ISKANDAR PUTERI: Rakyat tidak boleh mengambil risiko melakukan sekali lagi bereksperimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan memilih parti yang salah kerana tindakan itu merugikan diri, negeri dan negara.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, PRU15 amat penting bagi rakyat termasuk di Johor untuk memilih parti yang mampu membawa kestabilan dan kemakmuran.
“PRU ini cukup penting. Rakyat Johor saya betul-betul doa jangan buat eksperimen lagi. Kita dah pernah cuba dan akhirnya HSR (Tren Berkelajuan Tinggi) dibatalkan, lebuh raya yang nak lulus dibatalkan. Yang rugi siapa? Bangsa Johor sendiri.
“Apabila saya berjumpa dengan pelabur, mereka (kata) nak kestabilan politik, kerajaan yang stabil dan konsisten. Tidak boleh hari ini satu dasar dan ada perjanjian tiba-tiba boleh tukar dasar, pelabur pun lari. Jadi, kalau lihat masa Pakatan Harapan (PH) ambil alih (9 Mei 2018 hingga Februari 2020), ramai takut
nak melabur.
“Mereka (PH) batalkan perjanjian. Itu tidak betul. Pada penghujung hari, ia tidak Onn Hafiz buat perjanjian tetapi adalah perjanjian kerajaan negeri dengan sesiapa yang dia buat perjanjian tersebut, mana boleh main tukar cakap itu kerajaan dulu, ini kerajaan baharu, dasar baharu, tidak boleh macam itu. Jadi, amat penting untuk ada konsistensi,” katanya dalam pertemuan di pejabat menteri besar di Kota Iskandar di sini baru-baru ini.
Kukuh
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, daripada kerja berpasukan dan asas kukuh ditinggalkan menteri besar terdahulu, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, Johor hari ini pantas bangkit daripada kesan pandemik Covid-19 dua tahun yang suram, dengan merekodkan nilai pelaburan RM60.9 bilion, yang tertinggi dalam negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Data diumumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merekodkan Johor tertinggi dalam FDI (pelaburan langsung asing). Kita dapat cecah RM60.9 bilion untuk separuh pertama tahun ini dan itu hampir separuh FDI negara, RM123.3 bilion. Kedua ialah Selangor dengan RM15 bilion, nampak perbezaannya.
“Ya, saya lebih utamakan hasil, semuanya tentang hasil dan nombor tidak menipu. Saya faham dalam posisi saya ada ramai yang suka dan ramai juga tak suka dan ramai kritik, tapi akhirnya kita tengok keputusan,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang pandai berjanji dan menabur fitnah, khususnya untuk memenangi sokongan pengundi.
“Cara pembangkang saya tengok lebih kepada politik kebencian. Strategi mereka masih lagi sama, modus operandi digunakan untuk melahirkan perasaan benci kepada kerajaan sedia ada bagi dapatkan undi.
Provokasi
“Tapi saya yakin pada masa sama rakyat makin matang, tak tengok provokasi semata-mata, sebab akhirnya dah cuba eksperimen, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) masih kena bayar, tol masih kena bayar.
“Bila menang dengan taktik begitu, tak bertahan kerana rakyat akan tuntut janji sebab janji kena dikotakan, mana boleh janji selepas itu tak tunaikan,” katanya.
Pada PRU15 nanti, kata Onn Hafiz, peranan beliau jelas untuk membantu Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri memenangi sebanyak mungkin kerusi daripada 26 kawasan Parlimen di negeri ini.
Berdasarkan sambutan rakyat, beliau dapat melihat perbezaan penerimaan terhadap BN berbanding pada PRU14.
“Daripada 26 kerusi Parlimen, saya tak boleh nak cakap dahulu, tapi kita nak lakukan lebih baik berbanding masa 2018. Saya fikir kita ada majoriti yang baik berdasarkan keputusan pilihan raya negeri (PRN) 12 Mac lalu, Johor menang 40 daripada 56 DUN dan 40 DUN itu meliputi 20 kawasan Parlimen…secara kasarnya.
“Tetapi itu (juga) bukan penanda aras sebab PRN dan PRU senario berbeza, saya faham itu tetapi kita nak capai maksimum untuk bantu bentuk kerajaan di Pusat,” katanya. – MINGGUAN








