Hidup sebumbung dengan ipar duai bukan lagi perkara baru dalam masyarakat kita. Rata-rata pasangan suami isteri terutama di bandar-bandar besar cenderung membenarkan adik-beradik masing-masing tinggal bersama atas faktor kewangan.
Langkah itu membolehkan mereka berjimat-cermat apabila kos bayaran bil bulanan, sewa rumah, barangan dapur dan keperluan lain di samping mengasuh anak dapat dikongsi secara bersama.
Tidak keterlaluan dikatakan fenomena ini makin menjadi trend bukan sahaja dalam kalangan berstatus B40 malah M40 seiring dengan kos sara hidup yang melonjak.
Tanpa disedari, situasi itu sedikit sebanyak menyiksa fizikal dan mental pasangan sama ada suami atau isteri secara dalam diam.
Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhammad Ajib Abd. Razak berkata, semua pasangan suami isteri mengimpikan kehidupan yang indah, aman dan tenteram selepas berkahwin di samping bahagia sepanjang masa.
Namun kehadiran pihak ketiga tentunya membataskan pergerakan mahu pun keinginan suami isteri sedangkan mereka seharusnya bebas melakukan apa sahaja di kediaman sendiri.
Menurutnya, keadaan itu lazim berlaku kerana masih ada ibu bapa yang tidak peka kepada implikasi anak-anak sebumbung dengan menantu.
“Segelintir ibu bapa menyarankan anak-anak tinggal bersama abang atau kakak atas faktor keselamatan, mencari pekerjaan di bandar, tinggal sementara sebelum mendapat rumah atau bilik untuk disewa di samping abang atau kakak perlu memantau kehidupan sosial adik-beradik mereka.
“Keputusan membenarkan ipar duai tinggal sebumbung perlu difikirkan semasak-masaknya kerana jika terlalu lama, sedikit sebanyak boleh menjejaskan kesejahteraan psikologi pasangan.
“Kesan jangka masa pendek, mungkin tidak kelihatan, tetapi jangka masa panjang, sudah tentu ada impak negatif,” katanya kepada Seri.
Cetus konflik, perselisihan faham
Muhammad Ajib yang juga Penolong Setiausaha Kehormat Biro Outreach Komuniti, Persatuan Psikologi Malaysia (Psima) berkata, sebumbung terlalu lama boleh menimbulkan konflik atau perselisihan faham antara satu sama lain.
Katanya, isu-isu kecil seperti pinggan mangkuk tidak bercuci, dapur tidak berkemas, barangan rumah berselerak, rumah tidak teratur di samping baju kotor masih berlonggok merupakan antara kes yang mampu mengundang rasa marah dan tidak puas hati tuan rumah apabila pulang dari kerja.
“Sedangkan ipar duai ada di rumah, tidak bekerja atau cuti. Itu belum lagi isu tidak menghulurkan bantuan daripada segi kewangan dan tenaga untuk memastikan rumah dalam keadaan baik tanpa membebankan pemiliknya.
“Dalam aspek emosi, kognitif dan perasaan pasangan turut terjejas terutama isteri yang perlu tinggal bersama adik ipar lelaki, pastinya mereka berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri hingga memendam perasaan,” katanya.
Menurut Muhammad Ajib, jika keadaan itu berlarutan terlalu lama, ia berisiko menyebabkan masalah kesihatan mental yang lebih teruk seperti kemurungan, gangguan jiwa dan perasaan, kemerosotan kualiti dan kepuasan perkahwinan.
Dalam perkembangan sama, katanya, Islam turut memandang serius terhadap isu yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan rumah tangga.
Oleh itu, ujarnya, hal ehwal rumah tangga di samping aib pasangan tidak sepatutnya diketahui pihak ketiga kerana berisiko diketahui oleh orang luar.
“Perbincangan secara berhemah perlu dilakukan seperti menasihati dengan kaedah yang betul agar tidak menjejaskan pertalian darah adik-beradik. Bak kata pepatah, menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak,” katanya.
‘Penumpang’ kena pandai bawa diri
Sementara itu, Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Haslinda Abdullah berkata, individu yang menumpang seharusnya tahu membawa diri dan bersedia menghulurkan bantuan ketika diperlukan sama ada tenaga mahu pun kewangan.
