SESEORANG diberikan nama semenjak dilahirkan. Nama yang diberikan kepada anak memperlihatkan latar belakang masyarakat pada sesuatu zaman, taraf pendidikan ibu bapa, keadaan ekonomi masyarakat, harapan yang ditaruhkan pada anak-anak dan lain-lain faktor.
Nenek moyang orang Cina di Malaysia kebanyakannya berasal dari wilayah Fujian dan Guangdong, China. Kedua-dua wilayah ini kaya dengan kebudayaan puak yang tersendiri.
Puak merujuk kepada sesuatu generasi diwariskan daripada nenek moyang yang sama, dan tinggal berkumpulan di tempat sama. Nenek moyang telah mengikatkan pertalian mereka melalui jadual salasilah. Setiap anggota puak memiliki senioriti masing-masing dan terdapat ‘perkataan’ dalam salasilah mewakili diri mereka yang digunakan dalam nama masing-masing.
Nama orang Cina lazimnya terdiri daripada tiga perkataan. Perkatan pertama ialah nama keluarga, perkataan kedua mewakili senioriti mengikut puak dan perkataan ketiga diberikan oleh ibu bapa kepada anak.
Disebabkan generasi datuk dan nenek mematuhi ketetapan nenek moyang secara ketat, maka salasilah datuk dan nenek keturunan Cina mudah dikenal pasti berdasarkan nama mereka. Namun, bukan setiap peneroka dari China berpeluang menerima pendidikan formal, tambahan pula mereka telah berjauhan dengan puak sendiri setelah berhijrah ke seberang laut. Faktor ini menyebabkan mereka gagal meneruskan susunan nama mengikut salasilah puak ketika memberikan nama kepada anak-anak masing-masing.
Nama keluarga merupakan elemen yang penting dalam kebudayaan masyarakat Cina. Di China terdapat lebih 20,000 nama keluarga sejak dahulu sehingga sekarang.
Kini, nama keluarga yang paling lazim digunakan ialah Wang, Li, Zhang, Liu dan Chen. Di wilayah Fujian, nama keluarga yang popular ialah Lin, Chen dan Zheng. Taburan nama keluarga orang Cina di Malaysia adalah lebih kurang sama seperti di wilayah Fujian.
Terdapat sesetengah nama keluarga yang membawa maksud negatif seperti Lao (bermaksud ‘tua’), Si (mati) dan Du (racun). Nama-nama keluarga seperti ini tidak digemari ramai dan biasanya ditukarkan kepada nama keluarga lain.
Di Malaysia, dahulunya nama orang Cina pada surat beranak ditulis mengikut sebutan dialek masing-masing. Namun, kini ia beransur-ansur ditulis mengikut sebutan hanyu pinyin kecuali nama keluarga yang masih kekal dalam sebutan dialek. Oleh hal demikian, nama keluarga yang sama akan dieja dalam sebutan berlainan dalam bahasa Melayu bagi puak berbeza. Sebagai contoh, nama keluarga Lin akan dieja sebagai Lim untuk orang Hokkien, dan Lam untuk orang Kantonis. Bagi orang Hokkien sendiri, nama keluarga Zheng boleh dieja dalam pelbagai sebutan seperti Tay, Teh, Tee dan Ti kerana mereka lahir di daerah yang berlainan, sebutan dalam dialek turut berbeza-beza.
Masyarakat Cina masih mengekalkan amalan menamai anak dengan perkataan yang penuh bermakna. Dipercayai kaum-kaum lain di Malaysia juga mementingkan nilai dan maksud di sebalik nama yang diberikan kepada anak. Setiap ibu bapa tanpa mengira kaum akan memilih nama yang elok dan murni untuk anak-anak dengan harapan generasi seterusnya membesar dan hidup dengan sejahtera dan bahagia.
Terdapat segelintir masyarakat Cina yang menamai anak berdasarkan tema perkembangan semasa negara. Misalnya, ada anak diberi nama Tuan Jie (perpaduan), He Ping (keamanan) dan Guo Qing (hari kebangsaan).
Selain itu, terdapat juga nama Ying Jun (kacak), Mei Li (rupawan), Fu Hao (orang kaya) dan Cong Ming (cerdik). Nama-nama ini jelas menggambarkan harapan ibu bapa terhadap anak-anak mereka sejak dilahirkan, dan juga memperlihatkan kasih sayang tidak terhingga ibu bapa terhadap anak.
Direnungi dari sudut lain, ketetapan dan pertimbangan masyarakat Cina dalam menamai anak-anak telah memperkaya konotasi budaya kebangsaan dan menyerlahkan keunikan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. – UTUSAN
DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.










