Kajian gred madu kelulut jamin kualiti produk - Utusan Malaysia

Kajian gred madu kelulut jamin kualiti produk

Sama seperti produk-produk lain, madu kelulut juga tidak terlepas dari isu kandungan yang tidak asli dan berkualiti rendah akibat pelbagai campuran bahan lain. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Madu kelulut sememangnya mempunyai ribuan khasiat yang tidak dapat disangkal lagi.

Hasil semula jadi itu mengandungi antioksidan yang tinggi dan mampu mencegah penyakit yang paling digeruni iaitu kanser.

Bagaimanapun, sama seperti produk-produk lain, madu kelulut juga tidak terlepas daripada isu kandungan yang tidak asli dan berkualiti rendah akibat daripada pelbagai campuran bahan lain.

Justeru Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Kesihatan menjalankan kajian Unique Kelulut SuperFood Factor (UKSF).

Penyelidik, Ketua Makmal Bioserasi, Fakulti Sains Kesihatan UKM, Dr. Razinah Sharif berkata, UKSF merupakan satu instrumen penilaian mengkelaskan madu kelulut melalui pelbagai analisis saintifik.

Ia juga dirangkumkan alam model matematik bagi menghasilkan pemarkahan bintang.

“Jika restoran mempunyai Michelin Star, kelulut juga mempunyai star ranking iaitu Unique Kelulut SuperFood Factor (UKSF).

“Madu yang paling baik akan diberikan 5 bintang, diikuti 4 bintang dan seterusnya 3, 2 dan 1 bintang hanya jika produk madu tersebut mematuhi piawai yang diberikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Razinah berkata, kajian berkenaan bermula pada tahun 2021 apabila mendapat permintaan daripada rakan strategik lama dalam industri kelulut iaitu Syarikat Bayu Gagah Marketing yang diterajui Hisham Yusoff.

Syarikat berkenaan yang sudah sekian lama bekerjasama sejak tahun 2016 sering berkolaborasi dengan penyelidik untuk memastikan kualiti madu kelulut Malaysia terjamin.

Namun, syarikat itu mengenalpasti masalah yang ada di negara ini adalah tiada sistem penggredan untuk madu kelulut seperti madu Manuka keluaran New Zealand.

“Jika dilihat madu Manuka, mereka mempunyai sistem penggredan unggul mengikut ranking kegunaan perubatan dan industri.

“Beliau (Hisham) kerap meminta saya memikirkan cara untuk membantu penternak dan pengeluar madu kelulut, lantas terhasillah cadangan penggredan madu ini dengan kerjasama beberapa rakan penyelidik lain dari Fakulti Sains dan Teknologi, UNIMAS dan Hisham sendiri. Ia berjaya melepasi saringan dan diberikan geran oleh UKM berjumlah RM95,600,” ujarnya lagi.

KEPENTINGAN KAJIAN
Ditanya mengenai kepentingan kajian berkenaan dijalankan pada ketika ini, Razinah berkata, ia merupakan satu keperluan bagi mengekang penjualan madu yang tidak asli pada ketika ini.

Sedangkan kajian yang telah dijalankan sejak 2016 mendapati madu berkenaan berpotensi kelulut sebagai pencegah kanser dan superfood kerana mempunyai antioksidan yang tinggi.

“Berdasarkan kajian kami ketika itu menggunakan teknik in vitro, madu kelulut ini agak unik kerana mempunyai ciri antioksidan yang tinggi dan boleh mencegah dari kerosakan kepada genom.

“Bahasa mudahnya, anggap sahaja genom ini sebagai sebagai struktur rumah. Jika kerosakan struktur rumah berlaku, seluruh rumah akan runtuh. Sama dengan konsep genom, jika terdapat kerosakan genom, mutasi akan berlaku dan kebanyakan sel akan bertindak secara abnormal dan ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan seperti pencetus kepada keradangan, kanser dan sebagainya,” jelasnya panjang lebar.

Oleh itu, katanya, madu yang sudah tidak lagi asli dan dicampur dengan bahan-bahan lain mampu merosakkan zat dan kebaikan makanan berkenaan.

Malah, ia juga mampu menjadi sumber penyakit kepada pengguna yang tidak mengetahui mengenai produk berkenaan.

“Sepatutnya madu diambil sebagai makanan tambahan untuk kesihatan terutamanya ketika pandemik Covid-19 kerana madu kelulut bersifat antibakteriall iaitu ciri terbaik melindungi diri daripada jangkitan kuman.

“Namun madu palsu akan menyebabkan peningkatan aras gula darah. Aras gula yang tinggi adalah punca kepada pelbagai penyakit seperti kencing manis, obesiti, kanser, jantung dan sebagainya. Janganlah kita menambah punca penyakit. Cukup dengan stress kehidupan dalam zaman penuh inflasi ini,” kongsinya.

Lebih membimbangkan, madu yang tidak asli sudah berleluasa di pasaran ketika ini sekaligus meningkatkan risiko kesihatan dalam kalangan pengguna.

“Sebenarnya perkara ini terkena batang hidung sendiri. Pernah sekali saya membeli madu di tepi jalan, katanya madu asli dari hutan. Saya percaya tapi bila kembali ke rumah, banyak teori yang mengatakan sebaliknya.

“Contohnya madu itu beku dalam peti sejuk, tidak berasa masam dan rasanya terlalu manis. Perlu diingat, madu kelulut ini unik kerana rasanya yang masam dan asidik. Jadi, tidak dinafikan madu palsu wujud di pasaran, banyak atau tidak, jika tiada analisis dijalankan, kita juga tidak pasti akan ketulenannya,” katanya lagi.

Mendapat kecaman
Menyedihkan, kajian bagi mengenalpasti ketulenan madu turut mendapat kecaman daripada sesetengah pihak yang melihat ia adalah salah satu usaha untuk membunuh industri berkenaan.

Sedangkan, fokus utama penyelidikan adalah untuk membantu pengeluar dan penternak serta pengguna untuk memastikan madu kelulut yang dimakan adalah berkualiti tinggi.

“Kata mereka kebanyakan produk di pasaran tidak memerlukan ranking atau penarafan sebegini.

“Tepuk dada tanya selera, jika pengeluar mahukan jaminan kualiti madu, maka penyelidikan ini sangat penting bagi mereka,. Jika mereka masih mahu dimomokkan dengan madu mereka yang terbaik tanpa ada sebarang pembuktian, ikutlah sahaja,” luahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×