Kata bidalan setinggi-tinggi burung terbang akhirnya hinggap di belakang kerbau juga, sangat sinonim dengan perjalanan hidup penyanyi terkenal, Zee Avi atau nama sebenarnya, Izyan Alirahman.
Selepas berjaya menempa nama dalam industri hiburan di AS, beliau yang terkenal dengan lagu Kantoi, kembali ke tanah air pada tahun 2018. Malah ketika ditemui baru-baru ini, penyanyi kelahiran bumi kenyalang ini menyuarakan hajat untuk pulang ke kampung halamannya di Miri, Sarawak.
“Sekarang saya dan suami menetap di Kuala Lumpur tapi tidak lama lagi, saya akan balik ke Sarawak semula. Walaupun belum menetapkan tarikhnya tetapi saya akan ikut arah ‘angin’ yang membawa ke mana kami akan tinggal.
“Sebenarnya saya sudah lama tidak menziarahi kampung halaman. Buat masa ini, saya dan suami ‘cuti-cuti’ dahulu di Kuala Lumpur. Saya rasa tiada masalah jika hendak tinggal terus di Sarawak kerana sekarang dengan adanya internet, kita sudah boleh bekerja di mana-mana. Bila umur sudah semakin meningkat, kita hendak tenangkan diri saja,” katanya kepada Seri.
Katanya kerjaya suaminya, Kenji Matano yang berasal dari Tokyo, Jepun dalam dunia teknologi maklumat (IT), membolehkan beliau bekerja secara fleksibel tanpa mengira tempat termasuk dari rumah.
BANTU SUAMI FAHAMI ISLAM
Katanya dia bertuah kerana dianugerahkan dengan suami yang penyabar dalam melayan kerenahnya terutama kerjayanya sebagai penyanyi.
“Saya bertuah, kerana suami seorang yang penyabar dan menerima kelemahan dan kelebihan saya. Suami juga seorang yang menepati waktu yang sinonim dengan orang di Jepun di mana ia memberikan manfaat kepada saya.
“Beliaulah yang memberikan sokongan kepada saya untuk menggunakan alat bantu pendengaran. Kalau tidak, mungkin saya masih dalam penafian dengan masalah yang saya hadapi ini,” katanya yang memakai alat bantu pendengaran di kedua belah telinganya selepas mendapati derianya itu terjejas akibat terdedah kepada bunyi muzik yang kuat.
Katanya Kenji gemar memasak makanan Jepun seperti lempeng Jepun atau okonomiyaki dan nasi Jepun atau onigiri.
Malah Kenji juga bijak mengubah suai lebihan makanan untuk dijadikan hidangan supaya tidak membazir.
Sebagai saudara baharu, Zee dan keluarga sentiasa memberikan sokongan kepada Kenji untuk mendalami Islam dan budaya masyarakat di negara ini dengan berkongsi maklumat berkaitan dengannya.
Penyanyi itu juga bersyukur kerana mereka berjaya melalui proses pernikahan yang agak mencabar kerana dijalankan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuatkuasa pada November 2021.
“Agama adalah perjalanan yang sangat peribadi dan sudah tentu saya bersama keluarga cuba berkongsi perkara berkaitan yang kami tahu supaya Kenji memahami mengapa sesuatu perkara perlu dielakkan atau dilakukan.
“Sebagai contoh, sambutan perayaan tertentu seperti perayaan hari raya korban, kami jelaskan apa maksud di sebalik perayaan itu. Kebanyakannya berkaitan tradisi yang diamalkan oleh masyarakat kita,” katanya.
Zee Avi berkata, beliau dan suami sememangnya menginginkan cahayamata tetapi mereka tidak terlalu menumpukan kepada hasrat itu bagi mengelakkan sebarang perkara yang boleh menimbulkan tekanan kepada diri sendiri.
Tak habis belajar fesyen
Kemunculannya yang tidak lekang dengan ukulele menarik perhatian peminat seni tanah air tambahan pula dengan suaranya yang serak-serak basah mengalunkan lagu dengan bait mudah difahami mempersonakan pendengar.
