KENYATAAN beberapa pemimpin tertinggi Pas yang dilihat masih bermain ‘tarik-tali’ dalam memuktamadkan kerjasama antara Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO atau Perikatan Nasional (PN) menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dilihat boleh menjerat parti itu sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan dalam masa terdekat.
Tindakan itu menyebabkan ramai yang akan melabelkan Pas dengan istilah ‘dua kolam’ apabila parti tersebut masih beranggapan mereka mampu menjadi ‘king maker’ dalam mendamaikan perseteruan antara UMNO dan Bersatu menerusi Penyatuan Ummah sebelum mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Hakikatnya, Pas sudah tidak mampu berbuat demikian berdasarkan kepada kenyataan pimpinan tertinggi Bersatu dan UMNO yang memberikan reaksi berbeza berkait dengan kerjasama itu.
Terdahulu, Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara lantang melabelkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh pada PRU15.
Terbaharu, UMNO meletakkan tiga syarat kepada parti itu sekiranya ingin kembali menjalin kerjasama politik menerusi MN iaitu keluar daripada PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ 100 peratus daripada PN dan Bersatu.
Syarat yang diibaratkan seperti permintaan ‘Puteri Gunung Ledang’ tampak sukar untuk dipenuhi oleh Pas kerana mereka dilihat semakin selesa dengan Bersatu menerusi gabungan PN.
Ia dapat dilihat apabila Pas dan Bersatu kerap dilihat menjalankan program secara bersama sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan di peringkat persekutuan.
Situasi itu memberi isyarat kepada Pas bahawa mereka perlu melupakan peranan sebagai ‘king maker’ apabila penyatuan ummah yang diimpikan itu berkemungkinan besar tidak terlaksana apabila titik persamaan antara ketiga-tiga parti berkenaan sukar untuk dicari.
Ditambah pula dengan UMNO Kelantan masih ‘berkeras’ untuk bergerak solo melawan Pas di negeri ini sepertimana ketetapan yang dibuat selepas ‘bercerai’ mati dengan parti berkenaan. Perkara sama turut dapat dilihat di Terengganu apabila UMNO konsisten mahu menawan Wisma Darul Iman.
Bagaimanapun, dalam konteks PRU15, Pas perlu membuat keputusan dengan kadar segera bagi mengelakkan parti itu berdepan kesukaran jika Dewan Rakyat dibubarkan dalam masa terdekat.
Tindakan saat akhir ini sebenarnya boleh memberi padah kepada Pas kecuali mereka mahu bergerak secara solo sebagaimana PRU14.
Hakikatnya, ia bukan tugas mudah buat mereka berdepan PRU15 kali ini. Berpandukan rekod PRU14 lalu Pas hanya ada 18 kerusi Parlimen dan mengekalkan Kelantan serta menawan Terengganu.
Di Kedah, Pas hanya gagah membentuk kerajaan sambil disokong oleh Bersatu dan UMNO sahaja. – UTUSAN










