KALI terakhir saya dengar istilah ini adalah ketika membuat liputan kerja-kerja pemindahan Wisma Putra di Kuala Lumpur ke Putrajaya, beberapa hari setelah tamat Sukan SEA ke-21 di ibu kota. Waktu itu, rakyat ‘kecoh’ bukan kerana Malaysia muncul juara temasya serantau tersebut dengan 111 pingat emas tetapi dek insiden 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS).
Menteri Luar masa itu, Tan Sri Syed Hamid Albar menjadi tumpuan media tempatan untuk reaksi bagi mewakili kerajaan, namun beliau ada bercakap mengenai pelbagai tajuk berbeza.
Antaranya pelan rasionalisasi Kementerian Luar yang disentuh secara ringkas termasuklah program duta kelana atau dalam bahasa sains politik global juga disebut rover ambassador.
Memandangkan saya secara kebetulan sekadar wartawan kadet ketika itu, istilah baharu tersebut menyebabkan saya terpinga-pinga, langsung tidak faham. Zaman berkenaan pula, maklumat agak sukar dirujuk menerusi enjin carian internet bahkan teknologi komunikasi maklumat selain wadah media sosial belum popular seperti sekarang.
Dua dekad kemudian, saya sekali lagi dengar istilah itu dan diungkap oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam sidang akhbar, awal bulan ini sempena setahun beliau dilantik menjadi Menteri Luar. Mujur kali ini saya lebih bersedia dan dianggap wartawan ‘otai’ dalam kalangan rakan media di Putrajaya. Namun, perkara itu kurang diberi perhatian kerana terlalu rumit diulas panjang.
Bayangkanlah, ramai mungkin salah faham menyangka duta kelana atau duta kembara seperti seorang diplomat yang merajuk bawa diri pergi ke tempat lain untuk merawat hati luka.
Walhal, duta jenis ini sudah pun diwujudkan kerajaan kita sejak sekian lama tetapi digelarkan sebagai duta tugas khas atau utusan Perdana Menteri ke negara tertentu.
“Banyak negara termasuk kuasa besar dunia telah amal pelantikan duta kelana dan ia bukan kes asing atau baharu wujud dalam bidang diplomatik global,” kata Profesor Dr. Azmi Hassan.
Teruja bersembang panjang dengan pakar strategi geopolitik terkenal tanah air ini, saya dimaklumkan bahawa AS sendiri merujuk jawatan itu sebagai Utusan Khas Presiden untuk isu tertentu. Kelazimannya bekas diplomat berpengalaman atau tokoh politik disegani dipilih kerana ada kredibiliti waima bukan semua orang sesuai berunding apatah lagi dalam topik sensitif.
CHENG HO
Beliau turut bersetuju analogi diberikan saya mengenai Laksamana Cheng Ho pada era Dinasti Ming abad ke-15 lalu yang belayar ke seluruh dunia bagi membawa misi diplomatik maharaja. Ironi ujarnya, ada juga negara termasuk yang bertaraf maju melantik duta kelana kerana faktor kekangan sumber manusia seperti Finland dan Singapura, bahkan lebih menjimatkan kos.
“Mereka memang pakar ditugaskan memantau negara dalam rantau tertentu dan hanya akan pergi ke sana jika perlu, tinggal sekejap dan balik semula setelah misi selesai,” jelas Azmi.
Wisma Putra tambah beliau, wajar melantik ramai duta kelana bagi mengoptimumkan visi diplomasi kerana ketika ini hanya ada 107 pejabat perwakilan meliputi 85 negara. Ini bermakna ada baki 110 negara yang tiada canseri diplomatik Malaysia dengan hubungan rasmi antara kerajaan kita terpaksa diakreditasi kepada pejabat perwakilan di negara tertentu.
Situasi ini bukan janggal waima AS sendiri yang hebat pun cuma ada kedutaan di 166 negara, kurang tiga sahaja berbanding China, negara paling banyak pejabat diplomatik di dunia.
Hakikatnya, peranan duta kelana lebih anjal kerana kerajaan tidak perlu ‘pening’ bina canseri (pejabat kedutaan) baharu, hantar ramai diplomat, bayar gaji dan bil utiliti serta segala kos di negara berkenaan.
“Duta jenis ini sebaliknya hanya bekerja dari Wisma Putra dan dihantar ke negara itu apabila ada tugasan bagi tempoh tertentu tanpa sibuk fikir kena bawa ahli keluarga sekali,” kata Azmi.
Dari segi jangka panjang, kaedah sebegini amat praktikal di samping opsyen lain iaitu lantik konsul kehormat yang terdiri daripada warga tempatan dengan premis kecil dan sedikit staf.
Di Malaysia, amalan ini dapat dilihat di Kuala Lumpur yang ada banyak konsul berkenaan iaitu 21 individu, diikuti Pulau Pinang (19), Sabah (12), Selangor (8) dan Sarawak (6).
Jawatan itu pula berbeza daripada konsul jeneral yang penyandangnya dihantar terus untuk bertugas di bandar tertentu dan dianggap seperti fungsi bertaraf duta ‘mini’ di luar ibu negara. Bagaimanapun apa yang penting, diplomasi gaya Malaysia tidak sekadar terletak pada imej gah bangunan kedutaan tetapi hubungan baik dengan negara luar melalui kerja gigih duta.
Bagi Azmi, ada negara yang memang perlu duta residen iaitu menetap di negara tersebut kerana nilai strategiknya, namun ada pula lebih sesuai duta kelana atas faktor jaringan global. – UTUSAN










