ISU bantahan konsert yang sedang hangat dibahas dalam media massa kebelakangan ini menunjukkan keprihatinan masyarakat tentang perkembangan dunia hiburan di negara ini.
Sebagai rakyat, kita wajar berpegang teguh kepada prinsip asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1) khususnya menyatakan Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Masyarakat perlu memahami dan mendalami erti sebenar yang terkandung dalam Perkara 3(1) yang telah meletakkan kedudukan Islam lebih tinggi daripada agama-agama lain malah berupaya menyekat apa-apa ideologi bertentangan adat, budaya, dan tradisi masyarakat sesebuah negara bertamadun.
Sebagai contoh, dalam kes Sulaiman Takrib lwn. Majlis Agama Islam Terengganu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa legislatif untuk membuat apa-apa hukuman bagi kesalahan yang melanggar perintah agama Islam bahkan maksud precepts of Islam (perintah agama Islam) bukan sekadar rukun Islam. Hatta, ajaran Islam adalah melangkaui lima rukun Islam itu dan ini turut meliputi tatacara berhibur.
Berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan teks perundangan tersebut, terbuktilah Malaysia bukan sebuah negara sekular yang memisahkan penghayatan dan pengamalan agama daripada kehidupan seharian setiap warganya.
Malah, Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menghalang penganut agama lain untuk turut sama mengamalkan kepercayaan masing-masing dengan syarat ia dilaksanakan secara aman dan damai.
Sudah terang lagi bersuluh, kita meraikan kepelbagaian etnik, bangsa dan kaum. Namun, ini tidak bermakna kita perlu bertolak ansur dalam isu yang mampu memprejudiskan agama Islam itu sendiri.
Masyarakat perlu faham dan peka bahawa agama bukanlah suatu perkara yang boleh diperkotak-katikkan dan ia perlu dipertahankan sebagai tiang asas dalam kehidupan seseorang insan.
Sebab timbulnya usul-usul bantahan daripada sesetengah pihak berkenaan penganjuran konsert adalah kerana wujud kebimbangan ramai tentang kesucian akidah umat Islam yang seakan goyah dan tergugat dengan budaya hedonisme melampau ini.
Tambahan, penganjuran konsert dengan jemputan artis-artis luar negara dikhuatiri menyuntik ideologi serta kefahaman masing-masing yang jelas bertentangan dengan akidah. Islam tidak pernah menolak hiburan, namun ia mestilah berlandaskan syariat.
Tidak dinafikan, masyarakat berbilang kaum juga ada yang tidak menyenangi serta tidak bersetuju dengan penganjuran konsert-konsert yang dibimbangi akan merosakkan pegangan anak-anak muda pada zaman ini.
SENYAP
Selanjutnya, kita tidak pernah senyap atau duduk memeluk tubuh dalam mendepani segala macam permasalahan lain, malah yang dikatakan kononnya lebih serius seperti jenayah rasuah, pecah amanah, pengambilan dadah dan pelbagai lagi.
Perbincangan khusus mengenai isu penganjuran konsert yang dilihat bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini bukan bermakna kita mengabaikan isu-isu lain yang menyelubungi negara saat ini sebaliknya ia bergerak seiringan.
Abu Said al-Khudri r.a pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman.”
Justeru, sebagai umat Islam, amat malang sekiranya kita berterusan berdiam diri membenarkan penganjuran konsert selain daripada tujuannya untuk meninggikan Allah SWT dan Rasulullah SAW, apatah lagi menyokong supaya ia diadakan secara besar-besaran.
Penganjuran konsert seperti ini bukan sahaja melibatkan pergaulan bebas antara jantina berlainan malah berkemungkinan besar membabitkan juga elemen-elemen penyalahgunaan dadah dan arak yang hanya akan merosakkan akal fikiran dan jasad para pengunjungnya.
Tragedi yang menimpa peminat penyanyi, Travis Scott dalam sebuah konsert yang diadakan pada 2021 perlu dijadikan pengajaran. Selain itu, apa yang lebih menggerunkan adalah doktrin asing yang dibawa oleh artis-artis antarabangsa yang kebanyakannya tunduk dan akur dengan fahaman songsang seperti lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ), pluralisme serta liberalisme.
Masyarakat wajar bersyukur dengan kebebasan bersuara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 10 dan menggunakan peluang tersebut bagi menyuarakan pendapat berdasarkan perkara yang hak dan bukannya menggunakan emosi semata-mata bagi meraih perhatian media.
Perjuangan bekas imam Masjidil Haram, Sheikh Salih Al Talib yang tegas bersuara memberi kritikan terhadap agensi kerajaan berkaitan penganjuran konsert dan acara hiburan yang menyimpang daripada agama, norma dan budaya setempat wajib disemat rapi sebagai contoh buat semua.
Justeru, ingin ditekankan sekali lagi bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular dan tetap bergerak atas dasar agama buat selama-lamanya. Hiburan secara melampau itu sememangnya bertentangan dengan agama, jadi amatlah benak dan bebal sekiranya kita menjadikan agama itu pula sebagai permainan dan hiburan.
Setiap masyarakat mempunyai tanggungjawab individu untuk mempertahankan agama, maka mereka perlu lebih bijak memilih dalam membezakan mana yang baik dan buruk.
Setiap perkara yang memberi faedah wajar didukung erat manakala yang mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding maslahah perlu ditangani dengan penuh strategi. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Exco Undang-Undang & Hak Asasi, Pertubuhan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (Wafiq).










