golongan B40 tetapi juga buat M40, wanita, belia dan orang kurang upaya (OKU). Maka amatlah merugikan sekiranya belanjawan ini tidak diimplementasikan.

Malah, rata-rata rakyat menyifatkan Bajet 2023 sebagai sebuah belanjawan yang inklusif dan menyeluruh. Keprihatinan Perdana Menteri dengan idea Keluarga Malaysia juga jelas terpancar dalam setiap dasar dan strategi yang dirancang di bawah Bajet 2023.

Di bawah belanjawan ini, setiap peruntukan diagihkan dengan teliti dengan tidak meminggirkan mana-mana golongan. Kata-kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memberikan contoh dengan memetik nama-nama yang merujuk pelbagai kaum dalam pembentangan beliau, jelas menggambarkan bahawa belanjawan ini sememangnya bersifat Keluarga Malaysia.

Mana-mana kerajaan baharu yang akan dibentuk sewajarnya mengadaptasi Bajet 2023. Ataupun sekurang-kurangnya membuat penambahbaikan yang membawa manfaat kepada kelangsungan hidup dan kesejahteraan rakyat.

Pendek kata, belanjawan baharu yang akan dibentangkan selepas PRU15 perlulah diberikan perhatian dan diteliti masak-masak, bak kata peribahasa Melayu, menengadah membilang layas, menungkup membilang lantai. – UTUSAN

DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×