MUKADIMAH
GAYA dan tutur katanya santai dan terselit pelbagai makna mendalam ketika membicarakan tentang industri perfileman tanah air.
Biarpun santai, setiap lontaran pelbagai idea dan pandangan beliau tidak boleh pandang sepi lebih-lebih lagi dengan pencapaiannya di peringkat antarabangsa.
Terbaharu, beliau terpilih menjadi ketua juri dalam Festival Filem Antarabangsa Moscow, Rusia baru-baru ini.
Paling membanggakan, beliau memecah tradisi apabila menyampaikan ucapan dan mengumumkan pemenang dalam bahasa Melayu sekaligus dilihat memartabatkan bahasa ibunda.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual Pengarah Filem, U-WEI SAARI bagi mendapatkan perspektif beliau.
FESTIVAL FILEM MOSCOW
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana anda melihat pemilihan sebagai ketua juri dalam festival filem di Moscow dan apakah signifikan kepada industri filem negara?
U-WEI: Sebenarnya signifikan kalau hendak ambil kira pada sudut yang besar tiada. Hanya pada saya seorang (sebagai juri). Tapi daripada segi pandangan dan penilaian mewakili warga filem (dari Malaysia), ia boleh diambil kira.
Sebab apa? Sebab kita perlu ingat negara yang tiada filem macam tidak wujud (negara). Itulah pentingnya filem. Ia sangat signifikan. Itu petanda pandangan dan kehadiran kita diambil kira untuk menilai satu-satu filem.
Tapi saya melihat filem Malaysia adalah filem Malaysia. Dalam ruang lingkup sendiri. Kalau mahu letak perfileman Malaysia dalam peringkat dunia tidak boleh. Sebab kita masih lagi macam bangga dengan lakunya (jumlah kutipan) filem. Penilaian kualiti terhadap sesebuah filem kita masih sempit. Tapi ia tidak bermakna jumlah kutipan itu tidak penting, ia bukan sekadar itu sahaja.
Apakah kriteria untuk seseorang itu menjadi ketua juri di festival filem luar negara?
Semuanya pada penganjur. Saya ada tekaan kenapa dipilih. Tapi saya tidak mahu menjawab kerana tidak mahu ia menjadi desas-desus nanti.
BAHASA MELAYU
Saudara berbahasa Melayu dalam majlis di Moscow. Apa yang membuatkan saudara berbuat sedemikian?
Saya memang sentiasa berbahasa Melayu walau di atas pentas. Sebenarnya, saya seorang yang bersahaja.
Saya datang sebagai wakil Malaysia dan perlu tunjukkan saya sebagai orang Malaysia. Saya tidak bertanjak tetapi saya ada modal lain untuk sembahkan pada mereka sebagai wakil negara ini.
Kita perlu ingat bahasa ini untuk komunikasi. Tidak salah mahu berbahasa Inggeris tapi saya mahu pentingkan bahasa Melayu dan saya pun tidak akan cakap bahasa Melayu kalau tiada penterjemah.
Ia ibarat buku juga. Buku kalau tidak dibaca belum buku lagi. Hanya bahan cetakan. Kalau bahasa orang tidak faham hanyalah satu bentuk bunyi semata-mata.
Mempunyai pengetahuan dalam banyak bahasa bagus. Tapi bagi saya bahasa pertama adalah bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Perjuangan dalam menjaga bahasa Melayu perlu dipertahankan juga sebab ada sejarah tersendiri. Masalahnya ia diabaikan bangsa sendiri sudah banyak tahun.
ERA KEBANGKITAN
FILEM TEMPATAN
Sebagai orang lama di dalam industri perfileman, adakah dengan kutipan box office selepas pandemik ini boleh dikira sebagai era kebangkitan filem tempatan?
Kita lihat satu aspek sahaja iaitu kutipan. Sebagai contoh filem Mat Kilau. Saya masih tidak menonton filem tersebut. Tapi saya bangga.
Yang pertama, saya bangga kerana menunjukkan kuasa beli orang Melayu dan kedua, saya lihat orang Melayu sekarang sudah tidak segan untuk memakai tanjak di KLCC.
Kita harus belajar untuk membuat filem dan apa yang boleh kita gunakan daripada medium filem ini. Harus diingat, filem bukan buku sejarah. Ada orang kecam Mat Kilau kata begitu dan begini. Tapi filem tersebut bukan buku sejarah.
Paling saya takut kalau filem yang dihasilkan macam bubur. Tiada kontemplatifnya. Hanya duduk menonton dan cakap ‘oh itu Mat Kilau’.
Tiada pengisian dan sekadar hiburan semata-mata. Modalnya hanya babak gaduh sahaja. Tiada adegan yang membuatkan penonton fikir atau ada diselitkan perkara sensitif.
Adakah kutipan box office menyemarakkan lagi penghasilan filem yang lebih bermutu atau hanya seketika sahaja?
