Kerajaan terlalu ikut SOP, swasta ‘cekik darah’, rakyat tak boleh berinovasi - Utusan Malaysia

Kerajaan terlalu ikut SOP, swasta ‘cekik darah’, rakyat tak boleh berinovasi

Pengasas Zull Design Autotronic, Zulkifli Haron - Mingguan/Amir Khalid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERETA ‘hantu’ yang beroperasi menggunakan arahan suara, teknologi ternak ikan air masin di tengah bandar dan segala macam kecanggihan Artificial Intelligence (AI); generasi sekarang barangkali tidak hairan dengan ciptaan-ciptaan sebegini.
Pun begitu, pada 1980-an, ia sesuatu yang sangat asing, malah tak kurang menganggap ia sebagai mengarut. Namun tahukah anda, di kala itu seorang anak Melayu telah menempa nama sebagai pereka cipta luar biasa. Beliau ialah pengasas Zull Design Autotronic, Zulkifli Haron, 62 yang mesra dikenali sebagai MacGyver Malaysia.
Sering mengharumkan nama tanah air dengan rekaan yang mendapat permintaan luar negara, beliau menegaskan generasi masa kini harus ubah sikap untuk maju. Kepada wartawan Mingguan Malaysia, Fahmi Faiz dan Roshihan Annuar Yub serta jurugambar Amir Khalid dan juruvideo Mohd. Fikri Padil @ Fadzil, beliau berkata: “Anak muda harus bertindak sebelum diarahkan, dan kalau disuruh buat sesuatu pekerjaan, buat dan siapkanlah dengan sebaiknya”.

MINGGUAN MALAYSIA: Boleh berkongsi perkembangan terkini?
Alhamdulillah, syarikat saya, Zull Design masih beroperasi dengan baik, kita bertahan walaupun dalam musim pandemik. Faktor kita mampu bertahan, pertama, kreativiti dan inovasi. Sebab itu, dua perkara ini sangat penting dalam diri setiap individu.

Selain bengkel Zull Design, ada projek lain?
Suka saya kongsikan bahawa kita sudah berjaya mempunyai sekolah. Kita namakan projek sekolah ini sebagai FYP, iaitu Final Year Project. Sekolah ini, kita bantu ramai pelajar dalam membentuk modal insan yang lebih kreatif, dinamik dan inovatif.

LATAR BELAKANG

Bagaimana tuan boleh berkecimpung dalam industri ini, sedangkan pada era 1980-an pendedahan terhadap bidang ini masih kurang?
Sewaktu habis sekolah, satu kaedah hidup, saya temukan falsafah bahawa di mana ada ruang, di situ lah wujudnya peluang. Ini bermaksud, perkara yang tidak digemari oleh pemuda seusia saya waktu itu, yang itu lah saya akan buat.

Boleh beri contoh?
Contohnya macam orang tak suka, yang itu saya buat. Misalnya bekerja dengan tekun. Kebanyakan rakan saya tidak tekun, dia kerja daripada pukul 8 pagi sampai pukul 4 petang, kemudian habis dan dia dah tak mahu fikir.
Mungkin pada mereka, budaya ini buatkan kerja jadi lebih mudah. Tapi saya tidak suka. Saya akan cari, di waktu dia tidak bekerja, saya akan ambil, rebut peluang itu.

‘KERETA HANTU’

Boleh imbas kembali projek-projek?
Pada zaman itu, pertama sekali saya kena perkenalkan nama saya, ketengahkan nama saya. Jadi pada 1987, saya reka cipta ‘Kereta Hantu’. Ia kereta yang boleh bergerak sendiri, parking sendiri, wiper boleh hidup sendiri dan sebagainya. Sedangkan masa itu, Proton baru nak buka kilang, tapi kita sudah buat.

Ada projek lain waktu itu yang tuan banggakan?
Kedua, pada 1990 saya bina rumah pintar. Kalau sekarang, sistem yang saya cipta itu dipanggil Artificial Intelligence (AI). Sedangkan pada 1990, rumah yang saya cipta sudah boleh menggunakan voice command.

