One Cent Thief: Inspirasi kisah benar ke layar kaca - Utusan Malaysia

One Cent Thief: Inspirasi kisah benar ke layar kaca

ONE Cent Thief menyajikan naskhah segar buat peminat drama tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAI menonton tayangan perdana episod pertama drama bersiri eksklusif, One Cent Thief, sudah dapat dibayangkan sekiranya naskhah ini diangkat ke layar perak. Skrip, lakon layar, barisan pelakon dan pengarahnya cukup hebat.

Membariskan pelakon handalan antaranya Datin Sofia Jane, Faizal Hussein, Ameerul Affendi, bergandingan dengan Syafiq Kyle dan Azira Shafinaz, One Cent Thief sebenarnya antara naskhah hebat yang memberi nafas baharu kepada industri layar kaca.

Di kala kita dihidangkan dengan produksi yang hampir sama jalan ceritanya, drama bersiri lapan episod itu pula mengambil inspirasi daripada kisah benar yang pernah menggegarkan negara.

Jalan ceritanya disuntik dengan pelbagai watak yang berkait antara satu sama lain.

Bercakap mengenai pemilihan bintang utama, pengarahnya, Ariff Zulkarnain berkata, setiap pelakon membawa karakter berbeza dan masing-masing mempunyai jalan cerita tersendiri.

“Saya pernah bekerja dengan Syafiq dan Ameerul. Kedua-dua mereka serasi dengan cara pengarahan saya. Untuk menjayakan sesebuah drama, kita memerlukan lakonan atau persembahan yang dinamik.

“Setiap pelakon berjaya memberi lakonan yang baik dan melengkapi antara satu sama lain. Mereka menjalani kelas lakonan selama dua minggu. Saya akui, ada juga pelakon lain yang tidak menepati kriteria dan karakter watak, jadi kita tukar.

“Sofia dan Faizal pula, seperti yang kita tahu pelakon yang cukup hebat. Saya sendiri mengidolakan mereka dan memang berhasrat untuk bekerja dengan dua legenda industri seni itu,” katanya.

Mengambil inspirasi pengarahan daripada filem Taiwan dan Hong Kong, Ariff berharap One Cent Thief akan menjadi sebuah drama yang selain menghiburkan, turut membawa mesej sosial dan membuka pemikiran ramai.

“Apabila kita melakukan sesuatu yang menghiburkan, kita perlu menyuntik elemen realiti kehidupan dan sosial. Dalam hitam dan putih, kita hadirkan garis kelabu untuk menjelaskan mengapa setiap itu berlaku.

“Saya cuba letakkan sifat perikemanusiaan pada setiap watak. Jika mereka dianggap jahat, mengapa mereka bertindak sedemikian. Kita berada dalam era di mana setiap watak ada jalan cerita sendiri. Very human,” katanya.

Dalam pada itu, penulis skripnya, Alfie Palermo berkata, proses penulisan skrip sudah bermula sejak Julai tahun lalu, dibantu tiga penulis lain dan mendapat konsultasi daripada seorang pakar cybersecurity.

“Kami mengambil masa lima bulan untuk menyiapkan skrip drama ini. Saya sudah ada jalan cerita daripada episod satu sehingga lapan, jadi kami tinggal lunaskan dan siapkan skrip.

“Semestinya, cabaran utamanya adalah terma penggodaman. Saya bukan pakar IT, jadi kami mendapat bantuan guru cybersecurity, Shahriman. Jadi, boleh dikatakan prosedur operasi standard (SOP) yang mungkin digunakan untuk menggodam sistem itu hampir tepat.

“Cuma, kita bukan mengajar orang untuk menggodam. Ada beberapa langkah dan cara yang telah disingkirkan. Kami lakukan kajian supaya tidak nampak seperti buat-buat pandai menggodam,” katanya.

Bakal bersiaran di saluran Astro Ria bermula jam 9 malam esok, One Cent Thief mengisahkan tentang Iman Shah, seorang pekerja bank yang terdesak untuk membiayai kos rawatan serta melangsaikan hutang bapanya kepada ceti haram.

Dengan kepintarannya, dia telah menggodam sistem Bintang Bank untuk mencuri satu sen daripada setiap akaun pelanggan bank dan berjaya mendapatkan jumlah wang yang besar.

Membawakan subjek heist dan kelainan berbanding produksi sedia ada, drama tersebut merupakan naskhah pertama di Malaysia, mahupun karya luar negara yang membawa kisah rompakan bernilai 1 sen.

Pertama kali bawa watak antagonis – Sofia Jane

Teruja apabila kali pertama ditawarkan watak antagonis, Sofia Jane tidak menunggu lama untuk menyatakan persetujuan. Malah, dia juga kagum dengan kehebatan pengarah serta penulis skrip One Cent Thief.

“Saya tidak pernah bawa watak antagonis. Ditambah pula dengan jalan cerita, skrip dan pengarahnya, jadi kenapa perlu tolak tawaran yang cukup bagus ini. Satu skrip yang sudah lama saya tidak lihat.

“Ada protagonis dan antagonis. Tetapi, setiap satu watak mempunyai jalan cerita dan kisah tersendiri. Itu yang menjadikan naskhah ini sesuatu yang segar dan berbeza,” jelasnya yang membawakan watak sebagai ibu Zara.

Tengok filem, kaji karakter – Syafiq Kyle

Pelakon utama, Syafiq Kyle yang menjayakan watak Iman Shah berkata, dia banyak menonton filem luar negara untuk mencari inspirasi bagi menzahirkan karakter Iman supaya berbeza dengan watak lain yang pernah dibawanya.

“Disebabkan One Cent Thief diinspirasikan daripada kisah benar, saya banyak membuat kajian, terutama membangunkan karakter Iman. Banyak tonton filem dan saya cipta karakter Iman berdasarkan penilaian sendiri.

“Skrip dan jalan cerita sangat membantu. Untuk karakter Iman, saya tidak menjurus kepada sesiapa. Cabarannya mungkin secara fizikal, banyak aksi dan bermain emosi,” katanya.

Naskhah ubah landskap industri – Faizal Hussein

Bagi Faizal Hussein pula, One Cent Thief merupakan naskhah yang boleh diibaratkan seperti sebuah filem berdurasi 360 minit yang dibahagi lapan untuk dijadikan sebuah drama bersiri.

“Pembikinan visualnya, jalan cerita dan watak yang ada telah mengalahkan beberapa filem yang saya terlibat. Semua bahagian berfungsi dengan baik. Ini adalah naskhah yang akan meng­­­ubah land­skap indus­tri seni kita.

“Semestinya, saya tidak ada alasan untuk menolak tawaran naskhah ini. Saya teruja menantikan maklum balas penonton dan kejayaan yang bakal dicipta menerusi One Cent Thief,” katanya yang menjayakan watak Abah, bapa kepada Iman Shah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×