Ya dan tidak. Saya harap ada orang lebih berani untuk menghasilkan filem mencabar. Saya tidak gunakan kualiti sebab ia abstrak.
Sebagai contoh, ada filem yang terkenal dengan komersial semata-mata untuk hiburan walaupun cerita sejarah seperti Mat Kilau. Ia bukan filem yang meresap dan hanya untuk santapan mata berdasarkan pandangan orang lain.
Filem ini tiada detik-detik waktu yang penonton diam. Diam ini penting untuk berfikir dan melayan perasaan.
Untuk jawapan tidak pula, kalau ada masih membuat filem ikut acuan lama, ia tidak menghasilkan filem bermutu. Perlu diingat, filem perlu dilihat dari sudut halus. Ia perlu bermasyarakat dan dikembangkan ke negara lain.
Adakah Mat Kilau berjaya di Indonesia? Awak ada dengar filem ini meletup-letup?
PERANAN FINAS
Apakah yang perlu dilakukan Finas sebagai badan yang menyokong industri agar filem dihasilkan lebih bermutu dan diterima di luar negara termasuk dicalonkan dalam festival?
Satu perkara yang saya harap dan paling penting, Finas perlu ada ‘antena’ untuk kenal siapa pembikin filem dan siapa ‘nabi-nabi’ palsu dalam industri supaya tidak tersilap bagi geran.
Macam orang yang dapat anugerah dan gelaran pangkat sebagainya. Apa sumbangan dia pada Malaysia? Sebagai contoh kalau penyanyi. Apa sumbangan mereka? Saya tahu mungkin dia dapat sebab nyanyian dia bagus. Tapi itu kerja dia. Kita kena tanya apa sumbangan dia pada masyarakat?
Selain itu, Finas harus tahu siapa dan apa berlaku di luar sana. Malah Finas juga harus lebih peka dan kasih pada penggiat filem.
Tapi masalah ada dalam kalangan mereka masih mempunyai mentaliti pegawai tinggi kerajaan dan tidak seperti pekerja. Hanya bercita-cita untuk kejar gred 54 sahaja sebagai contoh.
Sekarang Finas sudah ada peneraju baharu dan apa saya harapkan ia boleh dijenamakan semula pada satu masa nanti daripada apa telah dilaksanakan kepemimpinan terdahulu.
Finas ini ibaratnya seperti sebuah bas rosak. Alat ganti dipegang oleh orang tertentu dalam FInas. Bas sudah breakdown, tapi tok empat simpan alat ganti dan tak beri langsung.
Jadi penumpang atau warga filem harus turun dari bas dan berjalan atau ganti dengan bas itu. Kalau tidak, warga filem mesti turun jalan kaki.
Saudara masih kecewa dengan Finas?
Saya prihatin dengan filem Malaysia. Sebab filem Malaysia sekiranya Finas tidak berfungsi betul-betul, teraju atau pembikin filem Melayu akan susah. Saya tidak mahu infrastruktur filem Malaysia kembali kepada era Jalan Ampas.
Jika dilihat pada filem Iran, mereka tidak memerlukan dana yang tinggi dan sering diterima serta diperbincangkan di festival berprestij seperti Venice, Cannes dan Sundance. Mengapa tidak kita contohi mereka?
Iran ada satu filem yang bagus tapi harus diingat filem Iran bukan murah. Tiada benda bagus yang murah. Jangan silap. Saya kenal pengarah Iran, Majid Majidi dan saya tahu dia mantap.
Dia juga tahu berapa banyak harus ada untuk buat filem. Benda bagus nampak simple, mudah sehinggalah seseorang itu rasa berkemampuan untuk buat. Tapi bila buat hancur.
Sangat susah sebenarnya mahu buat benda yang simple. Semua orang mahu tunjuk kehebatannya.
Kita tidak boleh menilai apa yang kita nampak sebab tidak tahu infrastruktur. Saya pernah cakap dekat Raja Azmi buat filem macam letak duit dalam kapal, lepaskan dan bakar. Lepas itu nampak turun dan tenggelam terus.
CONTOHI FILEM IRAN
Jadi adakah pembikin filem perlu mencontohi Iran?
Ya. Sebagai contoh yang baik. Sebab jati diri mereka kuat. Di Russia pun dia menang. Saya ingat nak padam dah industri filem Iran tetapi naik balik. Sebab, saya pernah jadi juri.
Adakah kita memerlukan bantuan Finas sebagai penghubung dengan pasaran luar negara untuk filem-filem di negara ini?
Kita negara sedang membangun dan kita sememangnya memerlukan sokongan untuk menyokong filem kita. Itulah peranan Finas. Tapi Finas lupa kerjanya dan saya harap Finas jangan lupa fungsi untuk membangunkan filem nasional.
Finas tidak boleh berlagak macam bank dan bukannya badan yang harus membuat duit. Mereka perlu berfungsi sebagai satu sistem sokongan.
