Stereng kanan atau kiri lebih selamat?

Stereng kanan atau kiri lebih selamat?

KAJIAN menunjukkan stereng kiri pada kenderaan lebih berisiko berlaku kemalangan walaupun dianggap selamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA anda pernah memandu kereta di Putrajaya, tentu sudah biasa mengelilingi bulatan paling besar di dunia, iaitu Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sepanjang 3.5 kilometer. Dinamakan bersempena Yang di-Pertuan Agong XI, ia dibina pada 1997. Ramai mungkin mengadu ‘pening kepala’ jika dipandu kenderaan terlalu laju atau ketika hujan lebat.

Fenomena itu bukan kerana saiznya teramat gah, tetapi senario sama turut boleh terjadi sekiranya memandu mengelilingi bulatan paling kecil di dunia yang juga berada di Putrajaya. Terletak bersebelahan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, bulatan sebesar cuma dua meter ukur lilit itu apabila dipandu terlebih laju, kereta boleh terbabas.

Bagi peminat tegar teori konspirasi, mereka akan mendakwa situasi pelik ala drama penyiasatan bersiri popular Hollywood era 1990-an, The X-Files itu disebabkan faktor kedudukan stereng. Isu ini bukan baharu malah pernah dibangkitkan ramai warganet yang mendakwa kononnya kadar kes nahas di Malaysia tinggi kerana stereng kenderaan terletak di sebelah kanan.

Mereka dengan penuh yakin menyatakan kedudukan itu sebagai sukar dikemudikan kerana majoriti 90 peratus pemandu bukannya kidal apabila memegang gear bagi menukar transmisi. Ramai pengguna media sosial juga berkongsi pengalaman mereka memandu di negara yang stereng sebelah kiri dan mendakwa corak pengemudian lebih stabil atau kurang risiko nahas.

Saya tidak pasti dari manakah teori ini, namun berdasarkan pengalaman peribadi pernah melawat negara yang kenderaan berstereng kiri, arah pemanduan jalan laluan kanan pun ‘pening’ juga.

ROM

Berdasarkan fakta sejarah, stereng kanan dipercayai berasal daripada gaya satria berkuda yang memegang pedang panjang ketika bertempur sewaktu era empayar Rom pada abad pertama. Kaedah ini berkembang kepada pelbagai tamadun lain termasuk semasa kegemilangan Islam kurun kelapan selaras sunah Rasulullah SAW, iaitu memegang benda mestilah elok tangan kanan.

Ironinya, cara pengemudian kuda itu berubah drastik apabila industri automobil mula rancak di Barat pada awal abad ke-20 lalu dengan stereng kanan hanya diwarisi di negara bekas kolonial Britain.

Itupun bukan semua kerana setakat ini cuma 75 negara masih mengamalkan pemanduan kanan termasuk yang tidak pernah dijajah British antaranya Jepun, Mozambique dan Suriname. Tidak ketinggalan wilayah pentadbiran khas Hong Kong dan pulau bekas jajahan Portugal, Macau ketika tanah besar China tetap lagi melaksanakan polisi stereng kiri.

Di rantau Asia Tenggara selain Malaysia, Singapura dan Brunei, dua lagi negara yang tidak pernah pun diperintah oleh Britain juga mengamalkan stereng kanan iaitu Thailand dan Indonesia. Sebanyak 34 negara lagi termasuk beberapa anggota komanwel sudah beralih kepada stereng kiri antara 1940-an sehingga 1970-an dan menjadikan jumlah keseluruhannya 165 negara.

Saya ajukan isu ini ketika bertemu pakar akademik, Datuk Dr. Khairil Anwar Abu Kassim, baru-baru ini. Beliau yang juga Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bukan sahaja geleng kepala, malah ketawa kerana teori aneh itu langsung tiada asas pun.

Lebih lucu, kajian dilakukan saintis Program Penilaian Kereta Baharu Australia (ANCAP) pada 2017 sendiri menunjukkan stereng kiri lebih berisiko rentan kemalangan waima dianggap selamat. Perkara ini turut dapat dilihat menerusi laporan terkini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang meletakkan faktor kecuaian manusia dan kelajuan sebagai punca utama kes kemalangan.

Kesimpulannya, beliau menjelaskan, banyak nahas berlaku disebabkan sikap pemandu itu sendiri dan fenomena ini berlaku di seluruh dunia termasuk di negara yang berstereng kiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×