APAKAH benar akan berlaku tsunami anak muda dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi? Sudah tentu ia tidak mustahil dengan syarat sebahagian besar pengundi baharu berjumlah 7.8 juta orang keluar mengundi. Namun persoalannya, berapa ramai pengundi baharu yang benar-benar sedar kepentingan mengundi dan akan menunaikan tanggung jawab mereka?
PRU15 membuka peluang besar kepada anak muda untuk menentukan masa hadapan negara bangsa. Ini ialah pentas sulung bagi kita bersuara. Jika selama ini ada dalam kalangan anak muda asyik berhimpun untuk menuntut itu dan ini, maka nyatakan apa yang anda mahu pada kertas undi. Kalau dahulu hanya boleh mengeluh tentang pelbagai isu melingkari kehidupan, kini kita layak bersama-sama golongan lebih dewasa untuk memilih pucuk kepimpinan negara.
Krisis politik berpanjangan yang melanda negara sejak dua tahun lalu terasa begitu merimaskan. Ramai yang layak mengundi kesal kerana tidak menunaikan tanggungjawab pada PRU14 dahulu. Jika tidak mahu membuat pilihan, maka terpaksa akur dengan pilihan orang lain yang belum tentu baik buat kita.
MUAK
Sebagai anak muda, saya amat kecewa kerana terpaksa menanggung kesulitan akibat kecelaruan politik walhal kami tidak diberi peluang untuk mengundi pada PRU14. Kejatuhan ekonomi menghimpit kehidupan kami, para pelajar yang bukan berasal daripada golongan T20. Namun, tidak banyak yang boleh kami harapkan dalam keadaan politik terumbang-ambing tanpa parti teras yang kuat. Tersilap langkah, jatuh lagi kerajaan yang ada sebelum sempat PRU15. Jika itu berlaku, bertukar lagilah dasar-dasar kerajaan dan tambah bercelarulah keadaan negara.
Rakyat sudah cukup terseksa dan muak dengan segala permainan politik yang tiada hentinya. Bagaimanakah kerajaan dapat berfungsi secara optimum jika keadaan mereka bagaikan retak menanti belah?
Saya berharap 7.8 juta pengundi baharu tidak cuma tinggal sekadar angka yang besar. Jangan cuma lantang bersuara, sibuk merungut tetapi tidak mahu keluar mengundi.
Pada masa sama, saya mengharapkan pelajar yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi mendapat kemudahan untuk pulang mengundi. Kita harus ingat, seperti mana pelajaran, mengundi juga amat penting bagi menentukan masa hadapan. Jangan nanti kita menyalahkan orang lain sekiranya kerajaan yang dipilih gagal mentadbir negara dengan baik.
Tiada guna bercakap berdegar-degar dan tidak habis-habis merungut sekiranya tindakan enggan kita ambil. Jangan kita menjadi tin kosong yang bunyinya kuat tetapi tiada hasilnya.
Galaslah tanggungjawab yang diberikan bagi menentukan hala tuju dan masa depan negara. Gunakan kuasa kita dengan sebaik mungkin dan dengan penuh tanggungjawab. Apa yang mahu dibanggakan jika tangan sendiri terikat lena sehingga gagal memangkah undi? – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