Apa lagi kelebihan rumah pintar itu?
Nak tutup televisyen, nak tutup lampu, sampai di pintu pagar depan rumah, ia boleh dibuka dan ditutup menggunakan arahan suara. Kemudian, kalau saya nak tukar siaran televisyen, saya hanya perlu sebut ‘siaran satu, siaran dua’, terus tukar siaran secara automatik. Sama juga halnya dengan tandas, paip air boleh dibuka dan ditutup sendiri, malah rumah itu juga tidak bergantung kepada tenaga elektrik luar sebaliknya menggunakan tenaga solar.

KEMAHIRAN ASAS HIDUP

Bagaimana belajar kemahiran asas hidup seperti bertukang dan pendawaian?
Saya dilahirkan dalam keluarga yang bertukang. Maknanya dari kecil, ahli keluarga keliling saya semuanya bertukang. Arwah datuk saya tukang kayu, arwah datuk sebelah emak pun tukang kayu. Kemudian ayah saya sendiri juga orang yang suka dengan kerja-kerja teknikal. Jadi saya dibesarkan dalam suasana itu.

Bagaimana pula dengan pendidikan formal?
Saya berjaya diterima masuk ke Institut Kemahiran Mara (IKM). Alhamdulillah, jadi pelajar terbaik, sehingga berjaya mendapat tawaran sambung belajar ke Jepun.

BAS TERBAKAR SETIAP TAHUN

Apa pengalaman tuan sewaktu mula-mula membuka Zull Design? Maksudnya pendedahan mendepani masyarakat dengan idea-idea radikal?
Untuk dapat pengalaman, saya buat kerja-kerja baik pulih secara percuma. Misalnya, baiki peti sejuk dan mesin basuh. Kemudian pada 1991, Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang waktu itu dipanggil MARA Holdings, bas MARA seluruh Malaysia ini cukup banyak. Tapi malangnya, setiap tahun bas terbakar.

Kenapa?
Sebab tiada orang yang buat kerja selenggara. Jadi saya pergi ke setiap syarikat bas ini, ajar mereka secara percuma. Tanpa dibayar, menggunakan wang sendiri. Ajar mekanikal, ajar baik pulih, ajar servis. Ini saya buat sehinggalah angka kebakaran bas berjaya diturunkan.

Ada lagi pengalaman lain?
Pada masa sama, MARA banyak habis sebab asyik baiki penghawa dingin bas. Mereka dapat saja untung, kemudian duit habis dekat penghawa dingin. Apa saya buat? Saya pergi mengajar mereka cara baiki penghawa dingin. Percuma, tanpa dibayar. Namun akhirnya biasa lah, bila kita dah mula masuk, ramai lah pembekal terjejas, mereka mula bersuara. Jadi saya pun serah sahaja kepada mereka. Saya tarik diri dan fokus usahakan Zull Design semula.

WOW FACTOR

Boleh kongsikan apa berlaku, sehingga berjaya menempa nama sebagai pereka cipta Melayu luar biasa?
Pada 1987, saya mula cari formula untuk mempunyai faktor penarik, atau wow factor. Saya cipta ‘Kereta Hantu’ yang saya sebut tadi, boleh hidup enjin dari jauh, boleh bergerak sendiri, malah kita boleh panggil dia guna voice command. Mari sini, dia pun datang kepada kita.

Apa berlaku selepas itu?
Apa lagi, akhbar Utusan Malaysia pun keluar dua muka surat, satu Malaysia tahu. Esoknya saya ini, kalau sekarang jadi macam Michael Jackson di Malaysia ini. Masa itu Malay Mail telefon, New Straits Times telefon, TV1 telefon. Saya pula tak biasa benda-benda ini masa itu.
Dan saya masih ingat, wartawan yang pertama sekali datang jumpa saya, dia pakai T-shirt, bawa kamera, ialah Aziz Ishak. Itulah yang pertama datang. Dia datang dengan kereta Datsun depan rumah saya. Boleh saya jumpa encik Zul, katanya. Wah! Saya bila orang nak temu ramah, tak pernah-pernah ditemu ramah tiba-tiba jadi macam artis. Esoknya keluar akhbar dengan saya berseluar pendek, sampai orang rumah kata, apa tak senonoh macam ini (tertawa). Itulah detik bermulanya.

