TIDAK keterlaluan jika ramai yang berpendapat, Gegar Vaganza (GV) musim kesembilan membuka gelanggang paling sengit sepanjang program itu bersiaran. Melihat barisan peserta juga sudah boleh bikin meremang bulu roma.
Konsert pembukaan minggu lalu sebagai contoh menyaksikan pertarungan sengit 13 peserta yang bertanding. Tumpuan pastilah kepada beberapa nama antaranya Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Shila Amzah dan Tomok.
Tetapi Ahad ini, ‘pertarungan’ sebenar bermula. Mereka bakal keluar daripada zon selesa dan mula membuktikan kemampuan serta kebijaksanaan yang telah diraih sepanjang berada dalam industri seni.
Semestinya mereka bukan artis baharu. Setiap daripada mereka mempunyai sejarah kegemilangan sendiri. Bakat nyanyian? Itu bukan persoalan, sebaliknya bagaimana mereka bakal mencipta magis sendiri di atas pentas?
Ketua Juri, Datuk Ramli MS ketika diminta mengulas keseluruhan persembahan minggu pertama, tanpa ragu menyatakan, ini adalah musim yang ditunggu-tunggu.
Baginya, GV9 adalah pentas menguji kebijaksanaan dan kematangan setiap peserta.
“Musim kali ini bukan tentang siapa all out membuat persembahan atau nyanyian paling merdu. Mereka semua boleh menyanyi. Tetapi, kebijaksanaan mereka dalam muzik itu yang bakal menjadi persaingan utama.
“Lihat persembahan Jaclyn. Itu adalah versi yang tidak pernah dipersembahakan sebelum ini. Ini adalah pentas yang tepat untuk mereka,” katanya.
Ditanya apakah jangkaannya untuk minggu kedua, Ramli yang lebih mesra disapa Tok Ram berkata, gelanggang sebenar kini bermula. Ketika ini, setiap peserta perlu bersaing bukan sahaja sesama mereka, tetapi dengan diri sendiri.
“Minggu kedua semua akan keluar taring masing-masing. Kita akan lihat bagaimana mereka menyusun lagu dan persembahan yang lebih dinamik. Itu yang saya harapkan daripada setiap mereka.
“Kalau setiap minggu mereka membuktikan kemampuan dengan persembahan begini, industri seni kita akan memacu ke peringkat yang lebih tinggi. Kita ada bakat luar biasa, inilah masa untuk kita raikan,” jelasnya.
JACLYN VICTOR GUSAR HARAPAN PEMINAT
Bakal menyanyikan lagu Gerimis Mengundang nyanyian asal Slam, Jaclyn mengakui kejayaan meraih tempat pertama pada konsert pembukaan bukan pembuka jalan untuk dia terus selesa.
Pada masa sama, dia tidak mahu terlalu tertekan untuk bertanding, sebaliknya menganggap pentas GV sebagai platform untuk dia mewarnai diari seni dan menambah ilmu muzik.
“Gementar memang ada, tipulah kalau kita cakap tidak ada. Cuma, bila saya setuju untuk sertai GV, saya tanya juga dengan rakan-rakan yang pernah bertanding dalam musim sebelum ini.
“Saya tertekan dan takut juga. Cuma, pesan mereka, jangan terlalu memikirkan GV sebagai sebuah pertandingan. Jangan terlalu mencuba untuk menang. Anggap ini persembahan istimewa,” katanya.
Jaclyn berkata, dia cuba untuk memberikan yang terbaik sepanjang berada di GV9, meskipun gusar dengan harapan dan jangkaan tinggi peminat.
“Saya tidak mahu tertekan atau takut, sebaliknya menjadikan perkara itu sebagai pembakar semangat,” katanya.
DINA NADZIR RAIH PELUANG KEDUA
Mungkin ada yang menganggap GV adalah pentas membalas dendam untuk penyanyi, Dina Nadzir ini. Sementelah ‘seteru’ ketika berjuang meraih gelaran Malaysia Idol musim pertama iaitu Jaclyn, turut sama bertanding pada musim kali ini.
“Saya tidak pernah anggap apa yang berlaku sebagai kegagalan. Sebaliknya, pentas itu juga telah membuka jalan sehingga saya masih bertahan dalam industri seni, biarpun tidak aktif sebagai penyanyi.
“Mestilah kematangan kami berbeza. Jaclyn tidak pernah berhenti menyanyi, manakala saya pula, Tuhan beri rezeki sebagai penyampai radio. Ini adalah ruang terbaik untuk saya raih peluang kedua,” katanya.
Bakal menyanyikan lagu Allaharyam Siti Sarah, Ku Teruskan yang juga sahabat baiknya meluahkan kerisauan jika tidak mampu menyembunyikan kesedihan dan kerinduan terhadap rakannya itu.
“Perjuangan muzik kami juga sama. Malah, perjalanan seni kami juga hampir sama kerana dia pernah melalui cabaran di pentas GV. Sama juga dengan Allahyarham Adibah Noor.
“Tetapi, apabila tiba giliran saya di GV, mereka sudah tiada. Apabila saya naik atas pentas pada minggu pertama, wajah mereka bermain di fikiran,” katanya sebak.










