Kenapa Yong Peng ‘kekal sejahtera’?

Kenapa Yong Peng ‘kekal sejahtera’?

YONG Peng Kang berkembang pesat menjadi sebuah petempatan yang makmur di sepanjang Sungai Simpang Kanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA abad ke-19 sehingga awal abad ke-20, gambir dan lada hitam ialah dua komoditi utama yang dieksport ke pasaran Eropah dari Tanah Melayu. Ekstrak rebusan daun gambir boleh dijadikan bahan pewarna tekstil dan melembutkan kulit. Lada hitam pula merupakan rempah yang terpenting pada ketika itu.

Waktu itu, Johor berada di bawah pemerintahan Temenggung. Mulai 1835, Temenggung Daeng Ibrahim mempelawa peneroka Cina keturunan Teochew di Singapura datang membuka ladang gambir dan lada hitam secara komersial di negeri tersebut.

Pada 9 Oktober 1844, Surat Sungai (kontrak perladangan) pertama dikeluarkan kepada Ah Chun dan Ban Seng untuk meneroka ladang gambir dan lada hitam di Sungai Skudai. Peneroka yang berjaya diberi status Tuan Sungai atau Kangchu. Kang bermaksud tebing sungai atau kawasan sungai yang ditadbir oleh si peneroka. Chu pula bermaksud tuan. Peneroka menamakan tempat pertemuan cabang saliran dengan sungai utama yang diusahakan beliau itu sebagai kang atau dinamakan kangkar dalam bahasa dialek Teochew.

Dalam lain perkataan, Kangchu merupakan wakil rasmi kepada sultan dan mentadbirkan kawasan kangkar tersebut. Beliau bukan sahaja mempunyai kepentingan ekonomi, malah diberi kuasa perundangan untuk menjaga keamanan dan keadilan sosial di dalam kangkar.

Pada 3 Julai 1887, seorang peneroka dari Kampung Ping Xi, Rao Ping, Boo Koh Ah Loo diberi kuasa membuka 100 lot ladang gambir dan lada hitam di antara hulu Sungai Simpang Kiri dan hulu Sungai Bekok (Sungai Simpang Kanan). Kawasan yang dilorekkan itu meliputi kawasan dari pekan Parit Sulong dan Sri Medan sehingga pekan Yong Peng, hari ini.

Namun, mengikut kisah lisan masyarakat Teochew tempatan, peneroka Teochew dipercayai tiba ke tempat ini jauh lebih awal lagi.

Pada 1847, peneroka Teochew, Boo Koh Ah Ooi ialah orang pertama sampai ke Batu 4, Jalan Labis, berdekatan Sungai Bekok dengan menyusuri Sungai Batu Pahat. Tempat itu dinamakan Hoe Seng Kang oleh peneroka Teochew.

Pada 1848, Ah Ooi berpindah keluar dari Hoe Seng Kang dan berhijrah ke Jalan Ah Looh, Yong Peng, berdekatan Bukit Jambu yang dahulunya memang diduduki oleh orang Melayu. Ah Ooi dan pengikutnya cuba membuka ladang gambir dan lada hitam. Malangnya, usaha mereka menemui kebuntuan kerana binatang liar seperti harimau dan buaya mengganas di hutan dan sungai. Hutan rimba juga dipenuhi dengan pelbagai gas beracun. Penyakit berjangkit pula bermaharajalela. Kematian peneroka terus meningkat dan kerja penerokaan terpaksa dihentikan.

RUMAH BESAR

Ah Ooi dan Ah Loo mempunyai pertalian rapat. Tidak lama kemudian, Ah Loo dijemput untuk menyambung kerja penerokaan di tempat sama.

Orang-orang Teochew dari sebelah Kampung Ping Xi yang mempunyai nama keluarga Lau juga dibawa masuk untuk bekerja di ladang gambir dan lada hitam. Para peneroka Teochew membanting tulang tanpa mengira penat setiap hari. Akhirnya, segala impian penerokaan berjaya direalisasikan.

Kangchu Ah Loo mempunyai sebuah tua chu atau rumah besar di tepi Sungai Yong Peng, berdekatan tapak Masjid Jamek Lama Parit Awang sekarang. Di sini, daun gambir dikukus sehingga menjadi ketulan dan disimpan untuk dieksport.

Kemudian, Kangchu Ah Loo mengembangkan kerja penerokaan beliau ke Kangkar Baru melalui Sungai Sedi dan terus dilantik sebagai Kangchu bagi kawasan Kangkar Baru.

Pada masa sama, peneroka Guangdong, Boey Hong Kiat memperoleh sepucuk Surat Sungai daripada Sultan Abu Bakar untuk membuka Makaukang di Batu 4, Jalan Labis. Tempat itu dahulunya dikenali sebagai Hoe Seng Kang. Kali ini, Makaukang memperoleh nafas baharu ekoran kepintaran Kangchu Boey serta kegigihan anak buah beliau.

Kawasan tersebut kemudian berkembang pesat menjadi petempatan yang makmur di sepanjang Sungai Simpang Kanan. Di sini, rumah-rumah kedai beratap didirikan di tepi sungai.

Rumah-rumah kediaman pula dibina di atas bukit kecil berdekatan. Di sini, terdapat kedai runcit, kedai sayur-sayuran dan daging, restoran, kilang papan, persatuan, pejabat kerajaan dan sekolah. Penduduk pelbagai keturunan masuk berpusu-pusu sehingga menjadi ratusan orang. Feri dan sampan berulang-alik di antara Batu Pahat, Yong Peng dan Bekok setiap hari mengangkut hasil pertanian, barangan dan penumpang.

Pada 30 April 1895, masyarakat Teochew di di situ menamakan tempat penerokaan mereka sebagai Yong Peng Kang yang dalam bahasa Cina bermaksud kesejahteraan berkekalan.

Penamaan tempat itu dibuat atas kesyukuran tempat ini bebas daripada ancaman buruk sepanjang lebih 40 tahun pembukaan dan mendoakan agar keselamatan akan sentiasa mendampingi penduduk Yong Peng untuk selama-lamanya.

Namun begitu pada 1917, kerajaan negeri memansuhkan Sistem Kangchu dengan membayar pampasan kepada para Kangchu. Perniagaan dan kepentingan gambir di pasaran dunia semakin merosot pada ketika itu ekoran inovasi teknologi. Tambahan lagi, kebanyakan tempat di Johor sememangnya sudah luas dibuka.

Mulai 1895, penanaman pokok getah mula diperkenalkan di Yong Peng. Penanaman perintis dibuat di Parit Awang oleh peneroka Cina pelbagai keturunan.

Sesungguhnya, penanaman gambir dan lada hitam pada abad ke-19 meletakkan batu asas dalam penambahan bilangan penduduk setempat dan kemajuan bandar Yong Peng.

Kemakmuran hari ini tidak mungkin dapat dikecap tanpa keringat pahit dan pengorbanan nyawa semua peneroka awal. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Pengajian Media di Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×