UNIVERSAL STUDIO BELI PRODUK

Sejauh mana penerimaan pasaran terhadap produk-produk tuan?
Alhamdulillah, bukan sahaja diterima oleh pasaran tempatan, malah dari luar negara juga. Misalnya, produk kita dah digunakan di Universal Studio di Hong Kong, mesin-mesin kita pun dah disunting oleh kerajaan Brunei. Kerajaan Arab Saudi pun ada menyunting produk-produk kita untuk digunakan sewaktu musim haji, dan untuk membela ikan di padang pasir.
Di Palestin juga, ada minta produk kita untuk cara nak buat air di padang pasir, nak air laut yang masin jadi air tawar.

PRODUK KEBANGGAAN
Apa lima produk kebanggan?
Pertama pada 1987, kereta komputer. Utusan panggil ‘Kereta Hantu’. Kereta hantu ini memang top dan tular ketika itu. Yang keduanya saya reka ‘Rumah Lot 2020’ pada 1990. Rumah yang boleh berinteraksi dengan orang. Pada waktu itu, Sultan Azlan Shah dan Tun Ghafar Baba yang datang merasmikan.

Rumah ini dibina di mana?
Di Tasik Perdana. Yang dibiayai oleh Jabatan Alam Sekitar. Rumah itu rumah pintar yang kita boleh berinteraksi. Buka suis utama ikut masa kita tetapkan, cakap mulut saja. Bila kita ada dia on aircond. Bila kita keluar dia tak on. Lepas itu saya reka Oceantronic. Oceantronic ini menggunakan air paip. Air paip masuk dalam satu mesin, dan keluar jadi air laut. Maknanya air bekalan dari jabatan air, masuk dalam mesin yang saya reka dan jadi air masin. Kita tadah letak dalam kolam kita bela siakap, kita bela jenahak.

Bila mesin ini dicipta?
Tahun 2000. Dan telah digunakan hampir 3,000 orang di seluruh Malaysia. Kita namakan sistem nelayan bandar. Sebab bela ikan laut tepi rumah. Tapi malangnya, boleh kata kan 90 peratus gagal. Sebab kerajaan bagi. Bila kerajaan bagi bantuan. Dia tidak berterima kasih. Tidak usaha dan tidak hargai.

MASYARAKAT SUKA MEMBANDING-BANDINGKAN
Cabaran-cabaran sepanjang berada dalam bidang ni?
Paling berat sekali adalah penerimaan orang. Produk yang saya reka dan cipta ini pada awalnya nak dapat tempat di hati masyarakat sangat susah. Sehingga saya menjual produk barang saya ini, saya terpaksa pergi menjaja diri saya. Terpaksa promote diri tunjuk sana, tunjuk sini, bawa produk saya masuk exhibition di sana sini tanpa ada bantuan mana-mana pihak.

Bagaimana menempuhnya?
Semua saya buat sendiri hampir 10 tahun. Bila sudah boleh keluarkan produk saya, masih ada juga yang banding-bandingkan dari Amerika, dari Jepun saya rasa kita sekarang kalau nak bandingkan dengan orang kampung tak pernah keluar bandar dengan kita yang duduk bandar ini memang umpama langit dan bumi. Saya buat pakai tukul besi, Jepun buat sudah pakai mesin.

