Akta Anti Lompat Parti digazet minggu depan

Akta Anti Lompat Parti digazet minggu depan

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Undang-Undang Anti Lompat Parti dijangka digazetkan minggu depan supaya dapat dikuatkuasa bagi melarang wakil rakyat bertukar parti.

Ini bermakna jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini, ia dapat menjamin mandat rakyat dihormati dan mengelakkan situasi yang berlaku selepas PRU14 lalu berulang.

Penguatkuasaan undang-undang itu yang dirangka sejak akhir tahun lalu menyaksikan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti ke parti politik lain terlucut keanggotaannya sebagai ahli Dewan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, undang-undang itu kini di peringkat akhir bagi penyelarasan semua negeri menggunakan pindaan sama yang diluluskan di peringkat Pusat.

Katanya, ia bagi mengelakkan mana-mana negeri terutama yang mempunyai pindaan sendiri tidak menepati secara bersama sekali gus mengelakkan perbezaan undang-undang antara negeri dan Pusat.

Bagaimanapun, katanya, hal pewartaan terutama tarikh sebenar tetap tertakluk kepada persetujuan bersama selaras dengan Perlembagaan itu sendiri dan tidak boleh diputuskan seseorang individu.

“Insya-Allah saya akan membuat pengumuman berhubung kedudukan sebenar undang-undang tersebut pada minggu depan dengan harapan kita boleh menggazetkannya minggu depan. Saya guna Insya-Allah kadangkala ada halangan di luar kawalan dan ia (tetap perlu) keputusan bersama.

“Undang-undang ini sudah lulus dan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, tidak ada halangan lagi. Tetapi kita mahu semua negeri menggunakan modul yang diperkenan dalam Jadual 8 bawah pindaan Perlembagaan supaya tidak ada perbezaan dengan undang-undang negeri lain.

“Kita tak mahu nanti ahli Parlimen dilarang bertukar parti, tetapi ADUN boleh. Jadi perlu diselaraskan sama ada negeri-negeri yang sudah ada pindaan atau belum, perlu pinda Perlembagaan mereka supaya mereka bersama dalam situasi (dengan Pusat),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Setakat ini, empat negeri iaitu Sabah, Kelantan, Sarawak dan Pulau Pinang telah meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing bagi menghukum pelompat parti pada 1986, 1991, 1994 dan 2012, tetapi dikhuatiri tidak selaras dengan pindaan di peringkat Pusat.

Pada 28 Julai lalu, undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan.

Akta berkenaan juga lulus di Dewan Negara pada 9 Ogos lalu selepas memperoleh masing-masing sokongan 52 daripada 60 senator selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Negara.

Susulan itu, Wan Junaidi menjangkakan ia dapat dikuatkuasakan tidak lewat daripada pertengahan September ini, bersesuaian dengan garis masa yang diperlukan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kumpulan pemantau pilihan raya, Bersih dalam satu kenyataan kelmarin mempersoal kelewatan penguatkuasaan akta tersebut dengan menyifatkan ia penting untuk dilaksanakan segera ekoran desas desus PRU15 semakin hampir, bagi memastikan pilihan pengundi tidak terbatal oleh pembelotan selepas pilihan raya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi menyelar tindakan Bersih yang mempertikai kelewatan penguatkuasaan undang-undang berkenaan.  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini