PRU15: Pangkah calon atau parti?

PRU15: Pangkah calon atau parti?

aidiladha
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMPOH penggal Parlimen ke-14 sudah semakin menghampiri penghujungnya. Jika pun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih tidak memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, ia tetap akan terbubar dengan sendirinya setelah genap tempoh lima tahun. Justeru, kalau pun masih mahu ‘membeli masa’, kita tidak sepatutnya mendahului apa yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Suka atau tidak, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mesti dilangsungkan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

Waktu ini sangat mencabar bagi pemimpin politik. Bagi pemimpin utama, tugas mereka adalah mengatur strategi ‘perang’ dan memilih calon yang bukan hanya boleh menawan hati pengundi tetapi juga setia dan membawa aspirasi parti. Bagi yang bercita-cita untuk menjadi calon, ini saat amat mendebarkan. Tambahan pula, mereka bukan sekadar mahu dipilih, tetapi turut mengidamkan kerusi selamat supaya dapat menang dengan mudah dan selesa.

CENDAWAN

Dalam situasi parti baharu muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan, ditambah lambakan calon Bebas, pengundi mempunyai begitu banyak pilihan. Akan bertaburanlah pelbagai janji manis untuk memikat hati pengundi. Tidak cukup dengan janji, ada yang akan menagih undi simpati dan sanggup melakukan apa sahaja demi memenangi kerusi ditandingi. Maka, jangan pula kita mudah terpesona dengan janji politik yang hanya ibarat fatamorgana.

Ramai yang bertanya, apakah asas pilihan saya, calon atau parti? Memang kedua-duanya penting. Namun, yang lebih utama bagi saya ialah dasar dan prinsip perjuangan serta rekod pemerintahan parti tersebut. Tambahan pula, semua parti besar yang akan bertanding nanti pernah memerintah negara. Hakikatnya, kebanyakan parti baharu pun ialah serpihan daripada parti-parti tersebut.

CELIK POLITIK

Calon yang menang terpaksa akur kepada dasar serta prinsip gabungan parti masing-masing. Melainkan jika ahli Parlimen itu bertindak melompat parti setelah memenangi kerusi ditandingi. Semoga Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang diluluskan baru-baru ini dapat memastikan ahli Parlimen tidak lagi mengkhianati mandat yang diberikan oleh pengundi demi kepentingan diri.

Pengundi yang celik politik sudah tentu sedar setiap calon yang menang tidak akan dapat membawa perubahan kepada negara secara bersendirian. Jika semua ahli Parlimen bebas membuat keputusan serta bertindak secara individu, maka kucar-kacirlah sistem pemerintahan negara. Bukankah memeningkan apabila anggota Kabinet membuat keputusan yang bercanggah dalam menangani sesuatu isu? Maka, kita terpaksa lagi berkali-kali berhadapan dengan pusingan U serta dasar yang cacamarba. Apakah itu yang kita mahukan?

Ini yang saya lontarkan apabila disoal tentang isu asas yang menentukan pilihan pengundi ketika menjadi panel program televisyen, baru-baru ini. Pengundi yang matang tidak akan terpengaruh dengan isu sensasi. Asas pemilihan adalah dasar parti yang selari dengan prinsip diangkat oleh pengundi selain soal kestabilan.

Asas kenegaraan merupakan pasak dan tiang seri kepada rumah pusaka kita. Jika runtuh tiang serinya, bermakna runtuhlah rumah pusaka yang kita warisi ini. PRU bukanlah medan untuk kit bereksperimen. Jangan sampai menang sorak kampung tergadai. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×