
Supermoon ialah bulan penuh atau bulan baharu yang hampir bertepatan dengan perigee, ia akan menghasilkan bentuk bulan yang jelas dan lebih besar sedikit dari biasa seperti yang dilihat dari bumi.

Istilah Supermoon juga boleh merujuk kepada bulan baharu, walaupun itu tidak biasa dilihat dalam media popular.
Semasa bulan berputar dalam orbit elipsnya mengelilingi bumi, terdapat dua titik yang ditandakan oleh ahli astronomi dengan nama, Lunar Perigee, iaitu titik jarak terdekat bulan dengan planet kita pada 363,104 kilometer dan Lunar Apogee iaitu titik jarak terjauh bulan dari planet kita pada 405,696 kilometer.

Apabila Lunar Perigee bertepatan dengan bulan penuh, ia akan menghasilkan bulan penuh yang besar. Ia boleh kelihatan sehingga 14% lebih besar diameter daripada bulan penuh di Lunar Apogee serta mempunyai pencahayaan 30 peratus lebih terang.

Walaupun Supermoon boleh dilihat beberapa kali setahun, hanya satu darinya yang paling super – dengan kata lain, yang terbesar dan paling hampir dari semuanya.
Kali ini saya kongsikan beberapa imej bulan penuh pelbagai latar hadapan di beberapa bangunan ikonik bandaraya Kuala Lumpur dan di Negeri Sembilan.











