FRU terokai kemahiran baharu kuasai ilmu lautan - Utusan Malaysia

FRU terokai kemahiran baharu kuasai ilmu lautan

JURULATIH memerhati dan memeriksa setiap peserta kursus bagi memastikan ilmu disampaikan serta dipraktikkan secara berkesan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIT Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) atau dikenali sebagai Federal Reserve Unit (FRU) cukup dikenali dengan penampilan garang dan bersenjatakan cota serta perisai.

Kehadiran anggota FRU ketika demonstrasi sudah semestinya membuatkan sesiapa sahaja berasa gerun, terutama bagi mereka yang cuba mencetuskan kekacauan.

Unit yang menjadi salah satu pasukan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ditubuhkan pada 1955 ini berfungsi bagi menangani insiden rusuhan atau kekacauan.

Dengan perubahan masa dan corak ancaman, FRU bukan sekadar ditugaskan untuk menangani rusuhan semata-mata, sebaliknya kemampuan mereka dituntut dalam segenap aspek penugasan menjaga keselamatan negara.

Justeru, FRU turut melatih para pegawai dan anggotanya dalam aspek latihan lain yang bukan hanya melibatkan di kawasan daratan, sebaliknya di kawasan perairan menerusi Kursus Asas Selam PSP Siri 1/2022 baru-baru ini.

Komander FRU, Senior Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, peserta menjalani pemeriksaan kesihatan awal di Institut Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik oleh Doktor Pakar Selam, Hospital Angkatan Tentera (HAT), Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut, Perak.

“Pengesahan daripada doktor pakar selam diwajibkan kepada semua calon untuk memastikan sama ada mereka layak atau tidak untuk menjadi seorang penyelam.

“Semua pelatih kemudian dipakaikan lencana penyelam Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan mereka sebagai anggota penyelam terlatih,” ujarnya.

PENGETAHUAN ASAS

Kursus asas selam menawarkan pengetahuan asas kepada anggota FRU yang berminat melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan kerja-kerja penyelamatan mangsa di air.

Mohd. Said berkata, banyak risiko dan kemalangan berlaku melibatkan mangsa lemas di sungai, tasik dan tempat-tempat perkelahan seperti air terjun dan pantai.

Justeru, kursus asas selam penting sebagai pendedahan kepada anggota FRU apabila khidmat mereka diperlukan bagi menjalankan tugas menyelamat, termasuk membantu agensi-agensi berkaitan.

“Ia juga bagi memastikan segala latihan dan tindakan yang dijalankan sebelum, semasa dan selepas aktiviti menyelamat di air di laksanakan secara betul dan selamat mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Kursus selama sebulan itu mendapat kerjasama pihak Pusat Latihan Pasukan Polis Marin (Pulamar).

Antara objektif penganjuran kursus ini untuk menjadikan FRU sebagai sebuah pasukan yang mahir dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Ia penting untuk FRU berganding dengan agensi-agensi penyelamat lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam memastikan keselamatan di negara ini terjamin,” jelas Mohd. Said.

Kursus ini melibatkan seramai 22 orang peserta dan 15 daripadanya adalah pegawai kanan dan pegawai rendah FRU, lima dari Pasukan Polis Marin (PPM) dan dua daripada Cawangan Pengiring Istana Johor.

Tambah Mohd. Said, dengan latihan intensif daripada jurulatih Pulamar, kursus ini bakal melahirkan pegawai dan anggota yang mempunyai pengetahuan secara asas dalam bidang menyelamat di air.

“FRU kini tidak lagi dikenali semata-mata dengan baton dan perisai di tangan, sebaliknya boleh berfungsi untuk tugas-tugas menyelamat di air semasa diperlukan.

“Ini termasuk dalam tugas-tugas menyelamat, misalnya di hutan, paya, gunung dan bangunan-bangunan besar,” katanya.

Hakikatnya, transformasi FRU dalam bidang penugasan bukanlah sesuatu yang baharu.

Unit ini banyak berjasa dan masih kurang didedahkan kepada umum berbanding unit lain dalam PDRM seperti Unit Tindakan Khas (UTK) dan 69 Komando.

Sebagai rekod, FRU turut ditugaskan mengawal ketenteraman awam ketika insiden tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, di samping pengawalan sempadan menerusi unit berkuda.

Malah, anggota unit ini juga turut menabur bakti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tugas-tugas sekatan jalan raya.

Justeru, jasa dan pengorbanan anggota FRU begitu besar dan sangat bermakna sebagai mana anggota keselamatan lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×