DEMAM pilihan raya sudah melanda negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Selaras pengumuman ini, sudah pasti kerajaan yang ada masa kini menjadi sebuah kerajaan sementara.
Kerajaan sementara ini akan terus mentadbir negara sehingga keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diumumkan kelak. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, PRU perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas Parlimen dibubarkan. Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas, “Apabila Parlimen bubar, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat dari 120 hari dari tarikh itu.”
Di antara tempoh pembubaran Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan pengumuman keputusan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti, walaupun sebagai sebuah kerajaan sementara sahaja, kerajaan ini masih boleh memainkan peranan-peranan tertentu bagi memastikan negara berada dalam keadaan aman, selamat dan stabil sehingga kerajaan baharu dipilih dan dilantik secara rasminya setelah tamat proses PRU15. Kerajaan sementara ini tidak boleh mewujudkan sebarang polisi baharu; memasuki atau menandatangani sebarang kontrak yang mempunyai impak besar; memberi kebenaran pelantikan mana-mana anggota perkhidmatan awam termasuk jawatan-jawatan kritikal; mengadakan sebarang perbincangan di peringkat antarabangsa; dan mencampuri urusan atau perjalanan proses pilihan raya itu sendiri.
Kekangan sama juga terpakai terhadap kerajaan sementara di peringkat negeri-negeri.
Semenjak mencapai kemerdekaan pada 1957, sudah 14 kali Malaysia menghadapi pemerintahan melalui kerajaan sementara. Isu kerajaan sementara kian mendapat tempat di negara kita semenjak akhir-akhir ini kerana rata-rata rakyat sudah mula celik dengan ilmu pengetahuan am serta keadaan semasa yang menuntut supaya segala hak mereka dilindungi tanpa mengira masa. Terdapat juga kebimbangan mengenai penggunaan semua aset milik negara serta perbelanjaan wang negara sepanjang tempoh kewujudan kerajaan sementara ini.
Pada masa kini, tidak terdapat peruntukan undang-undang khusus mengenai kuasa dan peranan yang boleh dimainkan oleh sesebuah kerajaan sementara. Ketiadaan akta khusus mengenai perkara ini menyebabkan rakyat tertanya-tanya tentang kuasa dan peranan yang boleh dimainkan oleh kerajaan sementara. Rakyat juga bimbang sekiranya terdapat penyalahgunaan kuasa yang berlaku sepanjang tempoh ini.
BRITAIN
Apa yang dilakukan kini oleh kita lebih kepada amalan yang selalunya dibuat oleh negara-negara lain khususnya di Britain dalam menghadapi proses pilihan raya. Dengan mengambil kira keadaan semasa, ingin dicadangkan supaya selepas pilihan raya tamat kelak, mana-mana kerajaan yang berjaya dibentuk dapat memberi pertimbangan untuk mewujudkan satu akta khas serta lebih komprehensif yang dapat menyatakan dengan lebih jelas mengenai kuasa dan peranan boleh dimainkan oleh sesebuah kerajaan sementara baik di peringkat persekutuan mahupun negeri. Ini penting bagi mengelakkan mana-mana pihak dalam sesebuah kerajaan sementara menyalahgunakan kuasa mereka sehingga boleh menjejaskan hak rakyat serta menyebabkan berlaku keadaan huru-hara dalam negara.
Akta khusus terbabit juga boleh merangka dengan lebih terperinci mengenai tugas dan tanggungjawab sesebuah kerajaan sementara serta memperuntukkan nama atau gelaran lebih sesuai untuk mereka yang memegang sebarang jawatan dalam kerajaan sementara ini. Sebarang penggunaan aset kerajaan serta perbelanjaan kewangan negara juga boleh dikawal selia dengan lebih baik melalui akta khusus ini. Melalui akta khusus terbabit juga, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa mereka sekali gus dapat memberi peringatan kepada semua pihak terlibat supaya tidak sesekali menyalahgunakan kuasa sementara yang diberikan kepada mereka.
PDRM,SPRM
Adalah penting untuk semua pihak diberi kepercayaan untuk memerintah kerajaan sementara melaksanakan segala tugas dan amanah dengan baik serta tidak menyalahgunakan kuasa mereka. Perlu diingatkan, negara kita masih memiliki pelbagai jenis undang-undang yang masih berkuat kuasa setiap masa tanpa terhenti walaupun Parlimen telah dibubarkan. Tindakan undang-undang sivil ataupun jenayah tetap boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan kuasa mereka sepanjang tempoh kerajaan sementara memerintah. Pihak berkuasa yang berkaitan serta semua lapisan rakyat perlu sentiasa memantau dengan ketat segala tindak-tanduk kerajaan sementara ini.
Jika terdapat salah guna kuasa oleh mana-mana pihak di dalam kerajaan sementara ini, aduan atau laporan harus dilakukan dengan segera berserta bahan bukti kukuh kepada pihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – UTUSAN
DR. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










