Cabaran memperkaya sastera kebangsaan

Cabaran memperkaya sastera kebangsaan

MEMAPARKAN budaya masyarakat India dalam karya bahasa kebangsaan juga penting kerana tidak semua anak-anak kaum itu membaca buku bahasa Tamil. – FACEBOOK KUMPULAN SASTERAWAN KAVYAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK dahulu, golongan penulis merupakan perakam zaman. Mereka mendokumentasi sejarah, budaya dan pemikiran masyarakat sekeliling. Tugas ini turut dilakukan penulis karya fiksyen sama ada secara sedar atau tidak sedar. Atas sebab itulah karya sastera turut menjadi sumber kajian sosiobudaya secara akademik.

Dalam kalangan kaum India di negara ini, media melaporkan terdapat sekurang-kurangnya 1,000 penulis Tamil sepenuh masa dan ribuan lagi penulis sambilan. Malachi Edwin Vathamani dalam buku A Bibliography of Malaysian Literature in English (2016) merekodkan senarai penulis kaum India tempatan yang menghasilkan karya bahasa Inggeris.

Bagi penulis kaum India yang menulis karya bahasa kebangsaan, mereka hanyalah satu kumpulan amat kecil. Kajian sarjana sastera yang saya terbitkan dengan judul Kavya Sastra (2021) menyenaraikan sekitar 70 penulis terlibat dalam sastera kebangsaan antara 1982 dan 2021. Sejak 2004, istilah ‘Sasterawan Kavyan’ digunakan untuk merujuk kumpulan ini.

Salah satu cabaran kelompok penulis ‘minoriti dalam minoriti’ ini ialah menampilkan budaya komuniti mereka untuk dibaca khalayak pelbagai kaum.

Baru-baru ini, saya membincangkan topik ini bersama tiga rakan penulis. Perbincangan dimulakan dengan meneliti kebaikan dan kepentingan mengangkat budaya kaum India dalam sastera kebangsaan.

“Budaya kaum India harus digambarkan dalam karya bahasa kebangsaan demi memperkaya sastera kebangsaan. Kandungannya mampu dinikmati orang awam termasuk kaum India sendiri yang mungkin kurang mengenali budaya komuniti sendiri,” kata penulis veteran, M. Mahendran dari Bentong, Pahang.

Dia terlibat dalam bidang penulisan cerpen bahasa kebangsaan dan Tamil sejak 1987. Karyanya pernah menang Hadiah Cerpen Malayan Banking-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1988 dan 1991 serta Peraduan Menulis Puisi dan Cerpen Pelbagai Kaum (2003).

Pandangan Mahendran dipersetujui Thanusya Shanmuganathan dari Petaling Jaya, Selangor. Dia menghasilkan novel berjudul Tak Sengaja Cinta (2014), Cik Cemerkap vs Encik Selfie (2016) dan Savithri (2021) menggunakan nama pena Meera Natasya. Pada pemerhatiannya, masih ramai orang keliru mengenai budaya, adat dan aspek agama yang diamalkan kaum India.

“Malah, ramai masih kurang arif mengenai amalan unik dalam kalangan keturunan Tamil, Malayali, Telugu, Punjabi dan sebagainya di bawah payung besar kaum India di Malaysia. Justeru, melalui karya kreatif, golongan Sasterawan Kavyan mahu berkongsi ilmu serta menerangkan rasional di sebalik amalan yang dipraktikkan masyarakat India,” kata Thanusya yang sedang mengusahakan e-buku berjudul Hanya Kau Untukku.

LOGIK

Kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi dilihat oleh Anuradha Chelliah sebagai wahana paling utuh untuk menyampaikan ilmu berkaitan budaya kaum India agar mudah difahami dan dihayati generasi muda pelbagai kaum di negara ini. Pandangan dan hujah ini amat logik kerana karya bahasa Tamil dan Inggeris mungkin tidak mampu dihayati sepenuhnya oleh semua orang. Hal ini berbeza dengan bahasa kebangsaan yang sudah sebati dalam jiwa setiap warga sejak lahir.

“Tindakan memaparkan budaya kaum India dalam karya bahasa kebangsaan juga penting demi membolehkan generasi muda kaum India sendiri membaca, memahami dan menghayatinya. Kita perlu akui bahawa tidak semua anak-anak kaum India membaca buku bahasa Tamil,” ujar Anuradha, seorang guru subjek Bahasa Inggeris dari Banting, Selangor.

Karyanya termuat dalam antologi seperti Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020) dan Lakaran Diri (2022).

Memandangkan ketiga-tiga individu di atas terlibat dalam bidang penulisan, saya bertanya tentang cabaran utama yang dihadapi dalam usaha menggambarkan budaya kaum India dalam karya. Pertanyaan ini wajar kerana golongan Sasterawan Kavyan perlu memecahkan tembok kelaziman karya yang ketara memaparkan watak dan budaya Melayu-Islam.

Dalam hal ini, Mahendran sentiasa mengingatkan dirinya bahawa sebagai penulis karya sastera kebangsaan, dia juga bertanggungjawab menggambarkan budaya komuniti yang diwakili. Walau tidak semua cerpennya mengangkat aspek budaya, apabila ada keperluan, Mahendran tidak teragak-agak menyelitkan unsur budaya kaum India. Malah, sering kali ia berlaku tanpa disedari.

“Kekurangan bahan rujukan yang tepat dan menyeluruh tentang budaya orang India menjadi cabaran besar. Rujukan di internet tidak semestinya tepat dan perlu disemak untuk menentukan kesahihan. Malangnya, untuk membeli bahan rujukan dari luar negara, khususnya India melibatkan kos agak tinggi,” kata Thanusya pula.

Dia turut bimbang memikirkan reaksi khalayak. Misalnya, jika sebuah karya memuatkan terlalu banyak unsur budaya kaum India, mungkin dianggap terlalu berat oleh pembaca. Thanusya juga bimbang kalau-kalau ada pihak menuduh kononnya Sasterawan Kavyan cuba menyebarkan ajaran Hindu kepada pembaca menerusi karya fiksyen.

Kebimbangan ini memang berasas kerana saya juga pernah berdepan masalah seperti ini. Bagaimanapun, peminat sastera kebangsaan akan sedar bahawa karya seumpama ini sebenarnya bertujuan memperkaya khazanah sastera negara dan bukannya bermotif menyebarkan agama.

“Saya kerap menggambarkan budaya kaum India seperti makanan, pakaian, upacara keagamaan, kebudayaan, kata gelaran dan nama watak dalam cerpen. Ada masanya saya menghadapi masalah mencari istilah paling sesuai untuk menggambarkan aspek budaya itu dalam bahasa kebangsaan. Maka saya merujuk orang yang lebih tahu atau sumber yang sahih supaya boleh memberi sajian terbaik kepada pembaca,” kata Anuradha pula.

Mahendran yang menghasilkan kumpulan cerpen Karupaya (2018) dan Thalaivar (2021) turut mengaku menghadapi masalah sama. Tambahan pula, kelompok Sasterawan Kavyan ialah pelopor kepada usaha bersungguh-sungguh memperkaya sastera kebangsaan dengan pemaparan budaya kaum India. Rujukan dan pembacaan membantu mengatasi kekangan yang dihadapi. Thanusya pula berusaha menyertai majlis kebudayaan dan keagamaan untuk menimba ilmu menerusi pemerhatian dan penglibatan secara langsung.

Konsep ‘malu bertanya sesat jalan’ menjadi panduan. Semuanya demi mengatasi cabaran dan seterusnya menyajikan bahan bacaan bermutu kepada pembaca Malaysia. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×