Manifesto bukan umpan pancing undi

Manifesto bukan umpan pancing undi

10 Parlimen diperuntukkan kepada MIC pada PRU15. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMUMNYA, manifesto menjadi bahan perbincangan malah membantu pengundi dalam proses membuat keputusan untuk memilih sesebuah parti politik dalam pilihan raya umum (PRU). Manifesto adalah pengisytiharan kepada orang ramai tentang dasar dan program sesebuah parti politik sebelum pilihan raya di adakan. Ia adalah aku janji sesebuah parti politik yang perlu dilaksanakan atau ditepati sekiranya menang dalam pilihan raya.

Sehubungan ini, manifesto pilihan raya yang dilancarkan oleh Pakatan Harapan (PH) dikatakan menarik malah mempengaruhi minda sebahagian besar pengundi pada PRU14 menyebabkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah 62 tahun menjunam (kalah).

Masyarakat India yang umumnya berasa mereka terpinggir dalam arus perdana pembangunan kerajaan BN didapati amat terpengaruh dengan manifesto PH. Kesannya, sebahagian besar pengundi India mencondong daripada BN untuk memihak PH pada PRU14 yang menyebabkan calon BN kalah di kawasan yang mempunyai jumlah pengundi India agak signifikan.

Dengan pembubaran Parlimen ke-14 untuk memberi laluan kepada PRU15, parti-parti politik akan menumpukan perhatiannya kepada penyediaan dan pelancaran manifesto masing-masing. Manifesto mereka dijangka mempengaruhi minda pengundi untuk membuat keputusan pada PRU15.

Sehubungan ini, Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran mendakwa manifesto yang dilancarkan oleh PH sebelum PRU14 adalah lebih merupakan satu halusinasi dan manipulasi untuk memesongkan pemikiran masyarakat India. PH berjanji bulan dan bintang yang bukan mudah untuk dilaksanakan. Beliau mendakwa masyarakat India didapati termakan dengan manifesto tersebut.

Dengan itu, Vigneswaran bersama timbalannya, Datuk Seri M. Saravanan dan MIC yang mewakili sebahagian besar kaum India di negara ini terpanggil untuk menyediakan cadangan program dan inisiatif bagi dimasukkan ke dalam manifesto BN dalam menghadapi PRU15. Cadangan itu disampaikan kepada Pengerusi BN dalam Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Dewan MITEC, Kuala Lumpur, baru-baru ini yang dihadiri kira-kita 4,000 perwakilan dari seluruh negara.

Antara program dan inisiatif utama yang dicadangkan MIC adalah penambahan tempat matrikulasi untuk pelajar India, peruntukan khas disediakan dalam belanjawan untuk menangani kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat India, memberi perhatian kepada isu-isu berbangkit berkaitan tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA), memastikan peratusan dan keadilan dalam kemasukan atau pengambilan kakitangan perkhidmatan awam,

SEKOLAH TAMIL

Selain itu, MIC juga mencadangkan agar jawatankuasa Kabinet mengenai pembangunan sosioekonomi masyarakat India yang wujud sejak pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi tapi dibubarkan oleh kerajaan PH dihidupkan semula. Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) 2.0 dirancangkan untuk membangunkan sosioekonomi masyarakat India yang tergendala semasa pentadbiran kerajaan PH digerakkan semula malah menjadi dasar kerajaan supaya tidak terbantut selepas pilihan raya.

Program kelangsungan kelas tadika yang tergendala selepas 2018 perlu dihidupkan semula kerana pendidikan prasekolah bukan sahaja asas kepada pendidikan kanak-kanak sekolah Tamil malah membantu membina asas kukuh untuk mereka mencapai prestasi baik di sekolah rendah.

Dalam pada itu, dana untuk penubuhan dan pengurusan tadika di sekolah Tamil hendaklah disediakan oleh Kementerian Pendidikan dan bukan diambil daripada peruntukan yang disediakan untuk program tahunan di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Memandangkan hampir 327 sekolah Tamil atau 65 peratus dalam negara menghadapi masalah kekurangan murid, maka satu intervensi kerajaan perlu dirancang. Dalam usaha menangani masalah kekurangan murid malah melestarikan kelangsungan sekolah Tamil, kerajaan digesa menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyusun semula sekolah yang memerlukan dana peruntukan RM50 juta.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM100 juta juga dipohon untuk menanggung kos pembangunan penstrukturan dan pembiayaan lain.

Sehubungan dengan menikmati kekayaan negara secara adil, MIC mencadangkan ekuiti masyarakat India dinaikkan kepada tiga peratus. Kerajaan diminta memastikan sasaran pemilikan ekuiti bagi masyarakat India tercapai melalui intervensi dan bantuan.

Dalam usaha memastikan pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara berterusan, MIC mencadangkan Yayasan Pembangunan Sosioekonomi yang berpaksikan kepada PTMI 2.0.

Pada keseluruhannya, cadangan program dan inisiatif yang dicadangkan oleh MIC untuk dimasukkan dalam manifesto BN didapati bukan sahaja mencerminkan cita rasa malah keperluan masyarakat India.

Sekiranya cadangan MIC dimasukkan ke dalam manifesto BN bagi menghadapi PRU15, maka akan membantu usaha MIC dalam meraih sokongan pengundi India yang melayang jauh dari MIC mahupun BN.

Menyedari hakikat ini, kepimpinan BN yang diterajui UMNO didapati merima baik cadangan keseluruhan MIC terutama terhadap pembangunan dan kelangsungan sekolah Tamil.

Memandangkan kebelakangan ini isu rasuah dikesan menghantui minda sebahagian besar rakyat, malah dijangka dijaja oleh pihak yang menentang BN, maka apakah manifesto bakal diumumkan oleh BN mampu mematah tohmahan-tohmahan pihak lawan dalam memulih sokongan pengundi India secara amnya mahupun pengundi berusia 18 tahun yang akan mengundi buat pertama kali memihak MIC sekali gus BN pada PRU15?

Apa pun, BN perlu memastikan manifesto yang bakal dilancarkan bukan bersifat retorik politik semata-mata untuk memancing undi seperti dilakukan oleh PH pada PRU14, tetapi dapat dilaksanakan selepas selesainya PRU15. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×