Nyanyuk tidak mengira usia

Nyanyuk tidak mengira usia

nyanyuk
SESEORANG yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat boleh menghidap demensia atau menjadi nyanyuk tanpa mengira usia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sesiapa pun boleh menghidap demensia atau menjadi nyanyuk tanpa mengira usia sekiranya seseorang tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan dan Geriatrik Jabatan Perubatan Hospital Kuala Lumpur, Dr. Rizah Mazzuin Razali bagaimanapun berkata, golongan berisiko tinggi menghidap penyakit itu adalah warga emas yang tidak menjaga pemakanan sehingga mengundang penyakit kronik selain faktor genetik.

“Ini menyebabkan mereka mendapat penyakit kronik se­perti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya. Kesemua penyakit kronik ini meninggikan risiko penyakit vaskular yang boleh menyebabkan demensia.

“Oleh itu, pastikan di usia muda kita hidup dengan akti­viti sihat, menjaga pemakanan seimbang dan tidak merokok,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya sama ada terdapat hubung kait antara amalan selalu membaca dapat mengelakkan penyakit berkenaan, kata Rizah Mazzuin, ia bergantung kepada jenis buku yang dibaca.

“Membaca memang baik, tetapi bergantung pada apa yang dibaca dibincang. Dahulu ada kajian yang orang mempu­nyai IQ tinggi, berpendidikan le­bih rendah risiko mendapat alzheimers berbanding yang tidak berpendidikan tinggi, mungkin ada benarnya,” katanya.

Akhbar ini melaporkan, negara memerlukan Pelan Tindakan Demensia Kebangsaan (NDAP) bagi mengurus dan melindungi hak golongan yang disahkan menghidap penyakit nyanyuk ekoran peningkatan ketara pesakit tersebut di negara ini.

Untuk rekod, Yayasan Pesakit Alzheimer Malaysia (AFDM) menganggarkan lebih 200,000 rakyat negara ini berisiko menghidap demensia dalam tempoh lima tahun lagi dan menjangkakan peningkatan sebanyak 312 peratus pada 2050.

Mengulas lanjut, kata Rizah, ekoran ketiadaan Pelan Tindakan Demensia Kebangsaan (NDAP) ketika ini bagi mengurus dan melindungi hak golongan penghidap demensia, negara juga masih tidak melaksanakan prosedur ‘mewariskan’ tanggungjawab menjaga pesakit demensia selepas anak-anak yang berdepan kekangan menjaga ibu bapa mereka.

“Kalau di Australia, anak-anak yang tidak mampu mengurus ibu bapa, pakar-pakar perubatan boleh mengikut undang-undang negara tersebut dengan menghantar mereka ke rumah orang-orang tua.

“Mungkin juga kerajaan bo­leh memberikan bantuan domestik mengikut keperluan bagi memastikan golongan ini terus selamat di rumah jika anak-anak tidak berada di rumah kerana tuntutan kerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×