PUTRAJAYA: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengesan 254 cerun kritikal di seluruh negara berisiko menyebabkan kejadian tanah runtuh dan bencana alam yang boleh mengancam nyawa penduduk terutama menjelang musim tengkujuh.
Sebelum ini, JMG hanya merekodkan 119 cerun kritikal namun baru-baru ini agensi tersebut melaporkan pertambahan 135 lagi kawasan berisiko menjadikan ia meningkat kepada 254 cerun kritikal.
Perak dan Sarawak masing-masing paling banyak dikesan mempunyai cerun kritikal iaitu 19 kawasan diikuti Selangor (16) manakala Pahang, Kelantan dan Sabah masing-masing 11.
Terengganu 10, Negeri Sembilan (9), Johor (5), Kedah (3), Melaka dan Perlis (masing-masing 2) serta Pulau Pinang satu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaapar berkata, peningkatan jumlah cerun kritikal kerana taburan hujan banyak sejak awal tahun ini.
MENDIAMI
Menurut beliau, pengesanan lebih banyak cerun kritikal itu merisikokan penduduk yang mendiami kawasan berhampiran kerana cerun-cerun itu berisiko runtuh lebih-lebih lagi menjelang musim bah.
“Apabila kerap berlaku hujan lebat, risiko semakin bertambah dan potensi berlaku tanah runtuh semakin tinggi. Jika ada cerun kritikal yang berhampiran dengan kawasan perumahan, maka pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera.
“Walaupun JMG tidak ada kuasa untuk memperbaiki cerun-cerun kritikal, ini menjadi tanggungjawab agensi itu untuk berkongsi data dan bekerjasama dengan majlis-majlis daerah dan perbandaran serta kerajaan negeri bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini,” kata beliau.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof. Dr. Ahmad Ismail pula meminta kerajaan mengenal pasti sama ada cerun kritikal tersebut mempunyai kesan langsung terhadap risiko berlaku bencana banjir.
“Padankan dengan kawasan sensitif banjir yang dilaporkan baru-baru ini. Apakah kesan curahan hujan berlebihan kepada runtuhan tanah, banjir lumpur, puing dan kesan kepada penduduk tempatan dan kawasan sensitif hidupan liar.
“Kajian sepatutnya dilakukan di semua kawasan yang dijangka sensitif dari segi geologi, struktur permukaan tanah, tumbuhan permukaan dan sebagainya. Kawasan dikenal pasti kritikal oleh JMG dan kawasan sensitif banjir yang dikenal pasti kerajaan perlu segera disemak akan kemungkinan berlaku bencana,” katanya.
MEMBINA
Pakar geologi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berpendapat, JMG perlu memberi tumpuan membina cerun buatan atau disebut sebagai cerun kejuruteraan di kawasan cerun kritikal kerana binaan itu lebih stabil kerana ia potongan atau tambakan yang direka bentuk oleh jurutera profesional.
Menurut beliau, cerun tiruan perlu dibina pihak kontraktor yang bertauliah dengan kebanyakannya berada di jalan berbukit atau kawasan pembangunan tanah tinggi.
“Jika terdapat yang berkeadaan kritikal, itu bererti cerun sedemikian ada isu teknikal melibatkan reka bentuk dan pembinaan selain berkaitan aspek penyelenggaraan berkala,” katanya.
Kata beliau, sebahagian bencana alam besar yang berlaku selepas hujan lebat seperti di Gunung Jerai dan Gunung Inas di Kedah berpunca akibat kegagalan cerun semula jadi atau tabii.
Oleh itu, kata Ibrahim, JMG disarankan turut memberikan fokus yang sama kepada cerun semula jadi tersebut sebelum insiden tidak diingini berlaku ketika musim Monsun Timur Laut.
PENGALAMAN
Bagaimanapun, beliau optimis dengan tahap kesiapsiagaan JMG tetapi pada masa yang sama, agensi itu perlu belajar daripada pengalaman kes keruntuhan cerun sebelum ini sebagai garis panduan.
Ibrahim memberi contoh banjir lumpur yang dahsyat sehingga meliputi sebahagian lebuh raya Karak di Bentong, Pahang akibat limpahan air hujan tanpa henti di kawasan cerun laluan itu.
Menurut beliau, bencana alam berskala besar di seluruh negara berisiko berlaku di kawasan cerun semula jadi atau juga dirujuk sebagai cerun tabii.
Katanya, hal ini lagi membimbangkan apabila cerun-cerun ini menghubungkan dengan penempatan manusia.
“Penduduk berada di kawasan tersebut adalah lebih teruk menerima kesan jika cerun-cerun berkenaan boleh mencetuskan masalah pada bila-bila masa.
“Pandangan saya, JMS perlu memberikan tumpuan besar penilaian kestabilan cerun tabii berbanding cerun buatan,” katanya.- MINGGUAN










