KUALA LUMPUR: PH akan mempertimbang sama ada ingin menyokong atau menolak Bajet 2023 hanya selepas ia dibentangkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya ingin melihat bajet yang dibentangnya nanti adalah ‘gula-gula Pilihan Raya Umum (PRU)’ atau benar-benar untuk rakyat.
Namun, Guan Eng dalam masa yang sama turut mengingatkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak membuang masa PH untuk tetap membentangkan Bajet 2023 jika berniat untuk membubarkan parlimen sebelum ia diluluskan.
“Kita tidak mahulah buat spekulasi awal-awal, tetapi kita akan pertimbangkan dulu sama ada bajet ini benar-benar untuk rakyat atau bagaimana.
“Saya nak ingatkan Perdana Menteri, kalau ada niat nak bubar, jangan bentang Bajet, buang masa kami sahaja. Tetapi kalau dah bentang, teruskan sahaja sehingga sempurna,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab sama ada PH akan menyokong atau menolak Bajet yang bakal dibentangkan Jumaat ini berikutan tiada lagi Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan PH.
Sementara itu, Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) turut berkata, beliau yakin yang bajet kali ini adalah ‘gula-gula’ untuk rakyat.
“sudah semestinya kerajaan akan menggunakan kedudukan sebagai kerajaan untuk memberi gula-gula semaksimum kepada pengundi mereka.
“Bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum lalu sehingga sekarang, rakyat dah cerdik, mereka tahu apa itu gula-gula Pilihan raya atau menjamin masa depan anak cucu kita,” ujarnya. – UTUSAN










