MELAKA: Kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menyedari bahawa tiada pihak yang dominan dalam Perikatan Nasional (PN), lantas membolehkan sesebuah parti itu bercakap mewakili mana-mana komponen yang lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek (gambar) berkata, disebabkan itu, walau sebesar mana sekalipun sesuatu jawatan yang disandang dalam PN, ia bukanlah tiket untuk mengeluarkan sebarang kenyataan terutama berkaitan hala tuju dan dasar sesebuah parti gabungan.
Justeru tegasnya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihatkan agar berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan mewakili gabungan berkenaan bagi mengelak keharmonian dalam PN terjejas.
“Pas konsisten dengan agenda dan gagasan besarnya seperti yang diputuskan dalam Muktamar Pas baru-baru ini iaitu ‘Penyatuan Ummah’. Pas juga dari awal lagi menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) adalah musuh utama Pas.
“Jadi saya rasa pimpinan Bersatu perlu faham dan akur sebelum menerima Pas sebagai rakan komponen dalam PN.
“Presiden Bersatu perlu berhati-hati apabila keluarkan kenyataan mewakili PN. Perlu diketahui dalam PN tiada kumpulan yang dominan, cuma yang membezakan adalah hierarki perjawatan parti sahaja,” katanya yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Jasin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai peringatan Pas terhadap Muhyiddin supaya lebih cermat mengeluarkan kenyataan berkenaan
Barisan Nasional (BN), yang dikaitkan oleh Pengerusi PN itu sebagai musuh utama yang perlu dilawan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kenyataan Muhyiddin itu sekali gus bertentangan dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini yang menyatakan BN bukan musuh utama PN sebaliknya musuh mereka adalah PH dan sekutu-sekutunya. – UTUSAN










