Bajet 2023: Merasai denyut nadi mahasiswa

Bajet 2023: Merasai denyut nadi mahasiswa

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad (tiga dari kanan) menyerahkan komputer riba dan baucer makanan kepada pelajar dalam program Asnaf Masuk Universiti, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 7 Oktober ini merupakan tarikh yang dinanti-nantikan oleh rakyat apabila kerajaan membentangkan Bajet 2023. Bajet 2023 amat kritikal susulan situasi ekonomi semasa tidak menentu disebabkan ketidaktentuan ekonomi global. Kesan daripada krisis sejak 2020 iaitu pandemik Covid-19 belum berakhir, ditambah pula pelbagai krisis global lain yang berlaku secara serentak dan berterusan termasuk peperangan antara Ukraine dan Russia, krisis keselamatan makanan dan kenaikan harga barangan.

Kenaikan harga barang pada ketika ini sememangnya sesuatu yang amat meresahkan semua pihak khususnya golongan B40 dan M40, lebih-lebih lagi ia membabitkan barang makanan.

Sekiranya membeli barangan keperluan harian khususnya barang makanan, tentu sekali kita dapat merasai kenaikan harga pada ketika ini disebabkan banyak faktor termasuk kebergantungan kepada barangan import, peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat kali ketiga dalam tempoh setahun dan kejatuhan nilai ringgit.

Tatkala ringgit yang menunjukkan trend menurun nilainya memberikan kesan kepada kenaikan harga barangan import mengakibatkan peniaga terpaksa meletakkan harga lebih tinggi.

Kesannya, nilai import makanan berpotensi lebih tinggi pada 2022, melepasi paras tertinggi pernah direkodkan pada 2021 sebanyak RM63 bilion.

Terdapat keperluan teramat penting untuk meneruskan inisiatif yang telah dirangka oleh kerajaan sebelum ini bagi tempoh enam bulan akan datang. Ia bagi memastikan kita mampu untuk berhadapan tekanan ekonomi global luar biasa pada ketika ini disebabkan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Bajet 2023 merupakan kunci kepada pemulihan ekonomi yang mana pada ketika ini rakyat daripada pelbagai lapisan amat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup berpunca daripada kenaikan harga barangan khususnya barangan makanan. Antara yang terkesan adalah mahasiswa dan pelajar sekolah khususnya daripada keluarga B40 dan M40. Sebahagian universiti telah memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dan yang lain pada Oktober ini.

Maka, bagaimana pula persediaan mahasiswa dalam berhadapan situasi ketika ini? Sebagaimana kita sedia maklum, sebahagian besar mereka bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pengajian dan dalam masa sama mempunyai adik-beradik yang masih bersekolah. Terdapat potensi amat tinggi bagi pelajar ikat perut dan mencatu makanan semata-mata ingin membantu adik-beradik masing-masing yang masih bersekolah.

Ia termasuk kemungkinan pelajar bergantung kepada makanan seperti nasi berlauk telur goreng dan kicap, roti serta mi segera.

Ada mahasiswa juga berpotensi tidak dapat meneruskan pengajian sekiranya mereka berdepan masalah kewangan yang rumit. Dalam masa sama, universiti juga sentiasa membantu pelajar dari semasa ke semasa untuk meringankan beban ditanggung oleh mahasiswa yang benar-benar memerlukan melalui pelbagai bantuan kewangan.

E-DOMPET

Namun dalam konteks menyeluruh, salah satu penekanan perlu diberikan dalam meringankan beban pelajar semasa menyambung pengajian adalah kos harian makanan. Justeru, kerajaan boleh pertimbangkan melalui Bajet 2023, insentif pembelian makanan harian khas dalam bentuk e-dompet yang dikreditkan secara bulanan kepada semua pelajar B40 dan M40 sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran di kampus. Ia dicadangkan hanya digunakan untuk membeli makanan di dalam kampus.

Selain itu, terdapat juga keperluan agensi kerajaan yang terlibat dalam memberikan bantuan kewangan kepada mahasiswa dan bakal mahasiswa. Perkara sama juga boleh dilakukan oleh agensi swasta dalam membantu terutama mereka dari keluarga B40 sebagai persiapan untuk memasuki menara gading.

Sebagai contoh, kerajaan memperkenalkan program PerantiSiswa Keluarga Malaysia iaitu satu inisiatif di bawah Bajet 2022 diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Penerima inisiatif ini iaitu mahasiswa dalam kalangan keluarga B40 berpendapatan isi rumah RM4,850 dan ke bawah menerima sebuah komputer tablet model terkini, lengkap dengan perumah (casing), papan kekunci dan pen stilus.

Dalam masa sama, kerjasama antara universiti dan industri juga boleh membantu mahasiswa untuk memperoleh manfaat tersebut. Sebagai contoh, baru-baru ini Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama QSR Brands (M) Holdings Berhad melaksanakan program Asnaf Masuk Universiti untuk membantu pelajar asnaf yang menerima tawaran kemasukan ke universiti mempersiapkan diri mereka.

Ia sedikit sebanyak dapat membantu pelajar yang memerlukan dan melalui kerjasama agensi kerajaan, universiti dan industri ini juga akan membantu lebih ramai mahasiswa untuk bersedia dengan sesi pengajaran dan pembelajaran di kampus selain membantu sebahagian kos sara hidup. Akhirnya, fokus utama adalah bagi memastikan mahasiswa dapat melengkapkan pengajian masing-masing tanpa dibelenggu oleh masalah kewangan terutama melibatkan kos sara hidup yang boleh menjejaskan pengajian pelajar. – UTUSAN

DR. Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan & Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×