JUMAAT lalu ringgit ditutup pada RM4.63 berbanding dolar Amerika Syarikat selepas mencatatkan paras terendah dalam tempoh 24 tahun iaitu RM4.65 pada sesi dagangan Khamis. Para pedagang mata wang meramalkan ringgit akan bergerak kepada RM4.80 pada minggu-minggu akan datang dan seterusnya mencecah RM5.
Walaupun para menteri yang bertanggungjawab dengan ekonomi tidak menunjukkan sebarang riak kebimbangan berhubung kejatuhan nilai ringgit ini, tetapi realitinya ia memberi gambaran mengenai keadaan sebenar ekonomi negara.
Pada hari nilai ringgit menjunam ke paras RM4.63, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ekonomi Malaysia berada pada tahap yang kukuh dan stabil walaupun menghadapi masalah ekonomi global ekoran tindakan kerajaan yang terus mengambil langkah proaktif untuk menjaga ekonomi.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad juga memberikan keyakinan yang sama iaitu ekonomi kita di landasan kukuh, disokong oleh asas yang berdaya tahan, dasar pragmatik dan struktur ekonomi yang pelbagai.
Adakah segala retorik ini membawa maksud kita tidak perlu bimbang akan kejatuhan nilai ringgit dan hutang negara yang sudah mencecah angka trilion?
Apakah kadar inflasi pada Ogos yang meningkat kepada 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada Julai dan nilai ringgit merosot sebanyak 0.8 peratus tidak menjejaskan rakyat?
Adakah para pemimpin kita berkata benar mengenai situasi semasa ekonomi negara atau mereka menyembunyikan sesuatu?
Sudah tentu kedudukan nilai ringgit ini dipengaruhi oleh pertumbuhan ekonomi negara. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), aliran perdagangan, aktiviti perindustrian, dasar kerajaan mengenai eksport dan perbelanjaan, serta dasar monetari bank pusat, semua ini mempengaruhi nilai ringgit.
Memang diakui prospek ekonomi global yang lemah ekoran konflik Russia-Ukraine turun memberi tempias kepada ekonomi Malaysia. Ini ditambah pula dengan dasar kewangan AS di samping kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi di China – rakan dagang terbesar Malaysia – menambahkan lagi tekanan tersebut.
Tetapi faktor-faktor dalaman juga tidak boleh dipinggirkan sebagai antara aspek yang melemahkan ekonomi negara.
Menurut penganalisis, ketidaktentuan politik yang meningkatkan kemungkinan pilihan raya awal sebelum akhir tahun ini turut memberi tekanan kepada nilai ringgit dan prestasi ekonomi negara secara keseluruhannya.
Menurut mereka, walaupun kejatuhan nilai ringgit memberi kelebihan kerana mampu melonjakkan nilai eksport, tetapi pada masa sama kos import juga akan naik kerana semua urusan jual beli menggunakan dolar AS.
Ketika ini pengeksport barangan elektronik, jentera dan peralatan mendapat manfaat daripada ringgit yang lemah. Jika dibandingkan tiga bulan lalu apabila ringgit RM4.39 berbanding dolar AS, hari ini dengan kadar tukaran RM4.6 pengeluar berorientasikan eksport, terutama yang mempunyai kandungan import rendah memperoleh peningkatan sekitar lima hingga enam peratus.
Pendapatan dalam mata wang AS membantu mengimbangi kos bahan mentah dan logistik yang lebih tinggi.
Nasib berbeza dialami pengimport. Mereka akan rugi, kerana pendapatan dalam ringgit tidak akan mengimbangi caj logistik yang lebih tinggi untuk pengangkutan udara dan laut serta kos pengimportan.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan kadar faedah bank yang lebih tinggi iaitu kira-kira 4.5 peratus sekarang berbanding tiga peratus setahun lalu. Oleh itu, mereka terjejas disebabkan ringgit yang lebih lemah dan kadar faedah yang tinggi.
Namun sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber tenaga sendiri terutama minyak dan gas, ia sepatutnya boleh digunakan untuk menampung kenaikkan kos import itu dan menyokong nilai ringgit daripada terus merudum.
Selain memiliki minyak, Malaysia adalah negara pengeluar gas yang kelima terbesar di dunia. Eksport gas yang positif kata penganalisis, sepatutnya boleh menjadi offset kepada defisit yang berlaku dan seterusnya mempertahankan nilai ringgit. Tetapi itu tidak berlaku.
Kata mereka, apa yang berlaku kepada ekonomi Malaysia sekarang juga perlu dilihat secara keseluruhan. Ini kerana sejak 2018 hingga kini, ia jelas menampakkan aliran modal keluar oleh pelabur asing.
Pada tahun 2018 daripada keseluruhan pasaran modal di Bursa Malaysia, 25.6 peratus atau RM438 bilion adalah dana dari luar negara. Namun pada Ogos 2022, dana asing ini merosot kepada RM230 bilion. Bermakna hampir separuh daripada dana asing di Bursa Malaysia telah dibawa keluar.
Kenapa ini berlaku? Tidakkah ini antara penyumbang yang melemahkan nilai ringgit?
Begitu juga dengan bon-bon kerajaan. Sebelum ini kira-kira 31.7 peratus bon tersebut dilanggan oleh pelabur-pelabur luar. Tetapi kini ia merosot kepada 24.3 peratus. Adakah ini petanda bahawa pemegang-pemegang dana asing ini tidak lagi yakin dengan bon yang dikeluarkan kerajaan Malaysia?
Ada yang mengatakan ini adalah simptom-simptom yang dialami oleh Sri Lanka sebelum negara itu muflis. Cuma kita berdoa supaya perkara itu tidak berlaku di Malaysia dan para pemimpin kita segera mengambil langkah untuk mengatasi segala ketidaktentuan ini.
Ketika dolar mengukuh hingga menyebabkan tekanan kewangan di seluruh dunia terutama ke atas negara-negara membangun, kekuatan dalaman akan dapat membantu menyerap kesan negatifnya.
Tapi apakan daya, negara masih lagi bergelut dengan ketidakstabilan politik hingga menakutkan para pelabur. Persediaan ke arah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nampaknya mengatasi usaha mengatasi ketidaktentuan ekonomi. Selain itu, kepimpinan yang kuat juga akan membantu meningkatkan keyakinan pelabur.
Seperti kata Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Yasuhiko Matsuda: “Akhirnya, tiada seorang pun daripada kita tahu di mana ekonomi negara akan terdampar. Terdapat terlalu banyak ketidaktentuan. (Tetapi) kita tahu bahawa dalam jangka sederhana hingga panjang, terdapat reformasi struktur tertentu yang diperlukan oleh sesebuah negara, terutamanya dari segi fiskal, pelaburan asing dan domestik, pembaharuan dalam pasaran buruh, sistem pendidikan dan sebagainya.”
“Ini adalah set cabaran biasa yang dihadapi kebanyakan negara, tetapi kerana Malaysia secara relatifnya lebih berjaya berbanding negara berpendapatan sederhana lain, maka tahap untuk perkara ini diselesaikan lebih tinggi.”
Namun ia memerlukan iltizam daripada semua peringkat pemimpin dan pembuat dasar untuk mencari formula yang sesuai untuk Malaysia mengharungi badai ini. Semua pihak perlu berterus terang, bukannya menyembunyikan fakta demi menyedapkan hati pihak-pihak tertentu. – UTUSAN
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.










