PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, perkara itu hanya melibatkan isu-isu mengelakkan pertembungan sesama sendiri.
“Saya kurang pasti sama ada mereka (Pejuang) begitu serius atau tidak, tetapi jika betul, kita (Bersatu) bersedia mempertimbangkan,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di sini, semalam.
Idea kerjasama antara dua parti tersebut dilontarkan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai strategi PRU15 bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) susulan pertemuan rahsia antara Muhyiddin dan Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejurus dua minggu selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri Johor akhir Mac lalu.
Isu tersebut sekali lagi dibangkit Tun Dr. Mahathir Mohamad kelmarin apabila Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu membayangkan ada kerjasama dengan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH).
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengesahkan tiada mana-mana pihak daripada GTA menghubunginya bagi misi menjayakan kerjasama politik itu.
“Setakat ini belum ada sesiapa hubungi saya jadi saya tidak tahu ada cadangan itu sebab dulu pun pernah ada ura-ura sebegini tetapi kemudian tiada apa-apa berlaku pula,” jelas beliau.
Bagaimanapun ujarnya, jika betul ada permintaan sedemikian, beliau akan membawa isu itu kepada Majlis Tertinggi PN bagi memikirkan sama ada perlu atau tidak kerjasama diwujudkan.
Namun beliau secara berlapik enggan menyatakan kebarangkalian PN sedia bekerjasama bagi memastikan calon blok itu tidak melawan GTA atau PH yang tentu akan menguntungkan BN. – UTUSAN