Kalau boleh lagi banyak filem tempatan ke luar negara lagi bagus. Jangan melayan impian untuk ke Oscar. Sudah 60 tahun kita cuba tapi tidak boleh. Road to Oscar mengarut dan lebih baik lupakan sahaja.
Kuatkan diri dahulu dan apabila tibanya masanya pergilah sana. Contohilah Korea Selatan. Pembikin filem juga harus kenal diri sendiri dan orang sekeliling.
Adakah saudara membuat filem bagi memenuhi kriteria festival filem luar negara dan bukan memilih pasaran penonton dalam negara yang lebih terarah kepada genre seram, aksi, komedi dan cinta.
Tak berapa tepat. Saya cuba untuk buat filem bagi pasaran negara sendiri juga tapi malangnya tidak laku. Jadi saya pasrah dan reda sebab filem ini ada jadual dan pasang surut sendiri.
Hidup pendek filem panjang. Mana tahu bila saya tiada nanti filem saya diangkat dan dimainkan macam cerita P.Ramlee.
Pada saya, buat filem harus baik, jujur dan ikhlas. Rhoma Irama cakap hidup tanpa cinta macam taman tak berbunga.
Adakah kriteria pemilihan dan permarkahan festival di luar negara berbeza dengan dalam negara?
Berbeza. Saya pernah jadi juri di sini dan untuk menjadi juri di sini kita perlu letak konteks dalam dalam industri di sini.
Kalau cerita filem Malaysia dalam konteks dunia lain dan ia perlu diadili dalam konteks negara luar. Kenapa saya dijemput ke Moscow baru-baru ini? Sebab mereka mahu filem-filem yang ada di Moscow perlu dilihat dalam konteks dunia dengan lebih luas.
Cuma kalau dibandingkan filem kita dan filem lain di rantau Asia Tenggara, kita ditinggalkan termasuklah Vietnam. Filem paling seronok ditonton di Asia tenggara adalah Filipina.
Sebab ia cerminan masyarakat dan mentaliti orang di sana. Kita akan faham serba sedikit tentang orang Filipina bila menonton cerita dari sana. Kalau tonton cerita Melayu membantukah untuk memahami masyarakatnya? Mana ada. Sebab kita generik, saduran dari Hollywood atau Hong Kong. Silat dalam Mat Kilau itu silat Melayu ke sehingga melambung dan tercampak?
Namun itu bukan salah filem sebab ia fantastik. Sata harap satu hari nanti ada yang mewakili pola pemikiran Melayu. Lihat pada pantun. Ada pembayang dan maksud? Pembayang menunjukkan mentaliti. Refleks kepada pola pemikiran. Maksud adalah sesuatu yang jelas.
Contohnya, ‘Ingat sudah pukul lima rupanya pukul satu’. Kita ambil masa sebagai pembayang Orang silap apabila lihat maksud sahaja. Sama juga filem. Mesti beri gambaran masyarakat Melayu Malaysia itu.
Dalam erti kata lain, pembikin filem perlu jadi ahli fikir dahulu. Kalau tidak hanya sebagai tukang sahaja. Kalau ilmu datang kemudian dan akan berperanan sebagai sistem sokongan.
FAKULTI SENI
Adakah perlu diwujudkan fakulti seni lebih-lebih lagi seni persembahan di setiap universiti dan institusi pendidikan?
Tamadun bermula daripada seni. Orang tidak tahu nama arkitek tapi orang lihat keindahan seni. Di Amerika Syarikat semua universiti dan institusi ada sekolah seni. Di sebalik teknologi dan sains ada keseniannya.
Apresiasi seni mesti ada. Kita tidak boleh ada pemikiran yang hanya selari. Kalau hendak jadi jurutera, semua tumpu pada jurutera sahaja.
Kalau di Ireland, ada kolej yang sekiranya gagal dalam semua subjek tetapi seni lulus, pelajar tersebut tidak akan digugurkan. Sebab seni menunjukkan sama ada anda pemalas dan sebagainya.
KURANG IDEA
Adakah industri filem di negara ini kekurangan idea untuk menghasilkan filem berkualiti yang mampu diangkat ke festival filem luar negara ?
Saya pernah duduk lepak minum dan tiba-tiba ada orang datang cakap “ abang aku ada idea nak buat filem”. Selepas itu saya cakap padanya “kau orang paling celaka dalam dunia. Semalam pun saya ada idea nak ke bulan”.
Kita perlu sentiasa ingat bukan semua idea bagus. Dengan idea itu harus ada kepakaran dan ilmu serta kita mesti bersedia.
Sebab itulah sekarang banyak orang berbicara. Sebab ada idea. Dengan idea ini juga perlu didatangkan juga dengan kebijaksanaan, ilmu dan keikhlasan.Idea ini sesuatu yang murah. – MINGGUAN MALAYSIA










