Tok Janggut permulaan baharu dikir dan lakon

Tok Janggut permulaan baharu dikir dan lakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seni teater moden memberikan ruang sangat luas kepada karyawan yang mempunyai idea luar biasa melakukan eksperimen. Sifatnya yang tidak terbingkai oleh ciri-ciri khusus seperti teater tradisional memungkinkan karyawan merentas garis kreativiti biasa.

Salah satu keseronokan berkarya dalam teater moden adalah dapat mencuba sesuatu yang baharu. Ada ruang berkarya selagi tidak melanggar adab agama, budaya dan moral. Selebihnya boleh dilakukan bukan sahaja mencari kelainan malah menghasilkan penciptaan baharu.

Teater sedemikian boleh dibangunkan daripada unsur-unsur lain dan pada masa sama menjaga tuntutan laras pembinaan dramatik. Keadaan yang bebas dan tidak terikat ini sebenarnya adalah ruang berkarya dengan menyeberang ke sempadan seni lain.

Sabri Yunus, seorang pelakon, pengarah drama sekali gus pendikir yang hebat. Beliau membesar dengan menyaksi dan terlibat secara langsung dalam seni dikir barat. Selebihnya mempunyai keupayaan apresiasi seni yang tinggi. Cita-citanya untuk memberi ruang baharu pada dikir barat terhasil dengan baik.

Teater dikir barat Tok Janggut dipentaskan pada Rabu dan Khamis lalu di Dewan Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah sebuah eksperimen yang berhasil. Sabri sebagai pengarah, teraju utama dan penulis naskhah melakukan dengan penuh sedar dan terkawal.

Keberadaan teater anjuran DBP ini secara tidak langsung menjelmakan satu lagi pengkelasan atau genre yang mengangkat dikir barat sebagai tonggak utama. Walaupun begitu, pengkelasan ini bukan suatu yang penting. Karya seni adalah suatu yang dinamik dan boleh merentas kelas-kelas tertentu diberikan pada sesebuah teater.

Masa yang sama, sifat teater itu sendiri dibangunkan oleh cantuman seni berbeza – sastera, lukisan, lakon, tari dan muzik. Semua ini saling mendirikan antara satu dengan lain. Saling memberikan peranan di pentas yang memperagakan semuanya untuk matlamat yang satu.

Kejayaan pementasan dua malam itu bukan sahaja diukur pada sambutan, malah sebuah koreografi yang menghubungkan antara seni berdikir, muzik dikir barat dan lakon. Sabri membawa dikir barat merentas lingkarannya sebagai persembahan muzik tradisional pada teater muzikal.

Sabri memperlihatkan keupayaan menjadikan Tok Janggut sebuah pementasan teater yang unik apabila menggauli secara berseni dengan dikir barat. Malah ini juga kali pertama dikir barat diangkat sebagai penggerak naratif sebuah pementasan teater. Tuntutan teaterikal sebuah pementasan dipenuhi dan sifat tradisional dikir barat pula terpelihara.

Tok Janggut sebuah teater muzikal yang menggunakan muzik tradisional.

Bagaimanapun, tidak sama dengan sebahagian besar teater muzikal dua dekad terakhir ini. ‘Teater muzikal’ itu lebih memperagakan selebriti dan fenomena berkenaan memberikan kesan tidak begitu baik pada perkembangan teater seluruhnya.

BERTENGGEK

Hal ini berbeza dengan Tok Janggut. Sekalipun Sabri membawa selebriti (pelakon drama), akan tetapi mereka tidak bertenggek di atas populariti semata-mata. Sabri juga selebriti, bezanya beliau dan pelakon-pelakon berbekal kebolehan dalam lakon dan dikir. Sabri memperlihatkan ruang kearifan dan kepakaran yang sentiasa terkawal. Melakukan eksperimen dengan ilmu dan kemahiran adalah suatu yang sukar ditiru atau digugat. Sabri arif dalam seni dikir barat, menguasai adab dan tertib lakonan serta seorang tukang cerita yang mahir.

Maka yang kelihatan pada pementasan itu adalah keadaan saling memerlukan antara Sabri dan dikir barat. Beliau tidak bertenggek di atas pengaruh dan populariti dikir barat, tetapi mencipta ruang baharu bagi seni tradisi yang popular di Kelantan itu. Dalam sudut tertentu, dikir barat pula menumpang Sabri untuk keluar dari garis tradisi seni persembahan muzik tradisional.

Kisah perjuangan nasionalis di Kelantan, Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mohd. Hassan sudah diketahui umum, kecuali yang buta sejarah. Kalau tidak selengkapnya, setidak-tidak plot perjuangan Tok Janggut menentang penjajah British sudah lama difahami.

Maka yang tercipta dalam pementasan teater dikir barat ini bukan lagi cerita, sebaliknya percubaan mengangkat wacana perjuangan dengan menyusun kembali fragmen-fragmen yang dilalui dalam riwayat Tok Janggut, sejak kecil hingga kembali ke pangkuan Ilahi.

Pentas terbahagi pada tiga – hutan, pejabat penjajah dan di tengah-tengahnya berdiri narator yang menyampaikan riwayat Tok Janggut dalam bentuk dikir barat. Seni tata hias pentas yang konseptual dihasilkan dengan baik.

Teater dikir barat memberikan cabaran yang sangat besar kepada pengarah dan para pelakonnya. Dialog diungkap dalam bentuk dikir sama sekali tidak memungkinkan pelakon membuat ad libs atau menambah atau membuang sepatah dua kata dialog. Hal ini kerana dialognya mengikut hukum-hukum dikir yang sangat terjaga rima dan suku katanya.

Sabri yang berlakon sebagai Tok Janggut beruntung kerana banyak dibantu oleh pelakon-pelakon yang merupakan ahli dikir. Mereka bukan sahaja boleh berdikir dengan baik, malah masa yang sama pelakon hebat, menjadikan persembahan teater eksperimen suatu yang luar biasa.

Keberadaan Issey Fazli Sham (watak Brehing Teleng), Mokhtar Lembayug Sen (watak Ungku Besar), Jie Sina Kencana (watak Sarjan Che Wan) dan Asrul Faizal (watak Abas Berani) di pentas memberikan lakonan yang baik.

Sebenarnya sudah lama Dewan Tun Syed Nasir tidak menerima limpahan penonton selepas era kegemilangan teater dekad 1980-an dan 1990-an berakhir. Dewan ini menatang banyak pementasan teater yang besar seperti Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (arahan Johan Jaaffar), Pentas Opera (Zakaria Ariffin), Zaman Gerhana (Othman Haji Zainuddin) dan beberapa lagi.

Malah Sabri sendiri buat pertama kali ditonjolkan di dewan ini melalui watak Tok Selampit dalam Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman pada 1986. Pementasan Tok Janggut mengulang kembali suasana yang penuh gemilang pernah berlaku di Dewan Tun Syed Nasir.

Harapannya, semangat lagu dikir Wau Bulan Teraju Tiga tidak berakhir di Dewan Tun Syed Nasir. Lagu yang menjadi penutup pementasan itu adalah permulaan yang baharu. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×