Parti-parti politik perlu mencontohi ketegasan DAP dalam mengekang ahlinya daripada bertukar parti selepas mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya.
Dalam Kongres Khas DAP 2022 Ahad lalu, parti itu melakar sejarah menjadi parti pertama yang meminda Perlembagaan supaya DAP selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Seramai 632 perwakilan parti itu bersetuju meluluskan pindaan Perlembagaan parti bagi menghalang wakil rakyatnya bertukar parti.
Menurut Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook, langkah itu diambil supaya dapat menutup satu kelompongan dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak merangkumi ahli Parlimen yang dipecat daripada parti.
Ini kerana melalui Akta Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, mana-mana individu yang dipecat daripada parti boleh kekal sebagai ahli Parlimen kerana ia terpulang kepada perlembagaan parti.
Jika perlembagaan parti menyatakan bahawa seseorang ahli Parlimen boleh terlucut keahliannya apabila melanggar arahan partinya, maka, Parlimen boleh mengosongkan kerusi itu mengikut keputusan parti.
Dengan adanya pindaan Perlembagaan parti sedemikian, ia dapat menjamin kerusi mana-mana individu yang ditandingi atas tiket parti itu tidak jatuh ke tangan parti lain selepas mereka dipecat.
Bak kata Anthony Loke, umum tahu seseorang itu dipecat kerana mereka membuat suatu tindakan yang melanggar keputusan dasar parti.
Oleh itu, adalah tidak adil apabila kerusi yang dimenangi hasil kerja keras parti terlepas ke parti lain sekiranya individu dipecat itu bertukar parti.
Justeru, sekiranya sikap dan tindakan DAP yang dikatakan sering membelakangi semangat Perlembagaan boleh mengambil inisiatif sama seiring dengan Perlembagaan Persekutuan, mengapa tidak parti lain? – UTUSAN










