Pas akan muktamadkan siapa rakan PRU15

Pas akan muktamadkan siapa rakan PRU15

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pas dijangka memuktamadkan siapa ‘rakan’ ker­jasama mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Perkara itu disahkan Pe­ngerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengadakan pertemuan bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang malam kelmarin.

Menurutnya, pada pertemuan itu, Abdul Hadi menjelaskan kepada beliau bahawa parti itu akan memutuskan segera rakan kerjasama mereka sama ada PN atau UMNO.

“Beliau (Abdul Hadi) menjelaskan, pertemuannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi tidak mencapai apa-apa keputusan. Dia (Hadi) beritahu dia jumpa lepas itu tidak ada apa-apa, katanya tidak ada hasil daripada pertemuan itu.

“Itu baiknya dia lapor pada saya, saya pun kalau jumpa sesiapa, kita lapor balik. Tidak ada benda yang kita sorok.

“Saya diberikan baya­ngan oleh Abdul Hadi bahawa kemungkinan Pas akan buat keputusan muktamad tentang hala tujunya dalam PN,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di sini semalam.

KEPUTUSAN

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau menyerahkan kepada Pas untuk membuat keputusan kerana beliau sudah memberi pandangan supaya PN tidak dilihat tidak kukuh dalam bentuk gabungan.

Jelasnya lagi, PN harus me­ngambil satu pendirian yang sa­ma dalam semua perkara supaya tiada pertembungan kepentingan sekali gus menentukan kemenangan dalam PRU15.

Sebelum ini, Muhyiddin ber­kongsi hantaran di Facebook pertemuannya dengan Abdul Hadi dan memaklumkan ia satu pertemuan yang harmoni.

Ia turut dihadiri Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Pas diwakili Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mengenai hasrat Pas untuk mewujudkan perpaduan ummah antara UMNO dan PN, Muhyiddin berkata, hasrat itu baik dan beliau bersetuju, namun realitinya Bersatu tidak mungkin bekerjasama dengan UMNO.

Menurutnya, UMNO sendiri membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk tidak menerima Bersatu ataupun tidak mahu bekerjasama dan sampai hari ini ia kekal.

“UMNO langsung tidak ma­hu kerjasama, jadi kita terima itu sebagai satu kenyataan dan apabila hadapi PRU15 sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan kita, kita akan tentang (lawan).

“Nak kata musuh tak musuh bukan musuh menentang agama, tapi politik dan nampak­nya kita akan teruskan usaha kita,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×