Krisis tenaga global, Malaysia mesti bersedia

Krisis tenaga global, Malaysia mesti bersedia

TENAGA solar menjadi sumber tenaga penting pada masa hadapan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tangguh pembinaan loji baharu untuk mengelak margin simpanan yang lebih tinggi.

Itu antara lima cadangan penyelesaian dikemukakan oleh Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) kepada kerajaan untuk memastikan jaminan tenaga Malaysia terjamin dan peningkatan kos harga sumber tenaga diminimumkan.

Empat cadangan penyelesaian lain ialah:
* Malaysia mungkin boleh mengambil pendirian seperti India dan beberapa negara lain mengenai Jaminan Tenaga (Energy Security).
* Meningkatkan Faktor Beban (Load Factor) Loji Hidroelektrik.
* Para pesalah mesti dihukum kerana menyebabkan margin simpanan yang tinggi.
* Mengenakan Had Ekuiti Asing­ Tidak Boleh Ditarik Balik (Irreversible Foreign Equity Cap) yang ketat dalam sektor tenaga dan elektrik.

Mengulas cadangan-cadangan itu, Presiden AWER, Piarapakaran S. berkata, kerajaan mesti menyemak semula semua projek loji janakuasa yang telah dianugerahkan dan berunding dengan syarikat-syarikat berkaitan untuk menangguhkan pemuktamadan sumber kewangan (financial close) serta Tarikh Operasi Komersial (COD).

Mengenai had ekuiti asing, beliau berkata, Suruhanjaya Tenaga (ST) dan kementerian berkaitan telah gagal melaksanakan dasar tersebut beberapa tahun lalu dengan membenarkan syarikat-syarikat asing mengambil alih pemilikan beberapa loji janakuasa di Malaysia.

“Selain itu, ST dan kementerian berkaitan juga telah membenarkan penjualan anugerah projek loji janakuasa kepada syarikat asing ini. Anugerah projek bukanlah sesuatu yang boleh dijual berdasarkan dasar kerajaan yang sedia ada. Maka, ia adalah mustahak bagi kerajaan mengambil tindakan terhadap ST dan kementerian berkaitan yang menyebabkan gangguan kepada jaminan tenaga,” katanya dalam kenyataan.

Piarapakaran menambah, kerajaan mesti memastikan negara dapat terus meningkatkan jaminan tenaga dan me­ngurangkan input kos sumber tenaga serta beberapa keluaran hiliran (downstream outputs) seperti baja.

Jelasnya, tekanan yang dilakukan dunia terutama Kesatuan Eropah ke atas Russia melalui sekatan adalah untuk melin­dungi kepentingan warga EU dan ekonomi blok berkenaan.

“Justeru itu, Malaysia mempunyai hak yang sama untuk melindungi rakyat dan ekonomi kita,” tegasnya.

Piarapakaran berkata, banyak faktor akan memburukkan lagi keadaan permintaan-bekalan yang akan membawa kepada krisis tenaga global.

Faktor-faktor itu termasuk musim sejuk dan krisis Russia, peranan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC dan OPEC+ dan kombo minyak mentah, gas asli serta arang batu.

“Selain itu, keadaan pertukaran mata wang yang tidak menentu juga akan memberi kesan kepada sektor elektrik berikutan situasi pengimportan arang batu 100 peratus. Kami berharap Perdana Menteri akan bertindak dengan tuntas untuk memastikan jaminan tenaga Malaysia terjamin dan peningkatan kos harga sumber tenaga diminimumkan dengan melaksanakan cadangan-cadangan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×