Mengakui tidak pernah belajar muzik, Zee Avi berkata darah seni itu diwarisi daripada datuknya, Ismawi Ali yang aktif membuat persembahan dan bermain muzik bersama kugirannya sekitar tahun 50 an.
“Ibubapa saya menyukai muzik tetapi apa yang saya ingat, arwah datuk pandai bermain biola dan gitar. Dia tidak terkenal sangat tapi sering membuat persembahan di sekitar Kuching dan Brunei. Arwah meninggal ketika saya masih kecil.
“Masa zaman remaja, saya gemar menyanyi di karaoke bersama keluarga dengan lagu-lagu lama yang menjadi kegemaran mereka. Muzik ini lahir dari hati saya, saya nyanyi suka-suka dan muatnaik di You Tube tapi tak sangka mendapat sambutan,” katanya.
Katanya dia belajar gitar dan ukulele sendiri, yang ketika itu belum ada di jual di negara ini dan hanya boleh dibeli di Singapura. Sejak beliau tampil dengan lagu Kantoi, ukulele mula digemari ramai sehingga ada jurujual yang menjual alat muzik itu kepadanya.
Tak kisah pakai baju bundle
Selepas menyertai beberapa kumpulan muzik di Kuala Lumpur, Zee Avi ke London bagi menyambung pengajian dalam bidang rekaan fesyen di American InterContinental University tetapi tidak menghabiskan pengajiannya itu.
“Saya belajar fesyen tapi tidak habis sebab saya menyedari ia bukan minat sebenar saya. Sebelum itu, saya ikut rakan yang mengajak saya untuk pergi belajar dalam bidang rekaan fesyen.
“Memang saya suka melaram dengan pelbagai pakaian tidak kira jenama tapi saya tak ikut trend. Baju yang saya pakai ini pun beli dari bundle saja. Saya tidak kisahpun apa jenama pakaian itu asalkan saya selesa apabila memakainya,” katanya.
Menghargai bakat tempatan
Penggiat seni tempatan perlu mencontohi Indonesia dalam menghargai dan memberikan sokongan kepada artis mereka.
“Kenapa kita kena ada validation (pengesahan) dari orang luar untuk beritahu kita bagus. Macam di Indonesia, mereka sangat menyokong bakat tempatan dan inilah sebabnya mengapa artis kita sukar menembusi pasaran di sana.
“Ini semua disebabkan mereka bangga dengan karyawan mereka. Mengapa tidak kita lakukan yang sama? Itulah sebabnya amat penting untuk rakan-rakan artis memberikan sokongan sesama sendiri. Bukan susah, kalau kawan kita buat lagu baharu, sokonglah,” katanya yang mengharapkan bakat di negara ini tidak hanya dipandang daripada segi rupa semata-mata.
Berkongsi pengalaman, katanya, ketika mula-mula menyanyi di pentas sebuah festival nyanyian selepas namanya mula dikenali menerusi Youtube, persembahan itu adalah sebagai latihan berdepan dengan peminat selepas mendapat tawaran merakamkan lagu di AS.
“Kemampuan mencipta lagu adalah anugerah yang tidak ternilai. Lagu yang saya cipta berinspirasikan keikhlasan dan pengalaman hidup tetapi ia sukar dijelaskan kerana saya rasakan lagu itu yang ‘memilih’ saya. Tugas saya hanya menyanyikannya.
“Ramai yang tanya mengenai lagu baru tapi setakat ini belum ada tetapi ada single terbaharu yang berjudul Okey. Cuma ia kurang dipromosikan kerana dikeluarkan pada bulan puasa lalu,” katanya yang merancang menulis lagu baru untuk albumnya.
Senyuman yang sentiada terukir di bibir dan kadangkala suka bergurau membuatkan Zee Avi tampak jelita secara semulajadi.
“Apa yang penting, jangan fikir sangat pasal usia yang semakin meningkat. Bersyukurlah dengan segala pemberianNya,” katanya yang mempunyai visi untuk membantu artis muda menggapai impian mereka dalam bidang seni.










