MENGANGKAT tema aksi rompakan heist, filem terbaharu negara seberang, Mencuri Raden Saleh berjaya membawa kelainan dalam industri perfileman Indonesia.
Karya arahan sutradara terhebat, Angga Dwimas Sasongko dan terbitan Visinema Picture, Jagartha, Blibli dengan kerjasama Astro Shaw ini juga ternyata akan mampu mengubah landskap perfileman negara tersebut dengan pembikinan sebuah karya yang jarang sekali dihasilkan.
Enam anak muda, satu lukisan, satu rompakan terbesar abad ini, ia antara filem yang membawa penonton merasai suasana bersama-sama berkomplot dalam rompakan besar yang melibatkan politik dan pembesar.
Mendebarkan, tidak duduk diam dan sarat emosi. Angga bijak menggunakan masa dua jam lebih itu dengan menggarap pelbagai aspek yang sangat baik bagi menonjolkan perbezaan, berbanding karya arahannya yang terdahulu.
Pada pertengahan jalan cerita, mata bagaikan tidak ‘bisa’ berkelip walaupun sedetik kerana enggan terlepas setiap babak yang menarik, malah rasa tidak sabar untuk mengetahui apa akan terjadi seterusnya.
Mencuri Raden Saleh turut berjaya mencuri perhatian penonton atas faktor skrip, plot yang matang dan penyampaian mesej yang berat serta jelas.
Selain itu, kekuatan karya ini tidak hanya terletak pada jalan cerita yang segar dan sarat dengan babak aksi mendebarkan semata-mata.
Sebaliknya, ia turut menampilkan kisah golongan generasi Z yang memainkan peranan yang besar bagi menghidupkan jalan cerita.
Antara pelakon muda berbakat besar yang ‘berkomplot’ menerusi filem ini seperti Iqbaal Ramadhan, Angga Yunanda, Aghniny Haque, Umay Shahab dan Ari Irham.
Setiap watak mempunyai peranan dan tugas berbeza dalam misi pencurian ini serta diberi jolokan masing-masing seperti Piko- ‘The Forger’, Ucup- ‘The Hacker’, Fella- ‘The Negotiator’, Sarah- ‘The Brute, Gofar- ‘The Handyman’, dan TukTuk- ‘The Driver’.
Sarat plot twist
Angga adalah figura yang bijak menggunakan plot twist yang sarat untuk merasai kelainan pengalaman sepanjang dia memahat nama di persada industri perfileman.
Genius, selain menampilkan jalan cerita yang berbeza, Angga turut berani menggunakan teknologi kesan visual CGI yang ternyata kelihatan realistik.
Menampilkan sinematografi yang padu, ia secara tidak langsung memberi impak berbeza buat penonton sepanjang jalan cerita ini ditayangkan.
Menurut Angga, pembikinan karya tersebut tidak dinafikan berjaya memadam stigma segelintir masyarakat yang meragui kebolehan produksi perfileman negara berkenaan dalam menghasilkan filem genre sedemikian.
“Jika masyarakat selama ini meragui tentang pembikinan filem Indonesia, kali ini dengan enam bakat muda, kru yang bagus, filem ini berjaya membuktikan segalanya dan bukan sekadar imaginasi semata-mata.
“Bagaimanapun, konsep yang saya pegang adalah, setiap orang yang terlibat dalam filem ini mempunyai hak dan pandangan masing-masing terhadap Mencuri Raden Saleh kerana ini adalah karya bersama,” katanya.
Filem itu menemui penonton tempatan bermula 22 September lalu.











