PERTEMUAN usai tayangan perdana filem Mengejar Syurga membuka kesempatan membincangkan tentang peluang dan ruang untuk penggiat industri tempatan mencuba nasib di negara seberang.
Lihat sahaja kejayaan beberapa anak seni antaranya Bront Palarae, Nur Fazura dan Nora Danish, mereka antara nama besar yang sudah menempa kedudukan menerusi filem pecah panggung di negara itu.
Biarpun ada segelintir penggiat seni tempatan kurang setuju apabila beberapa pihak dilihat terlalu mengangkat industri perfileman Indonesia, hakikatnya kita harus memandang dari sudut positif.
Pengarah Mengejar Syurga, Bambang Drias berkata, industri perfileman Indonesia sentiasa mengalu-alukan kerjasama dan kolaborasi antara produksi serta pelakon dalam sesebuah naskhah.
Jelasnya, selain dapat bertukar idea dan berkongsi ilmu, kerjasama itu juga dapat merancakkan lagi industri perfileman di rantau ini untuk terus mencipta sejarah menerusi naskhah hebat.
“Memang kita memerlukan pelakon Malaysia untuk bekerjasama dalam karya yang dihasilkan. Kita juga satu rumpun, peluang dan ruang itu sentiasa ada. Saya sendiri terbuka untuk menerima.
“Contohnya, naskhah baharu saya, Kerna Cinta Bukan Bayangan memerlukan 30 peratus pelakon Malaysia. Sekarang saya sedang menjalankan sesi casting bersama beberapa pelakon hebat dari sini,” katanya.
Bercakap mengenai perkembangan industri perfileman Indonesia selepas pandemik, Bambang akui, biarpun terkesan hebat, keadaan semakin pulih dan peminat kembali memberi sokongan.
“Mungkin proses pemulihan di Indonesia lebih pantas berbanding Malaysia. Rakyatnya juga lebih berganda. Tetapi, saya lihat industri perfileman di negara ini juga semakin hebat,” katanya.
Bambang sebelum ini pernah mengarah beberapa filem pecah panggung antaranya Nightmare In Bali, Erau Kota Raja, The Promise dan banyak lagi.
MENGEJAR SYURGA
Membuka gelanggang tentang Mengejar Syurga, Bambang berkata, antara cabaran utama yang harus ditempuhi adalah cuaca dan kekangan waktu ketika penggambaran di Amsterdam, Belanda.
“Kami menjalani penggambaran sekitar 2018 dan pada bulan Ramadan. Semestinya tempoh penggambaran itu agak terhad. Tambahan pula, cuaca ketika itu pada paras sejuk lima darjah Celsius.
“Mujur proses penggambaran kami mendapat kerjasama beberapa kedutaan dan itu memudahkan urusan. Hampir 90 peratus penggambaran di Amsterdam selama 27 hari,” katanya.
Menemui penonton di seluruh negara mulai hari ini, Mengejar Syurga menampilkan pelakon popular Indonesia antaranya Jessica Mila, Al Ghazali, Kimberly Ryder dan Jeremy Thomas.
Filem terbitan 4ward Pictures dan MAXStream Original itu mengisahkan mengenai ketabahan dan kecekalan Atikah (Jessica Mila) dalam usaha mencari ayahnya, Hendrik (Jeremy Thomas), yang telah meninggalkannya sebelum dia dilahirkan.
Sekian lama Atikah memendam perasaan ingin menemui dan mengubat kerinduannya, gadis itu tekad mencari ayahnya untuk menjadi wali pada hari pernikahannya dengan bantuan rakan serta tunangannya.