BANTU SELESAI MASALAH NEGARA

Sejauh mana kerajaan menyokong hasil usaha tuan? Dan apa bentuk sokongan itu?
Alhamdulillah, sejak tahun 80-an hingga sekarang, kerajaan amat menyokong. Satu sokongan moral yang sangat kuat adalah apa yang saya cipta mereka tak ganggu. Beri kebebasan. Tidak tanya itu, tidak tanya ini. Yang kedua, mereka hantar pegawai-pegawai mereka untuk jumpa dan meminta saya membantu sebahagian daripada masalah negara. Dan ini antara saya dengan merekalah.

Contohnya?
Contohnya macam bahagian unit letupan. Buat robot. Kita sama-sama buat. Tentera pun macam itu. Kemudian jabatan-jabatan khas kerajaan pun ada bekerja sama.

Jabatan khas yang macam mana?
Adalah. Perkara-perkara yang jadi hak kerajaan. Yang tak boleh kita dedah sangat.

Adakah sokongan itu berterusan sehingga 2021?
Ya, berterusan. Tetapi ia tidak melibatkan politik sebaliknya berkisar keselamatan dan masalah negara.

BIROKRASI SEKAT DAYA KREATIF

Sejauh mana kerenah birokrasi menyekat perkembangan Zul Design?
Masalah sebenar penjawat awam, bila dia bekerja, ikut buku panduan, ini masalahnya. Contoh kita buat rumah setingkat sahaja. Kenapa perlu ada arkitek sedangkan atas tanah kita. Kita nak buat reban ayam, tidak perlu lah nak panggil perancang bandar, betul?

Tapi bukankah mereka ikut panduan (SOP)?
Ya, itulah faktornya wujud kelemahan. Ia sudah tertulis dalam SOP dan buku panduan penjawat awam. Walau buat di tanah sendiri kena ada kebenaran. Saya hendak reka barang, terus tersangkut. Macam nak main dalam sungai, kena ada Jabatan Laut contohnya, sedangkan mahu main rakit saja.
Jadi di sinilah menyebabkan tersekatnya kreativiti. Kita boleh pergi jauh. Cuba tengok Thailand. Mereka ubah motosikal sampai jadi lori. Bertimbun-timbun di tengah jalan. Ekonomi negara itu naik. Sini tak boleh, basikal tambah tayar untuk orang cacat pun kena pergi Puspakom.

AGENSI SWASTA AMBIL KESEMPATAN?

Agensi swasta adakah yang menyokong?
Agensi swasta sangat menyokong. Tapi cekik darah pula. Nak untung lebih. Kalau suruh buat itu bajet seciput-ciputnya. Nak murah, sebab dia nak dapat untung.

Bagaimana hadapi kerenah pihak sebegini?
Itulah kelebihan seseorang, pepatah Melayu ada berkata, masuk kandang harimau kita jadi harimau, masuk kandang lembu kita jadi lembu. Kita kena pandai tawar menawar.

KERAJAAN LUAR SOKONG

Adakah kerajaan negara asing yang jumpa dan berminat dengan produk ini?
Sejujurnya ada bertanya lah. Tetapi tidak ada apa-apa perjanjian lagi. Thailand dan Arab Saudi. Thailand ada nak bincang dan bangunkan incinerator atau alat membakar bahan, berkonsep mudah diguna. Kerajaan Arab Saudi pula minat nak buat satu dapur pintar berkonsep AI untuk musim haji. Maknanya hanya picit butang, hari ini nak buat lauk apa, nak masak apa kerana terlampau banyak permintaan, mesin itu boleh masak secara automatik. Tapi buat masa ini perbincangan terganggu akibat pandamik.

TITIP PESAN BUAT ANAK BANGSA
Pesanan terhadap anak bangsa Melayu yang kini sedang berdepan era digital dan kreatif?
Saya tidak nampak minat kesungguhan di bidang reka cipta dalam anak-anak bangsa. Minat yang sungguh-sungguh ini tidak ada. Tapi saya ada satu petua apa yang saya lakukan. Untuk terus memberikan semangat. Pertamanya, bertindak sebelum diarahkan. Kedua, apabila disuruh kamu siapkan walau dalam jangka masa singkat.  – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×