Katanya, usah berlagak seperti tuan rumah kerana sikap itu bukan sahaja boleh merosakkan hubungan ipar duai, malah dibimbangi mampu menyebabkan rumahtangga adik, kakak atau abang masing-masing, berantakan.
“Suami atau isteri perlu memainkan peranan masing-masing bagi memberi penjelasan kepada adik-beradik sekali gus mengelak konflik yang lebih besar.
“Lebih-lebih lagi bukan senang menegur ipar duai mereka yang tinggal sebumbung. Suami perlu bijak mengawal situasi dan berunding dengan adik-beradiknya selain menghormati keperluan serta kehendak pasangan.
“Paling mustahak, orang yang menumpang perlu sedar kedudukan mereka, bersedia memberikan kegembiraan kepada tuan rumah di samping bersabar dan bertolak-ansur,” katanya.
Makna ‘bebas’ cuma dalam bilik sendiri
SITUASINYA begini – Pasangan suami isteri ini baru saja berkahwin dan menyewa sebuah rumah pangsapuri dengan harga RM1,600 sebulan di pinggir kota. Turut menumpang di rumah itu, dua adik beradik suami, lelaki semuanya. Ipar duai ini bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM2,000.
Pada awalnya tidak menjadi masalah. Tetapi lama kelamaan, si isteri mula rimas kerana pergerakan ‘bebas’ amat terhad. Definisi ‘bebas 100 peratus’ untuknya, hanyalah dalam bilik tidurnya yang sempit. Selebihnya, dia berkongsi ruang dengan adik-adik ipar, yang kalau mereka tidak bekerja melepak hampir 24 jam di depan televisyen di ruang tamu.
Pada masa sama, rumah sentiasa bersepah kerana adik ipar tidak pandai atau tidak tahu mengemas dan pada masa sama mengharapkan kakak ipar memasak untuk mereka dan membasuh pakaian.
Saya rasa situasi seperti ini selalu berlaku. Bukan perkara luar biasa. Ramai yang menumpang adik beradik sebab bekerja di kota atas nasihat ibu bapa untuk menjimatkan kos dan pada masa sama merasa selamat kerana anak-beranak berkumpul dalam sebuah rumah. Senanglah untuk dipantau dan mudah juga untuk ibu bapa dari kampung datang menziarah.
Pun begitu, sedarkah ibu bapa atau adik beradik yang terlibat bahawa suasana seperti ini boleh menjejaskan rumah tangga, sekiranya adik beradik berasa terlalu selesa dengan tidak membantu sedikit pun kerja-kerja rumah atau dari segi kewangan, walaupun untuk membeli sekampit beras.
Perkara-perkara inilah boleh menimbulkan ketegangan dan pertengkaran suami isteri, yang mana suami atau isteri berasa tidak puas hati dengan perangai ipar. Sudahlah mereka baru saja membina hidup bersama, masih mencari persefahaman, belum stabil dari segi kewangan, ditambah dengan masalah-masalah yang ditimbulkan oleh adik beradik yang menumpang.
Sepatutnya, jika mahu menumpang pun, kenalah ringan tulang membantu apa yang patut. Ringankan beban tuan rumah. Janganlah asyik ‘bersidai’ di ruang tamu, menonton TV hingga larut malam bila tidak bekerja. Ipar lelaki pula asyik ‘berlengeng’, tak pakai baju sepanjang duduk di rumah. Yang kakak ipar pula sentiasa perlu menjaga aurat dalam rumah sendiri. Sedangkan dia mahu bebas di rumah sendiri.
Banyak sebenarnya pantang larang yang harus diikuti dan dipatuhi apabila seseorang itu mahu menumpang rumah kakak atau abang yang sudah berkahwin.
Mereka perlu ‘menghormati’ tuan rumah. Orang kata ‘menumpang buat cara menumpang’ adalah ayat yang kasar bunyinya. Tetapi hakikatnya, itulah yang sepatutnya lekat dalam kepala bila ingin tinggal bersama adik beradik yang sudah berkeluarga.
Yang penting sekali, jangan menjejaskan keharmonian rumah tangga orang yang ditumpang. Jangan tak pasal-pasal adik beradik bercerai kerana hal-hal sebegini. Bukan pasal kecurangan atau orang ketiga.
Bukan tidak boleh menumpang, tetapi pandai-pandailah membawa diri. Sama-samalah meringankan beban masing-masing. Tak susah pun.
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia









